1.0 Pengenalan
Sebuah karya pensejarahan Melayu yang terkenal selepas Sulalatus
Salatin ialah Misa Melayu atau Ikatan Raja Ke Laut iaitu yang
meriwayatkan sejarah negeri Perak sejak zaman awal hinggalah ke kurun kelapan
belas. Karya ini adalah hasil karya seorang sejarawan istana kurun kelapan
belas, iaitu Raja Chulan. Karya ini masih berasaskan ciri-ciri pensejarahan Sulalatus
Salatin malah sebagai sebuah pensejarahan yang dianggap paling hampir
dengannya, Misa Melayu boleh dikatakan telah mewarisi asas-asas karya
pensejarahan yang lebih awal itu. Daripada keseluruhan manuskrip yang telah ditemui,
dapat dirumuskan Misa Melayu sebagai sebuah karya besar atau Karya Agung
yang lahir daripada tradisi kepengarangan silam negeri Perak. Karya tersebut
menjadi aras tanda kebesaran sejarah persuratan negeri Perak yang lahir
daripada buah tangan pengarang negeri Perak dan berhubungan secara terus dengan
sejarah institusi kesultanan negeri Perak pada abad ke-18. Keutamaan Misa
Melayu tercerna melalui isi kandungannya yang merakam pelbagai corak
kehidupan sosiobudaya masyarakat negeri Perak yang penuh dengan tradisi dan
amalan adat istiadatnya.
Walau bagaimanapun, jika dibuat
perbandingan secara lebih halus, terdapat juga beberapa kelainan ataupun
perbezaannya, iaitu selain daripada isi kandungan kedua-duanya itu sendiri.
Misalnya, Misa Melayu adalah sebuah karya yang "realistik" serta
tidak mengandungi dongeng dan cerita rakyat atau, dengan kata lain, tidak
mencampurkan dongeng dan fantasi dengan fakta sejarah. Itulah salah satu keistimewaannya,
iaitu ditinjau dari sudut dan ukuran pengertian sejarah yang paling mutahir.
Namun Misa Melayu ini masih merupakan sebahagian daripada tradisi
pensejarahan istana yang dihasilkan oleh seorang tokoh dari perkarangan itu juga.
Tambahan pula, dari sudut genre Misa
Melayu tergolong sebagai sebuah karya sastera sejarah atau historiografi
Melayu. Walau bagaimanapun, ciri-ciri penulisan Misa Melayu agak berbeza
dengan karya sastera sejarah yang lazim seperti Sulalat al-Salatin (Sejarah
Melayu) atau Hikayat Merong Mahawangsa, kerana Misa Melayu adalah
berpaksikan kepada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah (1750-1765).
Sebahagian besar daripada isi naskhah adalah memperlihatkan kehebatan dan
keagungan Sultan Iskandar Dzulkarnain selaku seorang putera raja dan Sultan
Pemerintah Negeri Perak.
1.1 Sinopsis Ringkas Misa
Melayu
Karya Agung Misa
Melayu mengisahkan kehidupan Raja-raja Melayu yang memerintah negeri Perak
antara tahun 1700 sehingga tahun 1780. Sebahagian daripada peristiwa yang
dicatat dalam Misa Melayu adalah merupakan peristiwa yang berlaku pada
zaman kehidupan Raja Chulan sendiri. Misa Melayu menceritakan perihal
kesultanan negeri Perak yang berasal daripada keturunan yang agung, iaitu Raja
Iskandar Zulakarnain dan jurai keturunannya sehingga Raja Nursyirwan Adil dan
anak cucu Raja Chulan yang memerintah sehingga ke selatan Tanah Melayu.
Pada zaman pemerintahan Sultan
Muzaffar Syah di Perak, dikatakan orang Belanda telah mendirikan gudang atau
loji untuk perniagaan bijih timah di Pengkalan Halban, yang berhampiran dengan
muara Sungai Kinta dan Sungai Perak setelah mendapat kebenaran daripada Sultan
Muzaffar Syah. Penceritaan mengenai kisah Sultan Iskandar Zulkarnain yang
menyusur pantai negeri Perak bersama Raja Chulan turut dicatatkan dalam karya
ini. Raja Iskandar juga dikatakan telah menuba ikan di sungai budiman yang
berhampiran dengan Pulau Besar dan Pulau Juar yang terletak di Kampung Gajah.
Seterusnya, Misa Melayu turut
menceritakan kisah Sultan Muhammad yang merupakan waris muda telah menyelesaikan
masalah perebutan kuasa dengan Sultan Muzaffar Syah yang merupakan waris tua
untuk takhta kerajaan negeri Perak ketika itu. Peristiwa seterusnya yang
dimuatkan di dalam Misa Melayu adalah kisah mengenai Sultan Muzaffar
Syah yang menginginkan seorang Raja Muda untuk menjadi menantunya. Sultan
Muzaffar dikisahkan telah meminta Raja Chulan untuk menyatakan hasratnya kepada
Raja Muda dan akhirnya, puteri Sultan Muzaffar Syah yang bernama Raja Budak
Rasul pun dikahwinkan dengan Raja Muda. Selain itu, Misa Melayu turut
memuatkan kisah Sultan Muhammad Syah (1744 – 1750) yang telah mengorbankan
kedudukannya sendiri sebagai sultan Perak ketika itu, supaya negeri Perak dapat
dicantumkan semula di bawah pemerintahan seorang sultan sahaja, iaitu
kekandanya yang bernama Sultan Muzaffar
Syah.
Secara keseluruhannya, Misa
Melayu memberi tumpuan kepada pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain yang
disanjung dan dipuji sebagai raja yang luar biasa kepahlawanannya dan
kebijaksanaannya ketika zamannya. Hal ini dapat dibuktikan semasa menjadi Raja
Muda, Raja Iskandar menjadi perunding dalam mencantumkan semula negeri Perak
yang berpecah dua. Setelah bercantum, Raja Iskandar sangat berkuasa dalam
kerajaan negeri Perak. Dalam Misa Melayu, terdapat 134 halaman atau 77%
yang menceritakan kisah Sultan Iskandar Zulkarnain. Tujuh orang sultan yang
lain hanya dikisahkan dalam 40 halaman atau 23% sahaja. Daripada 40 halaman
tersebut, sebanyak 30 halaman tertumpu kepada kisah semasa zaman Sultan
Muzaffar Syah, iaitu sultan yang memerintah negeri Perak sebelum Sultan
Iskandar Zulkarnain.
2.0 Analisis Karya Agung
Misa Melayu
2.1 Pemikiran
dalam Misa Melayu
Pemikiran dalam sebuah karya bermaksud subjek yang
dibawakan oleh pengarang. Bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan
bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan
dan tema karya. Daripada situlah ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan
tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang (Seri Lanang Jaya et. al, 2016).
Setiap pengarang mempunyai cara yang
tersendiri dalam memilih idea dan menjelmakannya menjadi mesej atau isi yang
merupakan subjek yang dibawa oleh pengarang di dalam karyanya. Dalam teks Misa
Melayu, pengarang membawakan beberapa pemikiran yang jelas terlihat dalam
karya ini. Antaranya termasuklah soal politik, soal ekonomi dan soal agama.
2.1.1 Soal
Politik
Pemikiran yang
paling jelas dibawakan oleh pengarang dalam Misa Melayu ialah berkaitan
soal politik. Hampir keseluruhan teks ini menceritakan tentang zaman
pemerintahan sultan Perak yang ke-15, iaitu Sultan Iskandar Zulkarnain Syah, iaitu pada tahun
1752 hingga 1765. Hampir kesemua karya sastera sejarah menjuraikan keturunan
raja mereka dengan Sultan Iskandar Zulkarnain sebagai tokoh lagenda yang
memulakan cerita. Sebagai contoh, dalam Misa Melayu disebutkan ketokohan Raja
Iskandar Zulkarnain yang terkenal dengan perluasan kuasa pemerintahannya
sehinggalah keturunannya yang menguasai pemerintahan di nusantara pada zaman
dahulu. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan teks Misa Melayu di
bawah:
“Adapun asalnya raja itu
diceritakan oleh orang yang empunya cerita dahulu kala daripada hijrah Raja
Iskandar Zulkarnain yang menjalani daripada matahari masuk ke matahari naik
dan nasabnya daripada Raja Nusyirwan Adil, cucu-cicit daripada Raja Suran
yang turun ke dalam laut jatuh ke negeri Raja Fatihu’l-ardzi. Maka anak
puteranya tajalli di Bukit Siguntang Mahabiru”
(Misa Melayu, 21)
|
Selain menampakkan ketokohan Raja
Iskandar dalam perluasan kuasanya, pengarang
teks ini juga menampakkan keunikan sistem
politik Perak iaitu rajanya tidak memerintah secara mutlak. Sebaliknya, raja
terlebih dahulu mendapatkan nasihat pembesar negeri demi kepentingan rakyat.
Buktinya, dapat dilihat dalam petikan daripada Misa Melayu di bawah:
“Dalam wasiatnya Sultan Muzaffar
Syah (1752)… yang sangat beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja
Mudalah yang akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan
segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan
selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri
Perak… dan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan
sekalian orang besar-besar hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang
memegang agama kita …”
(Misa Melayu, 51)
|
Namun begitu,
terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa pemikiran politik dalam Misa
Melayu menampakkan campur aduk dua konsep. Pada satu pihak tidak dapat
dinafikan bahawa sultan memerintah secara teokratik, iaitu memiliki kuasa
multak, seperti mana dalam pemerintahan di negeri-negeri lain. Namun begitu di
satu sisi yang lain pula, adalah menjadi tanggungjawab sultan untuk berunding
dan berpakat dengan menteri-menterinya.
Selain itu,
dari aspek pewarisan takhta pula, umum mengetahui bahawa Perak menjalankan
sistem penggiliran dalam pemerintahannya. Sistem penggiliran itu adalah seperti
berikut:
Raja Muda
↑
Raja Bendahara
↑
Raja Di Hilir
↑
Raja Di Baruh
↑
Raja Kecil Besar
↑
Raja Kecil Tengah
↑
Raja Kecil Muda
↑
Raja Kecil Bongsu
Dalam Misa
Melayu, telah disebut cara Sultan Iskandar Zulkarnain menyusun jentera
pemerintahan negeri dengan melantik kerabat diraja yang rapat dengan baginda
untuk menyandang jawatan kerajaan. Sebagai contoh, adinda baginda, iaitu Raja
Kimas yang bergelar Raja Kecil Muda dilantik menjadi Raja Muda, manakala Raja
Alaudin yang bergelar Raja Kecil Tengah telah diangkat menjadi Raja
Bendahara. Hal ini jelas membuktikan bahawa Misa Melayu jelas menyatakan
tidak semua waris takhta perlu menaiki takhta mengikut giliran.
Politik yang
menjadi subjek yang dibawakan oleh pengarang ke dalam teks Misa Melayu
adalah lebih kepada pemerintahan kerajaan Perak yang mempunyai caranya yang
tersendiri dalam mentadbir kerajaannya. Seperti juga karya agung Melayu yang
lain, politik merupakan isu yang banyak diketengahkan. Kebijaksanaan pemimpin
dalam mentadbir kerajaannya, perluasan kuasa sesebuah kerajaan dan sebagainya
yang berkaitan pemerintahan menunjukkan dapat keagungan sesuatu bangsa itu. Hal
ini jugalah yang cuba ditunjukkan dalam karya ini.
2.1.2 Soal
Ekonomi
Soal atau pemikiran ekonomi dalam karya menunjukkan dalam
karya tersebut ada mengetengahkan hal berkaitan perdagangan, perniagaan dan
jual beli. Teks Misa Melayu tidak terkecuali daripada mengetengahkan
soal ekonomi dalam ceritanya. Hal ini boleh dibuktikan dengan adanya contoh
petikan di bawah:
“…beginda menitahkan Tambi Kecil
pergi ke benua Keling (India). Adapun akan Sultan Iskandar itu, terlalu
banyak baginda menaruh gajah. Maka itulah baginda menitahkan Tambi Kecil
pergi akan mengambil barang siapa mahu membawa kapalnya masuk berniaga ke
dalam negeri Perak ini, kerana baginda hendak berjual gajah.”
(Misa Melayu, 78)
|
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dikatakan bahawa pengarang Misa Melayu memasukkan
soal ekonomi di dalam teks tersebut. Semasa
pemerintahan Sultan Iskandar, baginda juga telah menjual bijih timah kepada
Belanda di Tanjung Putus. Hal ini menjadi titik permulaan kegiatan perdagangan
antara Perak dengan Belanda pada abad ke-18. Pada peringkat permulaan, pusat
pengumpulan bijih timah Belanda di Perak ialah di Tanjung Putus. Kemudian
mereka membuat permohonan kepada sultan untuk mendirikan kota dan bangunan di
Pengkalan Halban berdekatan Kuala Perak. Justeru, semua kapal dagang dari luar
negeri Perak perlu mendapatkan kebenaran sultan dalam urus niaga dagangan kapal
itu. Hal ini demikian kerana dalam sistem ekonomi feudal, sultan dan pembesar
negeri adalah orang yang memonopoli import dan eksport.
Secara tuntasnya, kegiatan ekonomi dalam teks ini
menunjukkan bahawa pengarang sememangnya menonjolkan pemikiran berkaitan
ekonomi dalam teks. Seperti kebanyakan karya agung Melayu, pengarang tidak
terlepas untuk menjadikan soal ekonomi untuk menunjukkan betapa perdagangan
zaman dahulu begitu rancak di nusantara.
2.1.3 Soal Agama
Soal agama merujuk kepada hal ketuhanan. Hal ketuhanan
ini meliputi akidah yang teguh dalam agama. Sebagai contoh beriman dengan
Allah, memikirkan pahala dan dosa, sentiasa berbuat kebaikan dan lain-lain
lagi. Dalam teks Misa
Melayu ini, dapat dilihat bahawa Sultan Muzaffar Syah berpegang teguh kepada
ajaran agama dan mempunyai akidah yang teguh dalam Islam. Contoh petikan
daripada karya ini berkaitan soal agama boleh dalam petikan berikut:
“… hatta maka antara sebulan lama selangnya, maka
baginda pun telah datanglah sudah takdir Allah Taala; maka baginda pun
geringlah terlalu berat sangat….”
“… maka beberapa pula sedekah kepada segala fakir
miskin daripada emas dan perak dan kain-kain beribu-beribu dikurniakan
baginda hendak pohonkan rahmat ke hadrat Khalikal – abad, di dalam pada itu
pun tiada juga betah gering baginda …”
“… setelah itu, maka gering baginda itu pun makin
bertambah beratnya pula. Maka berhimpunlah segala anak raja – raja dan
orang besar – besar dan hulubalang rakyat sekaliannya …”
‘… maka kepada suatu hari, baginda pun tahulah ia
akan dirinya telah datang kehendak Allah Taala kepadanya kepadanya tambahan
baginda itu raja alim ulama, tambahan pula sangat kuat amal ibadatnya.
(Misa Melayu, 22)
|
Berdasarkan petikan daripada teks Misa Melayu ini, dapat dilihat bahawa Raja berpegang teguh dengan ajaran Islam. Melalui petikan
teks tersebut, Sultan Muzaffar Syah yang sedang sakit tetap menjalankan ajaran
Allah dengan memberi sedekah berupa emas dan perak kepada fakir miskin. Hal ini
menunjukkan baginda juga tidak lupa untuk beribadah kepada Allah walaupun
ditimpa sakit kuat.
Perkembangan agama Islam zaman dahulu
sebenarnya merupakan antara penyebab untuk pengarang memasukkan soal agama
dalam karya. Soal agama ini sebenarnya memberi banyak teladan dan pengajaran
kepada masyarakat untuk memperoleh ilmu pengetahuan tentang agama. Selain itu,
pemikiran yang disampaikan oleh pengarang tentang soal agama dapat juga
menunjukkan kepentingan berpegang teguh dengan ajaran agama. Seperti yang
ditunjukkan dalam petikan teks, hal itu sebenranya memberi pengajaran kepada
pembaca untuk berbuat baik seperti bersedekah. Jelaslah di dalam teks ini,
pengarang memasukkan pemikirannya tentang soal agama.
2.2 Falsafah dalam
Misa Melayu
Dalam penghasilan sesebuah karya, tidak lengkap sekiranya
pengarang tersebut tidak memuatkan falsafah-falsafah yang bersesuaian dengan
penceritaan sesebuah karya. Falsafah membawa maksud
pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang
menjadi dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Seorang ahli
falsafah Islam yang terkenal, iaitu Al- Farabi mengatakan bahawa istilah
falsafah diambil daripada perkataan philosophia
yang kemudiannya dihuraikan sebagai philo
yang merujuk kepada pencinta, manakala sophia
pula membawa pengertian bijaksana. Oleh hal yang demikian, falsafah merujuk
kepada pencinta bijaksana. Plato
dalam Mana Sikana (1996) pula mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu
pengetahuan yang berhasrat untuk mencari dan mencapai hakikat kebenaran yang
asli.
Secara umumnya, falsafah mempunyai
ciri-ciri yang merangkumi pemikiran tertinggi dengan tujuan untuk mendapatkan
kebenaran. Penyataan itu dapat dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada yang
menegaskan bahawa mekanisme falsafah ialah proses memikirkan sesuatu dengan
sangat mendalam. Dengan itu, falsafah akan membincangkan sesuatu dengan
terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan realistik terhadap sesuatu
perkara. Dalam karya Misa Melayu, penekanan hanya diberikan kepada lima
daripada lapan falsafah yang telah disebutkan oleh Seri Lanang Jaya et al. (2016). Lima falsafah tersebut
ialah falsafah sejarah, falsafah poltik, falsafah sosial, falsafah ekonomi dan
falsafah etika.
2.2.1 Falsafah Sejarah
Roeslan
Abdulgani mengatakan bahawa sejarah ialah ilmu yang meneliti dan menyelidiki
secara sistematis keseluruhan perkembangan masyarakat serta kemanusiaan pada
masa lampau beserta kejadian-kejadiannya. Selain itu, sejarah menurut Ibnu
Khaldun pula merupakan catatan tentang masyarakat umat manusia atau peradaban
dunia dan tentang perubahan-perubahan yang terjadi pada watak masyarakat itu.
Sehubungan itu, karya Misa Melayu ini merupakan satu karya
yang memaparkan sejarah negeri Perak. Hal ini dikatakan demikian kerana, karya
ini memperlihatkan jurai pemerintahan raja-raja Perak, zaman kegemilangan Perak
dan sebagainya. Kenyataan ini dapat dikukuhkan lagi dengan pendapat Siti Meriam
(2015) yang mengatakan bahawa naskhah yang dihasilkan oleh Raja Chulan ini mengisahkan
sejarah negeri Perak yang bermula dengan pemerintahan raja-raja sebelum Sultan
Muzaffar Shah, iaitu Almarhum Jaliullah, Almarhum Besar dan Almarhum Sulung
serta diakhiri dengan Sultan Alauddin Mansur Shah.
Menurut Raja Chulan (1919:6-7),
sistem pemerintahan di Perak bermula dengan pemerintahan Almarhum Sultan
Jaliullah. Baginda dikatakan mempunyai beberapa orang putera, iaitu Marhum
Besar dan Marhum Mangkat di Pulau Tiga. Selepas sahaja kemangkatan baginda,
kerajaan Perak pada ketika itu diambil alih oleh Marhum Besar dengan gelaran
Sultan Mahmud Shah. Kemudian, negeri Perak mula diperintah oleh Raja Radin yang
digelar Sultan Alauddin Riayat Shah apabila Sultan Mahmud Shah mangkat setelah
memerintah selama 120 tahun. Sultan Alauddin Riayat Shah yang merupakan putera
kepada Sultan Mahmud Shah diceritakan berjaya mengetuai kerajaan Perak pada
ketika itu selama 20 tahun.
Raja Inu atau Sultan Muzaffar Shah
pula merupakan sultan yang menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah selepas
sahaja kemangkatan baginda. Selang beberapa ketika, kerajaan Perak dikejutkan
lagi dengan berita kemangkatan Sultan Muzaffar shah. Maka, pemerintahan
kerajaan pada ketika itu diserahkan kepada Raja Muda Iskandar yang digelar
Sultan Iskandar Zulkarnain dan menerajui Perak selama 14 tahun. Setelah itu,
kerajaan Perak pada ketika itu berada di bawah pimpinan Sultan Mahmud Shah,
iaitu adinda kepada baginda Sultan Iskandar selama lapan tahun selepas sahaja
kemangkatan kekandanya itu. Dalam karya ini, dikhabarkan bahawa Sultan Alauddin
Mansur Shah merupakan sultan yang menamatkan jalinan sejarah pemerintahan
kerajaan Perak yang telah diceritakan oleh Raja Chulan.
Dengan berpandukan Misa Melayu, generasi kini berpeluang untuk mengetahui sejarah
sultan-sultan yang memerintah negeri Perak suatu ketika dahulu dan berpeluang
untuk mengetahui rasional negeri Perak yang tidak mengamalkan sistem
pemerintahan giliran melalui pembacaan dan penelitian yang mendalam terhadap
karya ini. Oleh itu, tindakan Sultan Nazrin Shah, iaitu Sultan Perak kini
meminta agar penerbitan Misa Melayu
ini digiatkan lagi merupakan satu tindakan yang bernas kerana karya ini
merupakan nadi sejarah negeri Perak yang perlu diketahui ramai, khususnya anak
jati Perak itu sendiri.
2.2.2 Falsafah Politik
Politik
menurut Bluntschili (2000) ialah ilmu yang memerhatikan masalah kenegaraan
dengan memperjuangkan pengertian dan pemahaman tentang negara dan keadaannya,
sifat-sifat dasarnya, dalam pelbagai bentuk atau manifestasi pembangunannya.
Masalah kenegaraan yang dapat dilihat dalam karya ini adalah melalui
konflik-konflik politik yang berlaku terhadap pemerintahan kerajaan Perak pada
ketika itu.
Diceritakan bahawa kerajaan Perak
pada ketika itu menjadi huru-hara apabila pucuk pimpinan negeri itu dikepalai
oleh Sultan Muzaffar Shah. Hal ini demikian kerana, kerajaan Perak pada era
pemerintahan baginda terbahagi kepada dua kerajaan dan turut diperintah oleh
dua orang sultan ekoran daripada perselisihan faham yang berlaku antara
kedua-dua raja itu. Keadaan ini dapat diitunjukkan apabila Sultan Muzaffar Shah
membawa diri ke Kuala Kangsar dan secara tidak langsung menjadi Raja Perak di sana.
Manakala, adinda baginda, yakni Sultan Muhammad Shah pula bersemayam di
Berahman Indera (Siti Meriam, 2015).
Namun begitu, konflik politik
tersebut menemui jalan penyelesaiannya melalui campur tangan Raja Muda Iskandar
yang berusaha sedaya upaya untuk menyatukan kembali kedua-dua kerajaan dan
sultan tersebut. Ekoran daripada campur tangan Raja Muda Iskandar, Sultan
Muhammad Shah mulai berfikir dan merenung kembali keadaan Perak pada ketika itu
dan mulai melihat bahawa kerajaan yang diterajui oleh dua orang sultan tidak
akan membawa sebarang keuntungan kepada kerajaan mereka. Atas alasan tersebut,
baginda mengambil inisiatif untuk menjemput Sultan Muzaffar Shah kembali
memerintah Berahman Indera dan bersedia untuk berkhidmat untuk baginda sultan
memandangkan baginda merupakan kekanda Sultan Muhammad yang sulung. Oleh sebab
itu, baginda Sultan Muzaffar lebih berhak memerintah Berahman Indera. Keputusan
yang diambil oleh Sultan Muhammad Shah merupakan satu tindakan yang bijak untuk
mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku berikutan daripada perebutan
kuasa yang sudah pastinya akan melibatkan pertumpahan darah dan peperangan.
Keadaan ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:
"Maka
sekarang ini apalah sudahnya negeri sebuah, raja dua? Kepada hati beta
hendaklah kita persilakan Sultan Muzaffar Shah itu kembali ke istananya ke
Berahman Indera, supaya kerajaan kepada baginda itu; biarlah beta berhenti,
kerana baginda itu saudara yang tua kepada beta, tidaklah datang hati beta
hendak melebihi daripada baginda itu."
(Misa
Melayu, 1992:2-3)
|
Selain itu, falsafah politik yang
cuba ditonjolkan oleh Raja Chulan dalam karya ini ialah cara seseorang pemimpin
dalam menyelesaikan segala persengketaan dan perselisihan faham yang berlaku
antara pihaknya dengan pihak lain. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui sebuah
kisah yang menunjukkan pihak Belanda yang berbekalkan tujuh buah kapal perang
menuju ke Perak berikutan daripada peristiwa fitnah yang dimulakan oleh seorang
jurubahasa India. Angkara fitnah tersebut, Perak dan Belanda hampir sahaja
mencetuskan perang antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana, jurubahasa
itu telah diperintahkan oleh pihak Belanda untuk mempersembahkan sepucuk surat
kepada baginda sultan. Akan tetapi, surat yang dibawanya itu tidak disertakan
dengan sampul yang sempurna dan jurubahasa itu juga tidak memaklumkan sebarang
makluman kepada Laksamana dan Shahbandar. Lantaran itu, jurubahasa tersebut
tidak diberikan kebenaran untuk mengadap Sultan Iskandar. Ekoran daripada
tegahan itu, pihak Belanda memulakan misi untuk bertindak dengan membawa
seangkatan wakil mereka menerusi tujuh buah kapal ke Perak.
Akan tetapi, pertemuan antara Sultan
Iskandar dan pihak Belanda tidak mencetuskan sebarang perbalahan, perang atau
kekecohan sekali pun selepas mengetahui bahawa kesemua perkara yang berlaku
sebelum ini hanya salah faham dan berpunca daripada fitnah orang lain. Selain
itu, salah faham tersebut terlerai secara tidak langsung selepas sahaja wakil
Belanda mengadap sultan dengan penuh takzimnya lalu mempersembahkan sepucuk
surat yang memuji-muji kebesaran baginda. Tidak ketinggalan berbagai-bagai hadiah
dan cenderahati diserahkan kepada baginda di samping pembelian bijih timah
berjaya mengelakkan konflik politik antara kedua-dua pihak tersebut. Akhirnya,
kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat perjanjian yang membenarkan Belanda
mengukuhkan lagi perniagaannya di kerajaan tersebut.
Pada hari terjadi peristiwa
itu, jurubahasa India itu telah diutus oleh majikannya (Belanda)
menyembahkan sepucuk surat kepada baginda Sultan. Yang anehnya surat itu
tidak mempunyai sampul yang sempurna dan jurubahasa yang membawanya itu
tidak pula berbahasa kepada Laksamana dan Shahbandar. Yang demikian
jurubahasa itu tidak dibenarkan mengadap. Akibat dari tegahan ini, pihak
Belanda di Tanjong putus, mengutus surat ke Betawi mengadu dan meminta
bantuan untuk bertindak. Tak lama kemudian, datanglah wakil Kompeni Belanda
dari Betawi dengan satu angkatan mengandungi tujuh buah kapal. Wakil
Belanda itu terus memberi tahu Laksamana dan Shahbandar yang ia hendak
mengadap Sultan. Pihak Sultan sudah tentu rasa cemburu kedatangan wakil
Belanda sedemikian rupa. Baginda bersiap sedia dengan
pengawal-pengawal-pengawal yang dilengkapkan dengan senjata-senjata; keris,
istinggar, pelaras, pistol dan lain-lain lagi.
(Misa Melayu, 1992:12)
|
Di samping itu, pergolakan politik
antara Perak dengan pihak Belanda diceritakan lagi menerusi peristiwa lain.
Peristiwa itu merujuk kepada Kapten Lybroke yang tidak berpuas hati dengan
keputusan Sultan Iskandar yang enggan menyetujui kehendaknya untuk membeli
bijih timah yang dihilirkan dan dibayar di Tanjong Putus. Hal ini demikian
kerana, baginda menitahkan bahawa bijih timah yang hendak dibeli mestilah di
hantar ke Tanjong Bidor dan akan ditimbang di sana sahaja, bukannya di Tanjong
Putus seperti yang diingikan oleh Kapten Lybroke. Akibat berang dengan keputusan
sultan itu, Kapten Lybroke mengambil keputusan untuk membedil Tanjong Bidor
untuk menakut-nakutkan Shahbandar yang enggan menerima ajakannya untuk singgah
sebentar ke kapalnya.
Disebabkan perbuatan tidak matang
kapten tersebut, Sultan Iskandar menjadi sangat murka dan mengambil keputusan
untuk bertemu dengan Kapten Lybroke. Berita mengenai kemurkaan sultan itu telah
sampai ke pengetahuannya, lalu bliau berasa sangat bimbang dan mencipta
bermacam alasan dan muslihat untuk meminta Dato Laksamana mengkhabarkan kepada
sultan bahawa semua peristiwa yang berlaku itu adalah salah faham sahaja. Namun
begitu, Sultan Iskandar masih meragui alasan tersebut lantas berangkat untuk
berjumpa sendirian dengan Kapten Lybroke tersebut untuk menguji kebenaran
alasan tersebut.
Utusan Belanda itu
menyampaikan sepucuk surat kepada baginda, tujuannya berkehendakkan membeli
bijih timah dan bijih itu hendaklah dihilirkan ke Tanjong Putus dan di
sanalah ditimbang dan dibayar. Tetapi baginda enggan menyetujui kehendak
Belanda itu. Titah baginda, bijih timah yang hendak dibeli itu hanya dapat
dihantar ke Tanjong Bidor dan di sanalah ditimbang. Oleh itu baginda
menitahkan Bendahara membuat tempat menimbang di Tanjong Bidor dan
diserahkan kepada Shahbandar dan Menteri untuk mengelolakannya
Oleh sebab sangat marahnya, lalu
dibedilnya arah ke Tanjong Bidor dengan maksud hendak menakut-nakutkan
Shahbandar dan Menteri. Malam itu juga Shahbandar mdik ke Pulau Indera
Sakti mengadap Sultan untuk memberi tahu peristiwa yang berlaku. Mendegar
hal itu, sangatlah murka Sultan.
(Misa Melayu, 1992:15-16)
|
Dengan ini, dapatlah dikatakan
bahawa peristiwa-peristiwa yang dinyatakan di atas sediki banyak mengganggu
gugat suasana politik di Perak pada ketika itu. Hal ini demikian kerana,
peristiwa-peristiwa itu bersangkut paut dengan perebutan kuasa antara dua kuasa
pemerintahan dan hubungan diplomatik antara dua pihak, iaitu Perak dengan
Belanda. Namun begitu, kesemua konflik
tersebut berjaya diatasi dengan bijak oleh sultan yang bijaksana untuk
mengelakkan konflik tersebut terus-terusan mengganggu ketenteraman kerajaannya.
2.2.3 Falsafah Ekonomi
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) falsafah ekonomi merupakan
falsafah yang merujuk kepada sistem pendapatan dan pengurusan harta benda.
Dalam karya nukilan Raja Chulan ini, falsafah ekonomi yang cuba ditunjukkan
adalah melalui kegiatan ekonomi berasaskan bijih timah yang berjaya menjana
hasil dan pendapatan kerajaan Perak pada ketika itu. Diceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Sultan
Muzaffar Shah, pihak Belanda telah berjaya memonopoli dan mendominasi kesemua
bijih timah yang dibawa melalui Sungai Perak. Sehubungan dengan itu, pihak
Belanda membeli kesemua bijih timah tersebut dengan harga $30.00 diikuti pula
dengan cukai yang dibayar kepada sultan ternyata berjaya membawa keuntungan
yang amat besar kepada kerajaan Perak. Disamping itu, baginda turut membenarkan
Belanda untuk membangunkan loji perniagaannya di Pangkalan Halban, Tajong
Putus. Melalui pembelian bijih timah tersebut, maka kemakmuran kerajaan Perak
semakin kukuh dan berpanjangan ekoran daripada aliran keluar masuk wang
terhadap bijih timah.
Dengan kepintaran orang-orang
Belanda ini, dapatlah mereka monopoli semua sekali bijih-bijih timah yang
dibawa melalui Sungai Perak, dibelinya dengan harga tetap iaitu sebahara
(ukuran berat yang tak tetap beratnya, iaitu bergantung kepada barang yang
ditimbang; sebahara emas beratnya 10 kati) $30.00 dengan ditambah $2.00
lagi sebagai cukai yang dibayar kepada Sultan. Selain dari itu, dibenarkan
Belanda mendirikan benteng atau loji perniagaannya di Pangkalan Halban,
Tanjong Putus. Dengan adanya pembelian bijih timah dari orang-orang Belanda
itu, maka negeri Perak pun makmur dan wang pun bertukar tangan.
(Misa
Melayu, 1992:8)
|
Berdasarkan contoh tersebut,
dapatlah dikatakan bahawa hubungan perniagaan yang termeterai antara Perak
dengan Belanda melalui perjanjian yang bersangkut paut dengan perlombongan
bijih timah menjadi tunjang utama ekonomi kerajaan Perak. Melalui contoh itu juga
dapat dilihat bahawa berlakunya hubungan diplomatik antara dua pihak, iaitu
kerajaan Perak dan pihak Belanda. Hubungan tersebut ternyata memberikan
keuntungan kepada kedua-dua pihak. Hal ini demikian kerana, kerajaan Perak akan
beroleh keuntungan dengan menjual bijih timahnya kepada pihak Belanda, manakala
pihak Belanda mempunyai peluang untuk mendirikan tapak perniagaan mereka di
Perak melalui pembelian bijih timah tersebut. Oleh hal yang demikian, bijih
timah merupakan sumber utama yang menjadi keistimewaan kerajaan Perak pada
ketika itu di samping menjana kestabilan ekonomi kerajaan itu.
2.2.4 Falsafah Sosial
Kamus
Dewan Edisi Keempat (2015) mentakrifkan sosial sebagai segala hal yang
berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala
falsafah sosial menurut Seri Lanang Jaya et
al. (2016) merujuk kepada gambaran kehidupan realiti manusia. Falsafah
sosial dalam karya Misa Melayu ini
dapat dilihat melalui aktiviti keramaian yang dilakukan oleh rakyat kerajaan
Perak terhadap sesuatu peristiwa. Misalnya, apabila genap tujuh bulan kehamilan
permaisuri raja, iaitu Raja Budak Rasul, diadakan istiadat melenggang perut dan
mandi-manda. Keadaan menjadi lebih meriah apabila pelbagai permainan, joget dan
bunyi-bunyian ditampilkan dalam istiadat itu. Di samping itu, setiap kaum turut
menunjukkan keistimewaan dan keunikan kaum masing-masing seperti Orang Cina
yang riuh dengan kuntau silat dan tarian naganya, manakala orang India pula
tampil dengan gaya permainannya yang tersendiri. Aktiviti-aktiviti keramaian
seperti yang telah disebutkan itu berterusan sepanjang tujuh hari tujuh malam
dan berjaya mengumpulkan kesemua rakyat di Indera Sakti dengan tujuan untuk
meraikan kehamilan permaisuri raja. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui petikan
di bawah:
Sementara itu permaisuri
baginda (Raja Budak Rasul) pun hamil. Apabila genap tujuh bulan,
diadakanlah istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Sebelum
dilangsungkan istiadat itu, berbagai-bagai permainan telah diadakan
beberapa hari; joget, bunyi-bunyian cara Melayu, cara Kedah, cara Acheh,
termasuk Menora. Selain daripada itu, diadakan juga berjenis-jenis
permainan sukan laut dan darat. Dan pihak Belanda juga mempertunjukkan cara
askar-askarnya berbaris dengan menggunakan istinggar dan pemuras.
Orang-orang China pula riuh dengan bunyi-bunyian termasuk kuntau silat dan
tari naganya. Manakala orang-orang India menunjukkan cara-cara permainnanya
sendiri. Pendeknya sepanjang istiadat itu berjalan selama tujuh hari tujuh
malam, bermacam-macamlah permainan dan bunyi-bunyian serta bakaran mercun
yang hingar-bingar, diadakan oleh rakyat.
(Misa Melayu, 1992:14)
|
Oleh hal yang demikian, falsafah
sosial yang cuba disampaikan oleh Raja Chulan melalui contoh tersebut ialah
semangat perpaduan dan integrasi kaum yang berlaku antara kaum-kaum tersebut.
Dengan ini dapat dilihat bahawa percampuran pelbagai kaum dalam satu masa yang
sama tidak akan mendatangkan sebarang keburukan dan kekecohan sekiranya kesemua
kaum tersebut saling menghormati antara satu sama lain. Berdasarkan contoh
tersebut, dapatlah dikatakan bahawa integrasi kaum ini telah berlaku sebelum
terbentuknya negara kita, Malaysia.
Bagaimana pun akhirnya
terdiri juga mahligai yang ganjil itu menurut bentuk dan rupa yang
diangan-angan oleh baginda - sangat ajaib perbuatannya; belum pernah
dilihat orang terdahulu daripada itu; kemuncaknya daripada perak
bertakhtakan emas dan permata pudi manikam, tingkapnya daripada ijok besi
khersani, dindingnya berturap dengan nilam kapur yang diselang-selikan
dengan cermin dan kaca. Di tingkat yang ketujuh terdapat balai peranginan
yang dipenuhi dengan kisi-kisi sekelilingnya. Dan dihujung tiap-tiap kisi
itu pula bergantung daun budi berbentuk empat segi. Apabila ditiup angin,
berbunyilah daun-daun budi itu seperti buluh perindu, dan apabila digoyang
angin dan disinari cahaya matahari, gemerlapanlah rupanya dipandang dari
jauh.
(Misa Melayu, 1992:14)
|
Bagaimana pun akhirnya
terdiri juga mahligai yang ganjil itu menurut bentuk dan rupa yang diangan-angan
oleh baginda - sangat ajaib perbuatannya; belum pernah dilihat orang
terdahulu daripada itu; kemuncaknya daripada perak bertakhtakan emas dan
permata pudi manikam, tingkapnya daripada ijok besi khersani, dindingnya
berturap dengan nilam kapur yang diselang-selikan dengan cermin dan kaca.
Di tingkat yang ketujuh terdapat balai peranginan yang dipenuhi dengan
kisi-kisi sekelilingnya. Dan dihujung tiap-tiap kisi itu pula bergantung
daun budi berbentuk empat segi. Apabila ditiup angin, berbunyilah daun-daun
budi itu seperti buluh perindu, dan apabila digoyang angin dan disinari
cahaya matahari, gemerlapanlah rupanya dipandang dari jauh.
Keadaan tersebut jelas menggambarkan
realiti sebenar kehidupan dan status sosial seseorang sultan yang nyata berbeza
dengan kehidupan sosial rakyat biasa. Mahligai ataupun istana yang sedemikian
dapat dijadikan lambang kebesaran seseorang pemerintahan dan elemen yang
menunjukkan jurang sosial masyarakat pada ketika itu. Hal ini demikian kerana,
hanya golongan seperti itu sahaja yang mampu untuk memiliki dan hidup di bawah
kediaman yang gah seperti itu.
|
2.2.5 Falsafah Etika
Ilmu
etika merupakan teori tentang tingkah laku manusia yang dipandang dari sudut
baik dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan oleh akal (Mana Sikana, 1996).
Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Seri Lanang Jaya et al. (2016) yang mengatakan bahawa
etika merujuk kepada pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran.
Falsafah etika yang diketengahkan oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu ini ialah setiap kesalahan yang dilakukan pasti akan
menerima hukuman dan balasan tanpa melihat pangkat dan darjat. Keadaan tersebut
dapat dilihat melalui Sultan Iskandar. Diceritakan bahawa Sultan Iskandar telah
menghukum sesiapa yang tidak menghadirkan diri ke istiadat pengebumian Almarhum
Sultan Muzaffar Shah. Sehubungan itu, beberapa orang pembesar telah dilucutkan
jawatannya, manakala orang awam pula dijemur di tengah padang akibat gagal
menghadirkan diri ke istiadat tersebut. Akan tetapi, selang beberapa ketika,
kesemua yang menerima hukuman tersebut diberikan keampunan oleh baginda Sultan
Iskandar.
Pada hari pertabalannya itu, baginda
bukan sahaja mengurniakan pangkat dan darjat kepada orang-orang yang patut
menerimanya, bahkan juga baginda menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada
siapa-siapa yang menguzurkan diri daripada menziarahi jenazah al-marhum.
Akibat dari hukuman-hukuman ini, beberapa orang besar dilucutkan jawatannya
dan beberapa orang pula diikat kaki tangannya dan dijemur di tengah padang.
Tetapi, akhirnya banyak yang diberi keampunan.
(Misa Melayu, 1992:1)
|
Petikan tersebut jelas menunjukkan
bahawa Sultan Muzzafar Shah ingin memberikan pengajaran kepada semua pengikut
dan rakyatnya untuk menghormati sultan yang telah mangkat dengan menghadiri
istiadat pengebumian Almarhum sultan bagi memberikan penghormatan terakhir
kepada sultan yang telah mangkat itu. Rasional hukuman yang diberikan adalah
untuk mendidik semua rakyat dan pengikut baginda untuk tidak melakukan perkara
yang sama sewaktu istiadat seperti itu dilangsungkan kelak. Oleh hal yang
demikian, dapatlah disimpulkan bahawa tindakan Sultan Iskandar bukanlah satu
tindakan yang membabi buta sahaja, tetapi merupakan satu tindakan yang digarap
untuk memberikan pendidikan dan pengajaran kepada semua demi membentuk
masyarakat yang mempunyai rasa hormat kepada pemerintah.
2.3 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Misa Melayu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), budaya ialah
kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Selain
itu, budaya ditakrifkan sebagai corak berkongsi tingkah laku dan interaksi
membina kognitif, afektif dan kefahaman yang dipelajari melalui proses
sosialisasi (Carla, 2014). Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), budaya
merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta
struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual
yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Budaya juga adalah sebagai
suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu iaitu merangkumi sistem
sosial, agama, adat resam dan nilai.
Seterusnya,
pandangan hidup pula adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau
komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala
permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam (Seri Lanang Jaya et
al. 2016: 117). Menurut Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah
bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan hal akhirat. Pandangan hidup
orang Melayu biasanya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan dengan alam dan
sesama manusia. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), pandangan hidup manusia
dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan
masyarakat.
Berdasarkan
Misa Melayu terdapat pelbagai nilai budaya yang diamalkan oleh rakyat
negeri Perak ketika itu. Tambahan pula, nilai budaya yang terdapat didalamnya
amat berkait rapat dengan sistem sosial, adat istiadat dan tradisi asas kepada
negeri Perak. Selain itu, pelbagai pandangan
hidup dilihat diamalkan dan menjadi pegangan rakyat negeri Perak ketika itu.
Jika dilihat, Misa Melayu banyak
mengisahkan tentang perwarisan raja yang memerintah negeri Perak pada zaman
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkarnian,
Sultan Mahmud Syah dan Paduka Sultan Alauddin Syah. Kepimpinan Sultan Muzaffar
Syah yang tidak menzalimi rakyat dan memerintah dengan adil menyebabkan negeri
Perak maju dan terhindar daripada peperangan. Antara nilai budaya dan pandangan
hidup yang diamalkan pada pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di negeri Perak
menerusi Misa Melayu ialah:
2.3.1 Adat Meminang dan Berkahwin
Adat meminang dan berkahwin dalam masyarakat Melayu
merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi. Perkahwinan merupakan salah satu
kebudayaan Melayu yang masih unggul dan dipertahankan serta diamalkan sehingga
kini. Majlis perkahwinan yang dijalankan seringkali mendapat perhatian dan
menjadi salah satu peristiwa dalam masyarakat. Berdasarkan Misa Melayu, dapat
dilihat adat meminang dan berkahwin diadakan. Adat meminang dan berkahwin
tersebut melibatkan golongan raja yang ingin meminang puteri raja dengan penuh
adat istiadat.
Berdasarkan
Misa Melayu dapat dilihat adat dimulakan dengan adat peminangan semasa
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Raja Muda Iskandar yang mempunyai dua orang
isteri ingin meminang Puteri Sultan Muzaffar iaitu Raja Budak Rasul. Raja
Alauddin dan Raja Chulan telah diminta untuk merisik dan meminang Raja Budak
Rasul dengan membawa emas sekati. Raja Muda Iskandar telah mengarahkannya untuk
mengadap Sultan Muzaffar Syah untuk menyampaikan hajat Raja Muda untuk meminang
Raja Budak Rasul. Perbincangan telah berlaku antara Sultan Muzaffar dengan Raja
Perempuan mengenai hajat Raja Muda Iskandar. Walaupun, Raja Muda Iskandar telah
mempunyai dua orang isteri namun Raja Perempuan berbesar hati menerima pinangan
Raja Muda Iskandar. Hal ini demikian kerana, Raja Muda Muda Iskandar dapat
menggantikan perwarisan Sultan Muzaffar apabila dia berkahwin dengan
anakandanya. Petikan teks adat peminangan Raja Budak Rasul adalah seperti
dibawah:
“…maka titah
baginda laki isteri, “ Apa pekerjaan anakanda kedua datang ini?”. Maka anak
raja kedua itu pun berdatang sembah, demikian sembahnya, “ Tuanku, patik
ini disuruhkan oleh anakanda Raja Muda untuk menghadap ke bawah Duli Yang
Maha Mulia baginda laki isteri. Adapun, sembah anakanda itu hendak
memohonkan diperhamba sekali. Tetapi, harapkan ampun juga
diperbanyak-banyak di atas jemala ubun-ubun patik sekalian ini…”.
(Misa Melayu, 1992: 12)
|
“… Adapun akan Raja
Muda setelah sudah dikabulkan oleh Sultan Muzaffar Syah kehendaknya, maka
mesyuaratlah ia dengan segala adinda baginda sekalian, dan serta
menghimpunkan segala hulubalang yang dekat-dekat hendaklah disuruhkan pergi
membawa tanda meminang dengan seperti adatnya. Maka segala anak-anak raja
pun sekaliannya datang mengahadap Raja Muda, dan segala hulubalang dan
rakyat sekaliannya pun hadir dengan kebesaran tunggul panji-panji dan aalam
merual sekaliannya.
Hatta setelah
selesai mustaid sekaliannya, maka Raja Muda pun mengeluarkan emas serta
ditimbang sekati beratnya dua kali lalu diberikan kepada adinda Raja Kecil
Muda. Adapun, yang pergi meminang itu pertama-tama Raja Kecil Muda dan Raja
Alauddin dan Raja Chulan dan Raja Inu dan segala adinda anakanda sekaliannya,
dan anak raja-raja serta hulubalang rakyat sekaliannya laki-laki dan
perempuan semuanya sedia berhimpun. Maka segala raja-raja perempuan tua-tua
pun pergi membawa tanda itu. Setelah sudah lengkap seperti adatnya, maka
dipasang oleh orang Meriam lela rentaka dan segala bunyi-bunyian pun
berbunyilah…”.
(Misa Melayu, 1992: 37)
|
Setelah
urusan peminangan selesai, anak raja kedua pulang untuk menghadap Raja Muda
Iskandar untuk menyatakan peminangan telah diterima. Kemudian, Sultan Muzaffar
Syah mengadakan mesyuarat dengan ahli keluarga dan hulubalang-hulubalang istana
yang terdekat. Baginda telah menyerahkan sekati emas kepada tuan puteri sebagai
tanda peminangan. Penyerahan emas kepada Raja Budak Rasul diiringan dengan
tembakan meriam ke Berhaman Indera. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan
petikan teks di bawah ini:
…maka mempelai Raja Muda pun dihiasilah oleh raja yang tua-tua dengan selengkap pakaian mempelai raja-raja yang besar-besar, maka diberi memakai pakaian kerajaan negeri Perak…”
“…setelah Menteri mendengar titah baginda maka ia pun masuk menjunjung Duli Yang Maha Mulia baginda, lalu ia membaca khutbah Saidina Ali nikah…”.
(Misa Melayu, 1992: 48)
|
Seterusnya,
ketika upacara pernikahan pula, Raja Muda membawa 100 tahil emas, 10 pasang
hamba (orang jawa) dan 1000 keping timah. Akad nikah dimulakan dengan khutbah
nikah, bersanding dan upacara bersiram. Majlis perkahwinan diadakan dengan
meriah dan secara besar-besaran. Golongan raja dan para pembesar berarak
mengiringi Raja Muda dan isterinya menuju masuk ke dalam istana. Adat istiadat
perkahwinan ini telah berlangsung selama
tujuh hari tujuh malam dan dihadiri oleh ribuan rakyat jelata.
Berdasarkan
adat meminang dan berkahwin yang diamalkan oleh golongan diraja di negeri Perak
dapat dilihat pandangan hidup yang menjadi pegangan masyarakat pada ketika itu.
Pandangan hidup yang dipegang oleh masyarakat Melayu khususnya di negeri Perak
ialah ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Ungkapan ini amat sesuai sekali bagi
masyarakat Melayu ketika itu kerana mereka sentiasa mendahulukan adat dalam apa
cara sekalipun. Hal ini dapat, dilihat apabila Raja Muda Iskandar memulakan
adat peminangan untuk menyampaikan hasrat hatinya ingin memperisterikan Raja
Budak Rasul sebelum meneruskan adat yang seterusnya iaiatu adat perkahwinan.
Oleh itu, jelas dilihat masyarakat pada ketika itu amat berpegang teguh kepada
adat resam.
2.3.2 Adat Bertindik dan Berinai
Pada zaman feudal lagi masyarakatnya sudah menjalankan
adat bertindik dan berinai. Jika dilihat, adat ini masih lagi diteruskan dan
diamalkan pada masyarakat kini. Namun, adat tersebut telah disesuaikan mengikut
syariat Islam supaya tidak menyerupai agama lain. Berdasarkan Misa Melayu, adat bertindik dapat
dilihat melalui peristiwa bertindik yang dijalankan terhadap raja Budak Rasul.
Buktinya dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:
“Selepas
diadakan istiadat meminang yang sangat meriah, kemudian diikuti pula dengan
istiadat bertindik puteri yang baru bertunang itu, maka pada akhir tahun
yang ketiga pertunangan itu disatukanlah Puteri Raja Budak Rasul dengan
Raja Muda”.
(Misa Melayu, 1992: 10)
|
Seterusnya,
adat berinai pula kebiasaannya dilakukan sebelum majlis perkahwinan berlangsung
dan dijalankan oleh pihak sebelah perempuan. Tambahan pula, adat ini juga
dilakukan dua hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan sering dilakukan
pada waktu malam. Adat berinai yang diadakan dalam kalangan golongan diraja
akan memperlihatkan upacara yang gilang gemilang. Hal ini dapat dilihat berdasarkan
bukti tatkala siang hari sebelum majlis berinai, inai pun diarak masuk ke dalam
istana. Inai itu dibubuh di atas kepala kera Hanuman yang diletakkan di atas
perarakan lalu diarak. Berdasarkan upacara yang dilakukan, jelas menunjukkan
pengaruh agama Hindu yang kuat sewaktu pemerintahan diraja Perak.
“… Hatta maka
berjaga-jaga itu pun sampailah tujuh belas malam hingga pada malam berinai,
maka daripada siangnya itu, maka masuklah Orang Kaya Besar mengarak inai ke
dalam. Maka inai pun dibubuhnya di atas kepala seekor binatang kera
‘Hanuman’. Maka diletakkan lah di aats perarakan, lalu diaraklah masuk ke
dalam kota sampai ke balai penghadapan, maka disambut oranglah inai itu
dengan seperti adat. Maka Orang Kaya
Besar pun dikurnia baginda persalin dengan selengkapnya. Maka pada
malam itu berinailah”.
(Misa Melayu, 1992: 42)
|
Adat
bertindik dan berinai ini menjadi satu adat istiadat yang penting diamalkan
khususnya bagi masyarakat Melayu. Berdasarkan adat bertindik dan berinai yang
diamalkan di dalam Misa Melayu dapat
dilihat pandangan hidup yang menjadi pegangan masyarakat Melayu pada ketika
itu. Pandangan hidup yang dipegang oleh masyarakat Melayu ialah ‘Biar mati
anak, jangan mati adat’. Ungkapan ini dipegang oleh masyarakat Melayu ketika
itu kerana mereka sentiasa mendahulukan adat dalam apa cara sekalipun. Namun,
adat yang diamalkan ini disesuaikan dengan syariat agama Islam supaya tidak
menyerupai agama lain. Oleh itu, jelas dilihat masyarakat pada ketika itu amat
berpegang teguh kepada adat resam dalam kehidupan seharian mereka.
2.3.3 Istiadat Kemangkatan
“… Maka dihadapi oleh anakanda baginda Al-Marhum Haji Allah. Setelah sudah, maka ditabalkan lalu diaraklah ke makam paduka ayahanda dengan sepertinya adat istiadat al-marhum. Shahadan lagi pula beberapa emas dan perak dihamburkan sepanjang-panjang jalan itu akan derma baginda. Setelah sampai ke makam, diletakkan lalu disembahyangkan pula. Maka berhimpunlah segala orang yang sembahyang menyembahyangkan baginda itu beberapa ratus diberi sedekah daripada rial dan kain-kain. Hatta setelah sudah, maka dikuburkanlah serta dibacakan talkin. Setelah sudah dikuburkan, adinda baginda itu maka Sultan Muzaffar Syah pun kembalilah dengan percintaan baginda serta memberi takziah akan adinda baginda itu tujuh hari baginda berhenti tiada nobat”.
(Misa Melayu, 1992: 53)
Istiadat kemangkatan dilakukan
adalah untuk membezakan golongan raja dengan golongan bawahan iaitu rakyat.
Raja mempunyai pangkat dan kuasa dalam segala hal. Istiadat ini dilakukan untuk
menunjukkan taat setia dan tanda hormat rakyat kepada raja yang telah berjuang
dalam memerintah dan mengekalkan keamanan negeri Perak. Oleh itu, istiadat ini
telah menjadi pegangan hidup bagi rakyat negeri Perak setiap kali mangkatnya
seseorang raja.
2.3.4 Istiadat Menjunjung Duli
Istiadat menjunjung duli dilakukan adalah untuk
memperlihatkan taat setia kepada raja. Pengarang Misa Melayu telah memperlihatkan istiadat ini melalui peristiwa
menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Muda dan anak-anak raja. Kebiasaannya,
adat ini dilakukan mengikut taraf masing-masing dan dimulai dengan raja-raja
serta anak-anak raja. Kemudian, golongan bangsawan dan seterusnya
pembesar-pembesar pada waktu pemerintahan tersebut. Contohnya, adalah seperti
yang berikut:
“…Setelah itu,
maka turunlah seorang bentara dipersilakan Raja Muda. Maka naiklah Raja
Muda menjunjung Duli Yang Maha Mulia. Kemudian, segala raja-raja dan
anak-anak raja pun disuruh oleh kepala bentara dari atas balai dipanggil
naik. Maka naiklah berganti-ganti menjunjung duli baginda. Kemudian maka
orang besar-besar pula menyembah dan segala bentara hulubalang pula
berganti-ganti menjunjung ahli baginda. Setelah sudah sekaliannya habis
menjunjung duli baginda maka semuanya pun duduklah beratur di balai”.
(Misa Melayu, 1992)
|
Raja
mempunyai kuasa dan pangkat yang tinggi berbanding golongan-golongan lain. Adat
ini menjadi sebenarnya telah menjadi pegangan mereka sehingga kini. Hal ini
demikian kerana, untuk memberikan penghormatan dan memperlihatkan taat setia
kepada golongan yang mempunyai kuasa tertinggi dalam tampuk pemerintahan negeri
atau negara.
2.3.5 Adat Melenggang Perut
Adat melenggang perut merupakan suatu adat yang
dijalankan ke atas seorang isteri yang hamil tujuh bulan. Adat ini diadakan
bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang
sepatutnya, iaitu di bahagian kepala iaitu di pintu rahim. Hal ini amat penting
untuk memudahkan ibu bersalin dan mengelakkan bayi lemas di dalam perut. Jika
dilihat adat ini masih lagi dilakukan sehingga kini.
Berdasarkan
Misa Melayu dapat dilihat adat
melenggang perut dijalankan kepada permaisuri kepada Sultan Iskandar Syah yang
mengandung tujuh bulan. Adat tersebut telah dijalankan di Balai Panca Persada
selama 40 hari 40 malam. Adat itu juga dihadiri oleh seluruh rakyat Perak
termasuk masyarakat Cina, India dan Belanda. Mereka juga turut mempersembahkan
hadiah kepada sultan. Selain itu, ketika majlis tersebut dilangsungkan terdapat
juga persembahan Menora dari Kedah pimpinan Kanda Seri Indera dan Nakhoda
Jumaat turut dipersembahkan dalam istiadat melenggang perut itu. Contohnya dapat
dilihat berdasarkan petikan berikut:
“Sementara itu
permaisuri baginda (Raja Budak Rasul) pun hamil. Apabila genap tujuh bulan,
diadakan istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Sebelum dilangsungkan
istiadat itu berbagai-bagai permainan telah diadakan beberapa hari; joget,
bunyi-bunyian, cara Melayu, cara kedah, cara Acheh termasuk Menaro. Selain
daripada itu, diadakan juga berjenis-jenis permainan sukan laut (sungai)
dan darat”.
(Misa Melayu, 1992: 13)
|
Adat
melenggang perut ini telah menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu. Hal ini
demikian kerana, adat ini memberi kelebihan dan kesenangan kepada ibu
mengandung. Ungkapan biar mati anak, jangan mati adat sememangnya menjadi
pegangan bagi masyarkat Melayu sehingga kini. Adat sememangnya akan didahulukan
daripada hal lain. Masyarakat Melayu berpegang kepada ungkapan tersebut kerana
memikirkan pelbagai kebaikan khususnya kepada ibu mengandung khususnya dalam
adat melenggang perut ini. Pandangan hidup mereka apabila melakukan adat ini
dapat membantu memperbetulkan kedudukan bayi di dalam kandungan dan memudahkan
si ibu melahirkan bayi tersebut. Oleh itu, jelas bahawa masyarakat Melayu amat
berpegang teguh kepada adat resam dan amat selari dengan ungkapan biar mati
anak, jangan mati adat.
2.3.6 Adat Istiadat Pertabalan Sultan
Berdasarkan Misa
Melayu, adat istiadat pertabalan sultan ini telah dilakukan ketika
kemangkatan Sultan Muzaffar Syah III. Upacara pertabalan Sultan Baru telah
dilakukan dimana Raja Muda Perak iaitu Raja Iskandar Syah telah diberi pakai
segala alat kebesaran kerajaan. Baginda ditabal menjadi Sultan Perak dengan
memakai gelaran Paduka Seri Sultan Zulkarnian Khalifatur Rahman Johan Berdaulat
Zillullahi Fil Alam. Pertabalan tersebut telah dilakukan sebelum jenazah
almarhum Sultan sebelumnya dikebumikan. Kebiasaannya, apabila adat pertabalan
ataupun adat menjunjung duli di Istana Perak akan disertai dengan paluan
gendang nobat Ibrahim kahlil atau disebut “bermahalil’.
“Maka
muafakatlah sekaliannya akan bicara menabalkan Raja Muda laki isteri.
Setelah sudah putus bicaranya, maka Raja Muda dua laki isteri memakai
segala alat pawai kerajaan selengkapnya serta sedia sekalian pedang
kerajaan dan segala kebesaran yang lainnya. Setelah itu, maka dihadapi oleh
segala anak raja-raja dan segala orang besar-besar dan hulubalang rakyat
sekaliannya berhadir, maka bunyi-bunyian pun dipukul oranglah gendang
nafiri tujuh kali. Ada pun setelah tujuh kali tabal, maka segala anak
raja-raja dan orang besar-besar dan rakyat sekalian serta segala isi negeri
Perak ini semuanya mengangkat tangan di atas kepalanya mengatakan, “Daulat
tuanku! Barang dilanjutkan Allah kiranya umur zaman baginda diatas takhta
singgahsana kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan ikrar sentiasa dihadapan
seisi negeri dengan orang tiadalah khalil siang dan malam”. Adapun gelaran
baginda itu diatas kerajaan, Paduka Seri Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah
Khalifatur Rahman Johan Berdaulat Dzillullahi Filalami. Setelah sudah
baginda tabal dua laki isteri, maka diangkatlah oranglah pula jenazah
ayahanda baginda ke pintu Rong”.
(Misa Melayu, 1992: 52)
|
Berdasarkan
adat pertabalan sultan ini dapat dilihat pegangan golongan diraja ketika itu
dari aspek perwarisan takhta. Negeri Perak amat berpegang kepada konsep
pengiliran dalam pemerintahannya. Hal ini demikian kerana, untuk memberi
peluang kepada setiap individu yang mempunyai darah dan keturunan raja untuk
memegang tampuk pemerintahan. Penyusunan jentera pemerintahan negeri Perak
seperti Raja Muda, Raja Bendahara, Raja di Hilir, raja di Baruh, Raja Kecil
Besar, Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Muda dan Raja Kecil Bongsu. Oleh itu,
jelaslah bahawa golongan diraja di negeri Perak berpegang teguh kepada prinsip
perwarisan takhta.
2.4 Estetika dan
Kepengarangan dalam Misa Melayu
Misa Melayu
merupakan karya agung yang mengandungi unsur estetika dan kepengarangan yang
menarik dan meninggalkan kesan kepada pembaca. Aspek estetika dan kepengarangan
merupakan salah satu ciri terpenting dalam sesebuah karya agung. Menurut Seri
Lanang Jaya Hj. Rohani (2016: 91), estetik berhubung dengan aspek keindahan, iaitu yang terdapat
pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan. Dalam erti kata lain, estetik
dalam sesebuah karya merupakan seni keindahan yang berkait rapat dengan
struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran,
imaginasi dan wawasan. Kepengarangan pula merupakan mekanisme dan kaedah
pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang
pengarang itu. Sifat kepengarangan dan keunggulan seseorang pengarang dapat
dibina melalui seni sastera ataupun nilai estetika yang terdapat dalam karya
pengarang itu sendiri. Kepengarangan dan estetika dalam Misa Melayu
adalah seperti berikut:
2.4.1 Motif Pengarang
Karya Misa Melayu ini ditulis oleh Raja Chulan kerana beliau
mahu menyampaikan kepada generasi akan datang mengenai kegemilangan
pemerintahan raja pada zamannya. Motif beliau ini dapat dilihat berdasarkan
frasa ‘supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kelak’ di dalam Misa
Melayu. Motif utama beliau menulis Misa Melayu ini adalah untuk
memenuhi kehendak raja atau dengan erti kata lain menurut titah sultan pada
zaman tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui syair yang terdapat dalam Misa
Melayu. Syair tersebut adalah seperti di bawah:
tuanku titahkan patik mengarang,
diperbuat juga sebarang-barang,
sajaknya janggal manisnya kurang,
haram tak sedap didengar orang.
2.4.2 Kekuatan
Kepengarangan
Raja Chulan berjaya menghasilkan suatu bentuk histiografi berkenaan
sejarah negeri Perak yang sarat dengan pengetahuan dan penceritaan yang memberi
impak positif kepada pembaca. Berdasarkan karya Misa Melayu, terdapat
beberapa kekuatan yang telah dikenal pasti daripada hasil kepengarangan Raja
Chulan. Antara kekuatan pengarang dalam karya ini ialah Raja Chulan menggunakan
tarikh yang tepat dalam menyatakan sesuatu peristiwa. Kekuatan seterusnya ialah
Raja Chulan telah menyelitkan ciri pensejarahan Islam dalam karya Misa
Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan lafaz Bismillah
pada awal penulisannya dalam karya Misa Melayu ini. Beliau turut
menggunakan perkataan lain yang berunsurkan Islam, iaitu frasa ‘dengan izin
Allah’. Contoh lain penggunaan frasa yang berunsurkan islam adalah seperti
berikut:
“...Ampun
tuanku, insya-Allah Taala barang dipanjangkan Allah
kiranya hadrat Duli Yang
Maha Mulia di dalam dunia ini…”
“…setelah sudah baginda
berwasiat demikian, maka datanglah
peredaran
dunia ini. Inna lillahi wainnailaihirajiun.”
Selain itu,
kekuatan pengarang juga dapat dilihat apabila beliau memasukkan salasilah dan
jurai keturunan kerajaan negeri Perak. Dalam Misa Melayu, pengarang juga
telah menonjolkan keunikan sistem politik yang berlaku di Perak. Raja Chulan menyatakan
pimpinan raja pada zaman tersebut lebih banyak meminta nasihat dan pendapat
daripada pembesar negeri dengan tujuan menjaga kepentingan rakyatnya. Hal ini
bermaksud, raja pada masa itu tidak berkuasa mutlak dalam pemerintahannya
tetapi masih mementingkan masyarakat sekelilingnya. Hal ini dapat dibuktikan
melalui teks berikut:
“
….yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudahlah akan ganti
kita. Maka hendaklah bicara orang-orang besar dan segala hulubalang pegawai
pada memerintahkan takhta kerajaan anakanda selenggarakan hukuman negeri
ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak…”
|
Seterusnya,
kekuatan kepengarangan Raja Chulan dalam Misa Melayu juga dapat dilihat
apabila beliau tidak menggunakan unsur-unsur mitos atau dongeng di dalam karya
tersebut tidak seperti Karya Agung Melayu yang lain yang banyak menggunakan
unsur mitos di dalamnya. Hal ini demikian kerana, karya Misa Melayu
merupakan karya histiografi yang penting bagi negeri Perak. Walau bagaimanapun,
karya ini tetap memasukkan pantun dan syair sebagai penyeri karya. Karya
sejarah negeri Perak ini mengandungi peristiwa yang benar-benar telah berlaku
selain memberikan gambaran mengenai struktur politik, undang-undang, kegiatan
ekonomi, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pemerintahan negeri
Perak pada zaman tersebut. Raja Chulan turut memasukkan susunan pembesar
kerajaan negeri, struktur masyarakat, adat istiadat dan bentuk kesenian yang
wujud pada zaman tersebut.
Kesahihan
peristiwa yang dimasukkan oleh Raja Chulan dalam karya Misa Melayu ini dapat
dibuktikan dengan merujuk kepada beberapa sumber lain seperti sejarah Belanda.
Persamaan ini dapat mengukuhkan lagi ketepatan maklumat dalam Misa Melayu. Hal
ini jelas menunjukkan bahawa pengarang Misa Melayu mempunyai kesedaran dan
pengetahuan yang mendalam mengenai sejarah negeri Perak.
2.4.3 Seni Bahasa
Kepengarangan
dan esterika dalam sesuatu karya dapat juga dilihat berdasarkan seni bahasa
yang digunakan oleh pengarangnya. Begitu juga dengan karya Misa Melayu
yang unsur kepengarangannya dapat dilihat berdasarkan penggunaan seni
bahasanya. Seni bahasa dalam karya Misa Melayu menunjukkan unsur kreativiti
pengarangnya. Seni yang digunakan oleh Raja Chulan dalam karya Misa Melayu
adalah seperti berikut:
i.
Penggunaan retorik
Retorik merupakan salah satu aspek yang boleh digunakan oleh
pengarang dalam menghasilkan sebuah karya. Retorik adalah teknik pemakaian
bahasa secara berkesan dalam penulisan yang dilakukan bagi tujuan mempengaruhi
khalayak ataupun masyarakat sekeliling. Retorik yang digunakan oleh Raja Chulan
dalam Misa Melayu ialah retorik pemerian. Retorik pemerian tersebut berbentuk
penjelasan dan huraian mengenai sesuatu idea untuk menyampaikan sesuatu fakta
dan maklumat yang lengkap kepada pembacanya. Contohnya dapat dilihat dalam
petikan di bawah:
“Hatta, maka baginda pun hendak pindah membuat negeri di Pasir
Pulai. Telah sudah istana baginda diperbuat oleh Raja Muda dan Raja
Bendahara serta dengan segala orang besar-besar hulubalang pegawai rakyat
sekaliannya,lengkap dengan kota paritnya, maka baginda pun berpindahlah ke
Pasir Pulai berbuat negerilah di sana itu…”
(Misa Melayu: 134)
|
Selain itu, Raja
Chulan juga menggunakan retorik penerangan dalam karya Misa Melayu.
Retorik penerangan merupakan retorik yang berfungsi untuk memberi penerangan
dengan lebih terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain.
Hal ini adalah bertujuan untuk memberikan penjelasan yang lebih tersusun kepada
para pembaca. Retorik ini dapat dilihat semasa Raja Chulan menceritakan proses
peminangan dan perkahwinan anak Raja Selangor dengan anak Raja Kedah seperti
dalam petikan berikut:
“Hatta maka beberapa lamanya raja Selangor pun hendak mengerjakan
mengahwinkan puteranya dengan anak raja Kedah. Maka raja Selangor pun
menyuruh ke Perak memanggil segala raja-raja Perak. Maka dititahkan Sultan
Mahmud Syah…”
(Misa Melayu: 133)
|
ii.
Gaya Bahasa
Seni bahasa juga
dapat dilihat berdasarkan gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam
menghasilkan karyanya. Berdasarkan karya agung Misa Melayu yang dikaji,
didapati terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan oleh pengarangnya. Gaya
bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam karya ini adalah untuk menjadikan
kisah yang ingin disampaikan menarik dan dapat mewujudkan imaginasi para
pembaca terhadap kisah tersebut. Selain digunakan dalam keperengganan,
pengarang turut menyelitkan gaya bahasa dalam pantun dan syair yang terdapat
dalam karya Misa Melayu ini. Gaya bahasa yang digunakan dalam karya Misa
Melayu adalah seperti berikut:
·
Gaya bahasa pertentangan
Gaya bahasa pertentangan yang digunakan dalam karya Misa Melayu
ialah gaya bahasa hiperbola. Hiperbola merupakan gaya bahasa yang mengandungi
pernyataan yang berlebih-lebihan jumlahnya, ukurannya atau sifatnya dengan
tujuan memberi penekanan. Penggunaan gaya bahasa hiperbola ini juga bertujuan
untuk menggerakkan cerita tentang kehebatan, kesaktian dan kekuasaan seorang
raja yang tidak dapat ditandingi oleh rakyat biasa. Selain itu hiperbola juga
bertujuan untuk menggambarkan suasana atau kejadian yang sangat hebat pada masa
dahulu. Contoh penggunaan hiperbola dalam Misa Melayu ialah:
“….Maka gendang negara serunai nafiri ceracap pun dipalu
oranglah dengan segala bunyi-bunyian pula berbunyilah, terlalu adzmat
bunyinya, tiada sangka bunyi lagi, seperti kiamatlah lakunta Pulau Indera
Sakti”.
(Misa
Melayu)
|
Petikan di atas
menunjukkan penggunaan gaya bahasa hiperbola yang menerangkan suasana ketika
berlangsungnya upacara dan adat perkahwinan raja pada masa itu. Kemeriahan dan
keriuhan serta bunyi gendang dan nafiri yang digambarkan adalah melampau, iaitu
gambarannya seperti kegamatan atau kekecohan yang akan berlaku pada hari
kiamat.
·
Gaya Bahasa Perbandingan
Dalam
karya Misa Melayu ini, penggunaan gaya bahasa atau majaz perbandingan dapat
dilihat melalui unsur simile. Gaya bahasa simile merupakan penggunaan gaya
bahasa yang membandingkan dua hal padahal berlainan ataupun sengaja dianggap
sama. Simile selalunya menggunakan perkataan “seperti”, “umpama”, “bagai” dan
“laksana”. Contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam karya ini ialah:
“...akan bunyi-bunyian dan segala bedil itu tiada berhenti
gegak gempita juga bunyinya, tiadalah diketahui orang akan kenaikan
kecemasan itu, seperti orang bermain-main juga rupanya.”
(Misa
Melayu: 46-47)
“...Setelah
sampai ka- dalam istana, maka didudukkan di atas peterana. Maka
diperbuatlah seperti adat raja-raja yang besar kahwin.”
(Misa Melayu: 48)
|
·
Pantun
Pantun merupakan
ciptaan asli orang Melayu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) mendefinisikan
Pantun sebagai puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam
tiap-tiap rangkap. Dua baris pertama merupakan pembayang dan yang selainnya
merupakan baris maksud. Dalam karya Misa Melayu, pengarang turut menggunakan
pantun sebagai usaha menghasilkan keindahan bahasa dalam karyanya. Contoh
pantun yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:
“Balai
bertingkap bersulor bayong,
Kenaikan sultan sedang berangkat,
Bagai zamrud di-merchu gunong,
Saperti intan sudah terikat.
Kenaikan sultan sedang berangkat,
Meninggalkan desa berahman indera,
Saperti intan sudah terikat,
Persembahan segala bala tentera.”
(Misa
Melayu: 68)
·
Syair
Salah satu
keistimewaan karya Misa Melayu berbanding dengan karya agung yang lain ialah
karya ini mengandungi bahagian syair yang terlalu panjang. Menurut Jelani Harun
(2013: 13), karya Misa Melayu ini mengandungi 424 rangkap syair yang
mengisahkan persiapan-persiapan dan pelbagai peristiwa yang berlaku semasa
Sultan Iskandar Inayat Shah belayar ke laut. Dari segi isi kandungan syairnya,
Raja Chulan bukan sahaja mengulangi peristiwa yang telah diceritakan dalam
bahagian prosanya, malahan beliau turut memuatkan maklumat baru yang tidak
diceritakan pada bahagian prosa. Kewujudan ikatan-ikatan syair dalam Misa
Melayu jelas menunjukkan kebolehan dan kehebatan Raja Chulan sebagai pengarang
karya agung pada zamannya. Antara rangkap syair yang terdapat dalam Misa Melayu
ialah:
Ada
sa-buah baharu di-reka,
Dandan-nya
indah sikap belaka,
Ukiran
kalok bertulis belaka,
Sikap
sa-perti se-ekor naga.
Sa-ekor
mawas tegak di-haluan,
Saperti
singa menchari lawan,
di-kurniakan
duli yang di-pertuan,
kenaikan raja
putera bangsawan.
(Misa
Melayu: 122)
·
Penggunaan Kosa Kata Bahasa Melayu Klasik dan Pengaruh Bahasa Asing
serta Dialek Perak
Dalam misa
Melayu, pengarang turut menggunakan kosa kata Melayu lama atau klasik dan pengaruh
bahasa asing. Contoh penggunaannya
adalah seperti dalam jadual di bawah:
Perkataan
|
Maksud
|
Gedung gelap
|
Penjara
|
Surat chiri
|
Surat perlantikan
|
Baur
|
Alat kebesaran
|
Berhati salah
|
Nilai tidak baik
|
Balai lepu
|
Balai tengah
|
Tiada sangka
|
Tidak terhingga
|
Milawati
|
Menara kawalan
|
Karallah
|
Menara kawalan
|
Berpontoh
|
Bergelang besar
|
Menaruh riyal
|
Menyimpan / menggunakan duit riyal
|
Kurang nazarnya
|
Kurang pertimbangannya
|
Toleh tenggala
|
Jam 9.00-11.00 pagi
|
Selain itu,
pengarang Misa Melayu juga menggunakan dialek perak dalam menghasilkan
karya yang bersifat sejarah ini. antara contoh dialek Perak yang digunakan
dalam karya ini ialah:
Dialek
|
Maksud
|
Mike
|
Kamu
|
Celung
|
Kandang
|
Merosok
|
Menyembunyikan
|
2.5 Nilai Ilmu dalam Misa
Melayu
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010),
perkataan nilai merujuk
kepada darjat, kualiti,
mutu dan taraf.
Dalam bidang sains
sosial, nilai boleh
didefinisikan dalam tiga
konteks utama, iaitu
sebagai sifat bagi
menyatakan kepentingan atau
manfaat sesuatu objek,
menyatakan kadar harga
atau markah sesuatu
objek berbentuk kuantiti dan
sebagai ukuran atau
piawaian kepada sesuatu
kelakuan manusia. Nilai
juga diistilahkah sebagai
‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih
merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu.
Nilai juga
bersifat aksiologi dan
mempunyai hubung kait
dengan falsafah nilai.
Nilai membolehkan manusia
membezakan antara yang
baik atau buruk
dan betul atau
salah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud
pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat,
zahir, batin dan
lain-lain. Oleh itu,
dapatlah kita simpulkan
bahawa ilmu adalah
hal yang berkaitan
kerana pemerolehan ilmu itu
dan usaha kita
menyebarkannya kepada orang
lain dalam bentuk
pelbagai maklumat. Maklumat
yang disebarkan mengandungi
pelbagai fungsi.
Antara fungsi
sesuatu ilmu itu
ialah disebarkan untuk menambah
ilmu pengetahuan dan mengembangkan lagi
perkara yang mengandungi
pelbagai kemusykilan dan
lain-lain. Dalam Misa
Melayu, ilmu yang
ingin dikaji ialah
ilmu pentadbiran atau
sistem beraja, ilmu
firasat, ilmu sejarah
dan ilmu ekonomi.
2.5.1 Ilmu Pentadbiran
atau Sistem Beraja
Pentadbiran boleh didefinisikan
sebagai perbuatan melaksanakan
urusan, mengelola, atau
menjalankan sesuatu pejabat,
kerajaan dan lain-lain
lagi. Definisi lain
yang lebih mudah
ialah pentadbiran ialah perlakuan untuk
mengurus atau bertindak
sebagai ejen dalam
hal ehwal fungsi
pentadbiran atau fungsi
kerajaan. Sebagai contoh,
dalam Misa Melayu
telah diwujudkan sistem
beraja yang mengikut
susunan yang telah
diatur dengan baik.
susunan tersebut ialah:
i. Raja Muda
ii. Raja Bendahara
iii. Raja Di
Hilir
iv. Raja Di
Baruh
v. Raja Kecil
Besar
vi. Raja Kecil
Tengah
vii. Raja Kecil
Muda
viii.
Raja Kecil Bongsu
Misa
Melayu telah
membuktikan bahawa sistem
perwarisan takhta dan
penggantian raja Perak
ialah dalam satu
struktur yang tersusun.
Nama raja-raja Perak
yang diceritakan dalam Misa Melayu
ialah Sultan Mudzafar
Shah 111 (1728-1744), Sultan Iskandar
Dzulkarnain Shah (1750-1765),
Sultan Mahmud Shah
(1765-1773) dan Sultan
Alauddin Mansur Shah
(1773-1786). Kesemua sultan
ini adalah pemerintah
yang berpusat di
Barhaman Indera / Berahman
Indera yang kini
lebih dikenali sebagai
Bota, Pulau Tiga,
Pulau Indera Sakti,
Pasir Pulai dan
Pulau Besar Indera
Mulia.
Hal
ini menunjukkan kawasan
persekitaran tempat-tempat tersebut
adalah kawasan kediaman
raja-raja dan pembesar
Melayu di negeri
Perak sekitar awal
abad ke-18 lalu
sebelum pusat pemerintahan
tersebut berpindah ke
Kuala Kangsar sehingga
ke hari ini.
sehingga kini, masih
terdapat banyak makam
raja-raja Perak di
Bota, Pulau Tiga,
Kampung Gajah, Pulau
Juar, Pasir Pulai,
Bandar Baharu dan
Belanja. Kesultanan Perak
mempunyai wilayah kekuasaannya
yang tersendiri yang
sering disebut secara
umum dalam Misa
Melayu sebagai “segenap
teluk rantau dan
anak-anak sungai” atau
“segala anak sungai
segala teluk rantau
jajahan negeri”.
Dalam
sistem kesultanan Perak, seorang Raja Muda adalah bakal sultan, orang yang akan
menaiki takhta apabila sultan yang ada mangkat. Selaku bakal sultan, Raja Muda
harus mempersiapkan diri dengan segala ilmu yang penting ketika itu agar dapat
meneruskan tugas pemerintahan dengan baik apabila tiba masanya menjadi sultan
kelak. Antara persediaan seorang Raja Muda yang utama termasuklah memiliki
perwatakan dan keperibadian yang mulia agar dikasihi oleh rakyat, tahu adat
istiadat negeri, mendalami ilmu agama, pandai bertutur kata, dan barangkali
juga memiliki kemahiran dalam ilmu persenjataan dan sebagainya. Mengikut
pandangan Raja Chulan, segala sifat yang istimewa ini kelihatannya telah
dimiliki oleh Raja Iskandar.
2.5.2 Ilmu Firasat
Menurut Kamus
Dewan (2010), firasat
ialah pengetahuan mengenai
tanda-tanda pada muka,
badan dan lain-lain
untuk mengetahui kelakuan
atau nasib orang.
Tilikam atau ramalan
ahli nujum itu
berkaitan dengan ilmu
firasat. Menurut Sulastin
Sutrisno, orang yang
mempunyai ilmu tersebut
dapat merasa, melihat,
atau mengetahui terlebih
dahulu segala sesuatu
yang akan berlaku.
Melalui ilmu firasat
juga, seseorang itu
akan dapat mengetahui
kelebihan dan kelemahan
orang lain, antaranya
berdasarkan nama, haru
atau ketika. Dalam Misa Melayu,
ilmu firasat dapat
dikenal pasti menerusi
perbualan Sultan Iskandar
dengan pawangnya berkenaan
keinginannya untuk mencari
ikan di sungai.
Maka titah baginda,
“Hai Sang Paya
Indera dan Sang
Paya Diraja, di
mana sungai-sungai yang
baik beta hendak
menuba?” Maka sembah
pawang kedua itu,
“Tuanku, ampun. Kepada
pemandangan patik sekalian,
sungai yang baik
dan ikannya banyak
Sungai Budimanlah yang
patut tuanku berangkat
bermain-main membawa adinda
baginda sekalian.”
(Misa Melayu)
|
Melalui teks
di atas, jelas
menunjukkan bahawa pawang
berkenaan mempunyai ilmu
firasat iaitu dengan
hanya melihat kawasan
dan keadaan sungai
terbabit, mereka sudah
mengetahui keadaan serta
ikan-ikan yang berada
di dalam sungai
terbabit.
2.5.3 Ilmu Sejarah
Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari
awal hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan
diberi kepada era Sultan Mudzafar Shah dan Sultan Iskandar Dzulkarnain.
Manakala, sultan-sultan Perak yang lain sama ada pada peringkat awal atau
selepas mereka disebut secara ringkas. Pengkisahan bermula dari Al-Marhum
Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas baginda, takhta
kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah
selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang
memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah
terbahagi kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh
Raja Inu, bergelar Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau Tiga yang diperintah oleh
Raja Bisnu yang bergelar Sultan Muhamad Shah.
Atas usaha dan kebijaksanaan Raja
Iskandar, putera pertama Sultan Muhamad Shah, maka Perak telah disatukan
semula. Raja Iskandar banyak berjasa
dalam bidang politik
kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang
serangan atau campur tangan Sultan Berkabat, iaitu seorang
raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah
dan Daeng Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga telah
berlaku satu percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam bersama-sama orang
Bugis tempatan. Raja Alam tidak berpuas
hati dengan keputusan Raja Iskandar yang
tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk berpindah ke
Kuala Kangsar. Raja Alam mencari bantuan
kuasa Belanda, akhirnya, Raja Alam telah ditangkap dan dibuang ke Melaka.
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad,
ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja
Budak Rasul dengan Raja Iskandar
iaitu Raja Muda. Selepas
kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda Iskandar ditabalkan menjadi Sultan,
bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat Ur-Rahman. Pengkisahan era
pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci berbanding dengan era
sultan-sultan yang sebelum dan selepas baginda.
Sultan Iskandar memerintahkan ibu
negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Pulau Chempaka Sari. Tetapi
rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya persengketaan
kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, kerana angkara seorang juru
bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya
menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamakan Bandar Makmur.
Selain daripada itu dinyatakan juga
tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari
raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah
mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh
sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah
mahligai yang terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan jadi ingatan
kepada zuriat baginda pada masa akan datang.
Baginda
Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan pula oleh
Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman
pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor datang
mengadap dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan sepupu
Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira lapan tahun memerintah, baginda diganti oleh
adindanya, Sultan Alauddin.
2.5.4. Ilmu Ekonomi
Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah negeri Perak membuat hubungan diplomatik
dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli
pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka membelinya
dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00
bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan
sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus.
Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam
bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Sedikit sebanyak, dengan
kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri
Perak pada ketika itu. Masyarakat pada
ketika itu menggunakan
sistem ekonomi feudal.
Dalam sistem tersebut,
sultan dan pembesar
negeri adalah orang-orang
yang memonopoli eksport
dan import. Manakala, rakyat
biasa sekadar pekerja
dan menjalankan suruhan
pembesar semata-mata. Pedagang
luar juga datang
berdagang ke negeri
Perak pada ketika
itu. Hal ini dapat dilihat
menerusi petikan berikut:
“Adapun pada masa
itu Holanda dan
orang Cina dan
orang Keling pun
semuanya datang persembahkan segala
permainannya
berbagai-bagai rupanya dan
lakunya.”
(Misa Melayu)
|
Pada bahagian yang lain pula
diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang
diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Namun begitu, mereka mahukan agar bijih timah
tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ.
Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ia dilakukan di
Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba menggertak dengan menembak ke
arah Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan
kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan
bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan
Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon
keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang
semula.
3.0 Kesimpulan
Secara
keseluruhannya, Misa Melayu merupakan
satu karya yang ditulis oleh salah seorang golongan istana, iaitu Raja Chulan
dalam usaha untuk memperlihatkan sejarah pemerintahan kerajaan Perak yang
bermula daripada Almarhum Jaliullah sehinggalah Sultan Alauddin Mansur Shah.
Dalam pada itu, hampir 77% daripada karya ini tertumpu kepada era pemerintahan
Sultan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan merupakan seorang sultan yang
berwibawa dan bijaksana dalam menyelesaikan segala konflik politik yang berlaku
kepada kerajaan baginda dan dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang
pemerintah. Selain itu, Raja Chulan juga turut menggambarkan kehidupan sosial,
norma masyarakat, dan nilai-nilai yang cuba ditunjukkan oleh masyarakat pada
ketika itu kepada generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, dapatlah
disimpulkan bahawa karya Misa Melayu
ini sememangnya merupakan salah satu contoh karya yang tergolong dalam karya
agung Melayu. Karya ini dikatakan menepati ciri-ciri sebuah karya agung kerana
aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu,
estetika serta teknik kepengarangan berjaya digarapkan dengan baik menerusi
karya tersebut. Berdasarkan aspek-aspek itu juga, buah tangan daripada Raja
Chulan ini dapat dijadikan sebagai panduan dan rujukan yang penting kepada
generasi akan datang untuk mengambil segala iktibar daripada segala peristiwa
yang diceritakan dalam karya ini dalam mendepani realiti kehidupan masa kini
yang penuh dengan liku-liku cabaran.
No comments:
Post a Comment