Setiap bangsa dan tamadun mempunyai karya
mereka yang tersendiri. Karya tersebut yang menjadi salah satu bahan dan bukti
untuk dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa. Hal ini demikian kerana,
sesebuah karya yang dihasilkan akan menjadikan masyarakat mereka sendiri
sebagai latarnya dengan mencatatkan perihal dan perlakuan masyarakat sesuatu
bangsa di dalam karya tersebut. Karya-karya yang dihasilkan ini yang akan
menjadi bahan rujukan untuk generasi yang akan datang. Karya-karya yang dapat
bertahan lama sehingga boleh dijadikan rujukan oleh generasi baru merupakan
karya yang hebat dan karya-karya hebat inilah yang dikenali sebagai Karya
Agung.
Menurut
Seri Lanang Jaya et al. (2016: 01), Karya Agung dalam konteks dunia Melayu
boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal
sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu budayanya. Nilai yang
dimaksudkan adalah nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang
terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa dan
nilai bahasanya yang tinggi dan indah. Menurutnya lagi, Karya Agung merupakan
karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah
hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya ulung yang dimaksudkan ialah karya yang
berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial
yang kekal dalam kesedaran dan ingatan
bersama bangsa itu. Jelaslah bahawa karya agung merupakan karya yang dijadikan
sebagai bahan rujukan dan ikutan untuk generasi yang akan datang.
Karya
Agung Melayu pula merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta atau
hasil kreativiti seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu
dalam menggambarkan idealisme, nilai pandangan hidup, adat, budi, kesedaran
dari segi agama dan moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui
bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu untuk
meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah yang kekal sepanjang
zaman dalam kehidupan bangsa Melayu. Secara amnya, ketamadunan Melayu amat
dipengaruhi dan dibentuk oleh tradisi sastera ini sendiri. Karya Agung Melayu
juga merupakan karya-karya agung yang ditulis atau diungkapkan serta
dilisankan, seperti pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain lagi dalam bahasa
Melayu tanpa mengira kelompok bangsa dan etnik dalam kawasan dunia Melayu, sama
ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei dan
sebagainya yang menghasilkan karya-karya tersebut.