Tokoh Karya Agung

RAJA ALI HAJI

Image result for Raja ali haji


Raja Ali Haji atau Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji merupakan seorang pengarang karya agung yang dilahirkan di Penyengat, Riau dalam tahun 1809 (Seri Lanang Jaya et al, 2016). Malangnya, tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh mana-mana pengkaji sekalipun (Siti Hawa, 1997). Dengan itu, tarikh lahir beliau dapat dijangka menerusi tarikh-tarikh yang pernah disebut dalam kitab Tuhfat al-Nafis, iaitu pada tahun 1809. Berpandukan kitab karangan beliau, para pengkaji juga dapat menganggarkan tarikh kemangkatan beliau, iaitu sekitar tahun 1869 hingga 1875.

            Beliau bukan sahaja berasal daripada keluarga bangsawan, bahkan berlatarkan keluarga penyair. Hal ini demikian kerana, bapanya, yakni Raja Ahmad merupakan pengarang Syair Ungku Puteri. Manakala adik-adiknya, iaitu Raja Saleha dan Raja Daud juga seorang pengarang. Legasi ini diteruskan lagi dengan kehadiran anak-anaknya, iaitu Raja Hassan, Raja Safiah dan Raja Kalthum masing-masing merupakan pengarang Syair Burung, Syair Kumbang Mengindera dan Syair Saudagar Bodoh. Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa darah yang mengalir dalam keluarga Raja Ali Haji ini merupakan darah keturunan pengarang. Atas alasan tersebut, beliau turut terjebak dalam alam penulisan sehingga berjaya menghasilkan kitab-kitab seperti Kitab Pengetahuan Bahasa, Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat al-Nafis dan sebagainya.

                  Raja Ali Haji telah memberikan sumbangannya kepada peradaban Melayu menerusi aspek keilmuan dan keagamaan. Memandangkan beliau merupakan seorang ulama yang disegani, beliau banyak mengarang kitab yang membicarakan aspek keagamaan dan peraturan Islam seperti wuduk, sembahyang, puasa dan sebagainya dalam syair beliau yang bertajuk Syair Siti Sianah. Manakala dalam Syair Kitab al-Nikah pula, beliau memberi penekanan kepada masyarakat yang menggunakan perkahwinan Cina buta sebagai jalan penyelesaian kepada seorang suami yang gila talak.

            Dari sudut kebudayaan pula, Raja Ali Haji menjadikan karya-karyanya sebagai wadah kawalan sosial yang merangkumi pergaulan, tatacara hidup dan akhlak masyarakat pada ketika itu. Atas alasan tersebut, beliau menggunakan karyanya untuk mengkritik cara hidup masyarakat yang terpengaruh dengan budaya Belanda yang datang menjajah pada ketika itu. Kenyataan tersebut dapat dikukuhkan lagi dengan kenyataan Seri Lanang et al. (2016) yang menjelaskan bahawa Tuhfat al-Nafis merupakan satu karya satira politik berdasarkan situasi Johor-Riau yang menunjukkan keperibadian raja Melayu yang lemah. 

            Sehubungan itu, beliau turut memainkan peranan dalam memperkembang bahasa Melayu menerusi sebuah manukrip yang membincangkan perihal tatabahasa Melayu, iaitu Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab tersebut merupakan ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum dan pendapat serta pendangan pengarang mengenai kata-kata yang dimuatkan dalam buku tersebut (Mohamad Daud, 1987). Menerusi kitab itu juga, beliau menyatakan sudut pandangnya mengenai sikap masyarakat Melayu yang mempunyai kecenderungan untuk merosakkan bahasa dan tidak berusaha untuk mempertahankan bahasa tersebut meskipun ironinya merekalah pengguna asli bahasa Melayu pada ketika itu.

            Selain itu, beliau juga melebarkan sumbangannya dalam bidang pensejarahan melalui karyanya yang bertajuk Tuhfat al-Nafis. Dalam karya ini, beliau telah menggalurkan sejarah raja-raja Melayu dan Bugis dengan memuatkan tarikh-tarikh peristiwa tersebut dengan terperinci untuk mengukuhkan lagi bukti-bukti yang diutarakan oleh beliau. Kenyataan ini turut disokong oleh Seri Lanang et al. (2016)  yang mengatakan bahawa catatan tarikh yang dimuatkan oleh Raja Ali Haji membawa pembaca ke arah dimensi yang tepat, jelas dan konkrit. Oleh hal yang demikian, dengan adanya tarikh-tarikh tersebut, generasi masa kini berpeluang untuk mengetahui dan memahami sejarah dengan lebih mendalam.

ABDUL SAMAD AL-FALAMBANI


Image result for abdul samad al falambani


Syeikh Abdul Samad al-Falambani ialah seorang pengarang yang dilahirkan pada tahun 1704 di Palembang dan berasal daripada keturunan Arab. Ayah beliau, iaitu Syeikh Abdul Jalil bin Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani merupakan seorang ulama yang dilantik menjadi mufti Kedah pada awal abad ke-18. Oleh hal yang demikian, beliau menerima pendidikan awal daripada ayahnya sebelum dihantar ke daerah Patani untuk mendalami ilmu pondok. Sepanjang berada di pondok, beliau telah berguru dengan berbagai-bagai guru seperti Syeikh Abdur Rahman bin Mubin Pauh Bok, Syeikh Muhammad bin Samman, Syeikh Abdul Raug Singkel dan Syamsuddin al-Sumaterai. Hasil daripada pembelajaran tersebut, beliau telah menjadi ulama yang bukan sahaja memilik kepakaran bahkan keistimewaan dalam bidang ilmu tasawuf kerana hampir kesemua gurunya mempunyai kecenderungan ke arah ilmu Tasawuf.

            Sehubungan itu, beliau juga telah dihantar oleh ayahnya ke Mekah dan Madinah untuk mendalami ilmu agama Islam dengan lebih terperinci dan menyeluruh (Muhamad Razak, 2016). Muhammad Arsyad al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman al-Batawi dan Daud al-Fatani merupakan antara ulama terkenal yang belajar bersama-sama dengannya di Mekah dan Madinah. Meskipun menetap di Mekah, beliau tidak sesekali melupakan negeri kelahirannya, yakni Palembang kerana beliau sentiasa memberikan perhatian yang cukup besar kepada perkembangan sosial, politik dan keagamaan di situ.

          Sumbangan Syeikh Abdul Samad al-Falambani ini lebih tertumpu kepada peradaban Melayu. Hal ini demikian kerana, hasil tulisan beliau banyak berpaksikan minat dan cintanya dalam bidang tasawuf Islam. Sebagai contoh, beliau berusaha untuk memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak terjerumus dalam ajaran-ajaran sesat yang bercanggah dengan ajaran tasawuf sehingga meremehkan syariat Islam yang dituntut Allah SWT.

            Sehubungan dengan itu, Hidayatus Salikin dan Sayr al-Salikin merupakan dua karya daripada keseluruhan karyanya yang menampilkan beliau sebagai tokoh tasawuf yang paling menonjol. Hal ini demikian kerana, kedua-dua karya tersebut masih terkenal dan relevan hingga ke saat ini. Dalam kitab Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-muttaqin, beliau mencuba untuk memperlihatkan adab dan kelebihan ilmu, letaatan dalam beribadah, kemungkaran yang perlu dihindari dan tuntutan memelihara diri daripada maksiat (Muhamad Razak, 2016). Selain itu, beliau juga memberikan penekanan kepada amalan berzikir dan hubungan sesama Allah dan sesama manusia. Manakala, beliau berusaha untuk mengetengahkan sistem ajaran tasawuf yang memusatkan pencapaian makrifah kesufian melalui pembersihan batin dan penghayatan ibadah berpandukan syariat Islam menerusi kitab Sayr al-Salikin Ibadat Rabb al-'Alamin.

            Oleh hal yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa Abdul Samad al-Falambani ini sedikit sebanyak memberi sumbangan dan pengaruh kepada peradaban Melayu. Hal ini demikian kerana, aliran tasawuf yang cuba diterapkan dalam diri masyarakat pada ketika itu merupakan ajaran yang berbentuk usaha dan jalan untuk mengenal Tuhan sekali gus mendekatkan diri kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Dengan mengamalkan ajaran ini, sudah tentu masyarakat akan berusaha untuk meninggalkan atau menghindarkan diri daripada segala perkara yang mungkar dan perkara yang hanya mendatangkan kemudaratan kepada mereka kelak. 


HAMZAH FANSURI


Image result for hamzah fansuri


Hamzah Fansuri atau nama penuhnya Syeikh Hamzah al-Fansuri merupakan seorang cendekiawan, ulama tasawuf, sasterawan dan budayawan terkemuka di Alam Melayu yang hidup antara pertengahan abad ke-16 sehingga awal abad ke-17 (Abdul Hadi W.M, 1995: 09). Tarikh lahir beliau secara tepatnya belum dapat ditentukan oleh mana-mana pengkaji sehingga hari ini. Hamzah Fansuri dilahirkan di sebuah tempat yang disebut Barus atau Fansur. Kampung Fansur merupakan tempat yang terkenal sebagai pusat pendidikan Islam semasa Zaman Kerajaan Aceh Darussalam di bahagian Aceh Selatan. Ada juga pendapat lain yang menyebut bahawa Hamzah Fansuri dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan kemudian berhijrah serta menetap di Barus.

            Nama ayah Hamzah Fansuri ialah Syeikh Ismail Aceh yang pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi. Hamzah Fansuri telah menuntut ilmu di Aceh dan pernah mengembara ke pelbagai tempat, antaranya ke Banten, Jawa Barat. Beliau juga pernah mengembara ke seluruh Tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi, dan Tanah Arab. Hamzah Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fiqh, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan banyak lagi. Manakala dalam bidang bahasa pula, beliau menguasai dengan baik seluruh sektor ilmu Arabiyah dan fasih berucap menggunakan bahasa tersebut. Beliau juga berkebolehan dalam berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa. Antara karya beliau yang diketahui ialah Kitab fi Bayani Ma’rifah dan Syair Si Burung Pingai.

          Seperti tarikh kelahirannya, tarikh kewafatannya yang tepat juga tidak dapat dibuktikan sehingga kini. Namun, Muhammad Naquib al-Attas ada menyatakan bahawa Hamzah Fansuri diperkirakan meninggal dunia pada tahun 1607.

                Hamzah Fansuri memainkan peranan yang penting dan memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu. Hamzah Fansuri merupakan penulis pertama kitab keilmuan dalam bahasa Melayu dan hasil penulisannya ini berjaya mengangkat martabat bahasa Melayu dari sekadar lingua franca menjadi bahasa intelektual dan ekspresi keilmuan yang hebat. Bahasa Melayu dalam bidang penyebaran ilmu dan persuratan juga menjadi sangat penting sehingga dapat mengungguli bahasa-bahasa lain di rantau Nusantara ini sekali gus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pelbagai lembaga pendidikan Islam pada sekitar abad ke-17. Selain itu, bahasa Melayu juga digunakan oleh pemerintah kolonial Belanda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah pemerintah. Hal inilah yang membantu memberikan peluang kepada bahasa Melayu untuk terus berkembang maju selain turut dipilih menjadi bahasa persatuan dan bahasa kebangsaan di Malaysia dan Indonesia.

            Hasil-hasil karya beliau juga telah memberikan sumbangan yang besar dalam proses Islamisasi bahasa Melayu dan Islamisasi bahasa ini adalah sama juga dengan Islamisasi pemikiran dan kebudayaan. Karya-karya syair beliau bukan sahaja memperkayakan perbendaharaan bahasa Melayu, malahan juga dapat mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam pelbagai bidang kehidupan ke dalam sistem bahasa dan budaya Melayu. 

            Hamzah Fansuri turut memberikan sumbangan yang besar dalam peradaban Melayu di rantau ini, terutamanya dalam kebudayaan Islam bangsa Melayu. Dalam bidang kesusasteraan, Hamzah Fansuri mempelopori penulisan puisi-puisi falsafah dan mistik bertemakan Islam. Ketinggian falsafah yang terkandung dalam bait-bait puisinya sangat sukar ditandingi oleh penyair lain. Beliau adalah orang pertama yang memperkenalkan syair empat baris dengan pola rima akhir berbunyi a,a,a,a. Beliau juga berjaya menjadikan dasar-dasar puitika dan estetika Melayu semakin mantap dan kukuh.

            Manakala dalam bidang keilmuan, Hamzah Fansuri telah mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bercorak mistik dan bersifat ilmiah. Berbeza sebelum karya-karya beliau muncul, masyarakat Melayu mempelajari agama, tasawuf, dan sastera hanya melalui kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Arab dan Parsi. Hamzah Fansuri turut dikenali sebagai seorang intelektual yang berani kerana beliau dengan beraninya telah memberikan kritikan-kritikan yang pedas terhadap perilaku politik dan perlakuan raja-raja, bangsawan dan orang-orang kaya pada zamannya. Hamzah Fansuri sememangnya telah memperkenalkan suatu dimensi baru untuk memahami kehidupan dan keindahan. Karya-karyanya memancarkan kesatuan estetika, kepaduan, keutuhan dan kesejagatan yang membentuk perubahan dan pembangunan dalam bahasa dan peradaban Melayu.


MUNSYI ABDULLAH

Image result for munsyi abdullah


Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang dilahirkan pada tahun 1796 di Kampung Masjid atau nama lainnya Kampung Pali, Melaka. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Ayahnya berketurunan Arab Yaman, manakala ibunya Salamah berketurunan India. Sejak kecil beliau telah diajar mengaji al-Quran, tulisan Jawi serta tatabahasa Melayu oleh bapanya selain turut belajar bahasa Tamil, Hindi dan Inggeris.

            Munsyi Abdullah merupakan seorang yang pandai dan cepat dalam memahami pelajaran yang diajar oleh gurunya. Beliau pandai dalam mengaji al-Quran melebihi kepandaian rakan-rakannya yang lain. Gelaran “munsyi” yang membawa makna “guru” itu diperoleh sewaktu beliau berusia sebelas tahun. Beliau juga mendapat gelaran “munsyi” sewaktu mengajar bahasa Melayu kepada askar-askar Kerajaan Inggeris berbangsa India di Melaka. Selain menjadi guru bahasa, Munsyi Abdullah juga menjadi guru agama, penterjemah, wartawan dan jurutulis kepada pemerintah Inggeris. Beliau pernah memangku jawatan pengetua di Anglo Chinese College ketika Paderi Thomson pulang bercuti di England. Karya beliau yang paling terkenal ialah Hikayat Abdullah (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah (1854). Munsyi Abdullah telah meninggal dunia ketika berusia 58 tahun di Jeddah pada tahun 1854 ketika dalam perjalanan ke Mekah. 

                   Munsyi Abdullah juga banyak memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu. Beliau pernah dilantik sebagai jurutulis dan penterjemah ketika Stamford Raffles membuat lawatan ke Melaka. Beliau pernah membantu paderi Thomson dan Milne menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu selain pernah dipertanggungjawabkan menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles.

            Abdullah Munsyi telah membawa banyak pembaharuan dalam kesusasteraan Melayu. Antaranya ialah menjadi penulis Melayu pertama yang memperkenalkan banyak autobiografi dalam tulisannya. Beliau juga telah membawa pembaharuan dari segi isi dan bentuk penulisan dengan menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya dalam masyarakat dan meninggalkan kisah dongeng dan mitos seperti yang terdapat dalam karya sastera Melayu tradisional lain. Oleh sebab itulah beliau mendapat gelaran “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden”. Selain memperlihatkan keunggulan bahasa Melayu melalui karya kesusasteraan, beliau turut memberikan kesedaran tentang kepentingan nahu bahasa Melayu dalam karyanya. Karya-karya beliau juga menjadi titik persimpangan besar yang membezakan antara karya-karya Melayu lama dengan karya-karya Melayu moden

            Beliau juga menunjukkan keberaniannya dengan mengkritik raja-raja Melayu, golongan pembesar Melayu dan susunan masyarakat Melayu dalam zaman serta adat istiadat serta kebiasaan orang Melayu. Tujuan beliau melakukan perkara tersebut adalah untuk menyedarkan bangsa Melayu tentang kepentingan ilmu, sentiasa mengejar kemajuan moden serta bersifat dinamik. Selain itu, Munsyi Abdullah juga dikatakan sasterawan Melayu yang pertama menggunakan alat cetak untuk menulis dan juga merupakan orang pertama yang menyoal dan mengkritik sikap-sikap feudalisme yang menjadi dasar kebudayaan Melayu.


TUN SERI LANANG

Image result for tun seri lanang


Tun Seri Lanang atau nama sebenarnya Tun Muhammad merupakan anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Tun Seri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau pernah menjadi Bendahara Paduka Raja Johor antara tahun 1580 dan 1615.

            Pada tahun 1659 Masihi, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Acheh dan zuriatnya berterusan menjadi pemerintah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga kini. Makam Tun Seri Lanang telah dipagar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah terutamanya warga Malaysia dan Indonesia sendiri.

            Tun Seri Lanang sebenarnya tidak terkenal sebagai pengarang. Beliau lebih dikenali sebagai seorang pemimpin, malah beliau dikatakan mempunyai tanda-tanda yang menunjukkan beliau mempunyai darah keturunan Tun Perak, Bendahara Melaka yang sangat bijak sehingga membawa Melaka ke persada dunia. Walaupun Tun Seri Lanang tidak dikenali sebagai seorang pengarang, namun beliau minat akan dunia kepengarangan dan beliau terkenal dengan karyanya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

            Sulalatus Salatin dikarang atas titah raja Johor ketika itu. Titah raja itu dilakukan oleh Tun Seri Lanang dengan sempurna.  Tun Seri Lanang memulakan tulisannya apabila beliau bersetuju menjadi orang yang bertanggungjawab dalam merealisasikan kehendak Sultan Abdullah Maayah Syah ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah. Hal ini bermula ketika Sultan Abdullah Maayah Syah berada dalam suatu majlis dan baginda menyatakan kewujudan sebuah Hikayat Melayu di Goa, Sulawesi. Baginda memerintahkan agar hikayat itu diambil untuk diperbaiki dan dibaca sebagi panduan untuk generasi akan datang dan Tun Seri Lanang lah yang bertanggungjawab untuk mendapatkan hikayat tersebut.

            Titah raja dilakukan dengan sempurna oleh Tun Seri Lanang. Tun Seri Lanang mendapatkan hikayat tersebut daripada Goa, Sulawesi dan kemudiannya menyusun, menambah dan memperbaiki mana-mana yang perlu dalam hikayat tersebut. Kerja mengarang itu dimulai pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan kemudian disambung di Acheh. Hal ini kerana berlaku peristiwa perang yang melibatkan tentera Acheh ke atas ibu kota Kesultanan Johor Lama. Johor kalah ke atas Acheh dan Tun Seri Lanang dibawa ke Acheh dan menetap di negeri Samalanga. Belaiu terus tinggal di Acheh dan karya Sulalatus Salatin  itu sendiri dihabiskan penulisannya di Acheh.

Setelah Tun Seri Lanang selesai menyempurnakan teks Sulalatus Salatin, beliau sedar bahawa isi teks tersebut adalah mengenai salasilah raja-raja Melaka dan teks diberi nama Sulalatus Salatin itu sendiri yang bererti Salasilah Segala Raja-raja. Kemudian, maksud ini diterjemahkan lagi oleh golongan moden menjadi Sejarah Melayu.

            Karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini tergolong dalam genre sastera historiografi, iaitu karya yang bercorak sejarah. Sastera sejarah atau sastera historiografi adalah sebuah genre sastera yang berkembang di zaman sastera klasik. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini sesuai dengan genre sastera sejarah itu kerana isinya yang menggambarkan pertumbuhan dan perkembangan kerajaan sesebuah negara atau negeri.

            Selain menggambarkan pertumbuhan dan perkembangan kerajaan sesebuah negara atau negeri, karya Sulalatus Salatin ini juga turut menggambarkan kehidupan dan budaya kerajaan Melaka atau budaya feudal iaitu budaya keagungan dan kebesaran bagi pemerintahan bernegara, cara budaya berkerajaan, terutamanya tanggungjawab pembesar yang dijelaskan dengan terperinci dalam karya ini. Gambaran budaya tentang wira dan hulubalangnya juga diterangkan dengan jelas oleh Tun Seri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin. Hal ini kerana wira dan hulubalang menjadi tonggak kekuatan negara. Walaupun karya Sulalatus Salatin dikatakan tergolong dalam genre karya sastera sejarah atau historiografi, unsur mitos serta lagenda tidak ketinggalan untuk dimasukkan dalam karya unggul ini. Walaupun begitu, unsur mitos dan lagenda dalam Sulalatus Salatin ini berkombinasi dengan isi dan fakta. Hal ini juga yang meninggikan nilai sesebuah karya sastera itu, dan ini bukan sahaja ditunjukkan dalam karya Sulalatus Salatin, malah terdapat juga beberapa teks atau karya lain yang terkenal sebagai karya sastera sejarah yang berkombinasi dengan fakta sejarah seperti Hikayat Merong Maha Wangsa, Misa Melayu dan Tuhfat an-Nafis.



No comments:

Post a Comment