Misa Melayu

Slaid Pembentangan



1.0       Pengenalan
Sebuah karya pensejarahan Melayu yang terkenal selepas Sulalatus Salatin ialah Misa Melayu atau Ikatan Raja Ke Laut iaitu yang meriwayatkan sejarah negeri Perak sejak zaman awal hinggalah ke kurun kelapan belas. Karya ini adalah hasil karya seorang sejarawan istana kurun kelapan belas, iaitu Raja Chulan. Karya ini masih berasaskan ciri-ciri pensejarahan Sulalatus Salatin malah sebagai sebuah pensejarahan yang dianggap paling hampir dengannya, Misa Melayu boleh dikatakan telah mewarisi asas-asas karya pensejarahan yang lebih awal itu. Daripada keseluruhan manuskrip yang telah ditemui, dapat dirumuskan Misa Melayu sebagai sebuah karya besar atau Karya Agung yang lahir daripada tradisi kepengarangan silam negeri Perak. Karya tersebut menjadi aras tanda kebesaran sejarah persuratan negeri Perak yang lahir daripada buah tangan pengarang negeri Perak dan berhubungan secara terus dengan sejarah institusi kesultanan negeri Perak pada abad ke-18. Keutamaan Misa Melayu tercerna melalui isi kandungannya yang merakam pelbagai corak kehidupan sosiobudaya masyarakat negeri Perak yang penuh dengan tradisi dan amalan adat istiadatnya.

Walau bagaimanapun, jika dibuat perbandingan secara lebih halus, terdapat juga beberapa kelainan ataupun perbezaannya, iaitu selain daripada isi kandungan kedua-duanya itu sendiri. Misalnya, Misa Melayu adalah sebuah karya yang "realistik" serta tidak mengandungi dongeng dan cerita rakyat atau, dengan kata lain, tidak mencampurkan dongeng dan fantasi dengan fakta sejarah. Itulah salah satu keistimewaannya, iaitu ditinjau dari sudut dan ukuran pengertian sejarah yang paling mutahir. Namun Misa Melayu ini masih merupakan sebahagian daripada tradisi pensejarahan istana yang dihasilkan oleh seorang tokoh dari perkarangan itu juga.

Tambahan pula, dari sudut genre Misa Melayu tergolong sebagai sebuah karya sastera sejarah atau historiografi Melayu. Walau bagaimanapun, ciri-ciri penulisan Misa Melayu agak berbeza dengan karya sastera sejarah yang lazim seperti Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) atau Hikayat Merong Mahawangsa, kerana Misa Melayu adalah berpaksikan kepada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah (1750-1765). Sebahagian besar daripada isi naskhah adalah memperlihatkan kehebatan dan keagungan Sultan Iskandar Dzulkarnain selaku seorang putera raja dan Sultan Pemerintah Negeri Perak.

1.1       Sinopsis Ringkas Misa Melayu
Karya Agung Misa Melayu mengisahkan kehidupan Raja-raja Melayu yang memerintah negeri Perak antara tahun 1700 sehingga tahun 1780. Sebahagian daripada peristiwa yang dicatat dalam Misa Melayu adalah merupakan peristiwa yang berlaku pada zaman kehidupan Raja Chulan sendiri. Misa Melayu menceritakan perihal kesultanan negeri Perak yang berasal daripada keturunan yang agung, iaitu Raja Iskandar Zulakarnain dan jurai keturunannya sehingga Raja Nursyirwan Adil dan anak cucu Raja Chulan yang memerintah sehingga ke selatan Tanah Melayu.

      Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di Perak, dikatakan orang Belanda telah mendirikan gudang atau loji untuk perniagaan bijih timah di Pengkalan Halban, yang berhampiran dengan muara Sungai Kinta dan Sungai Perak setelah mendapat kebenaran daripada Sultan Muzaffar Syah. Penceritaan mengenai kisah Sultan Iskandar Zulkarnain yang menyusur pantai negeri Perak bersama Raja Chulan turut dicatatkan dalam karya ini. Raja Iskandar juga dikatakan telah menuba ikan di sungai budiman yang berhampiran dengan Pulau Besar dan Pulau Juar yang terletak di Kampung Gajah.

        Seterusnya, Misa Melayu turut menceritakan kisah Sultan Muhammad yang merupakan waris muda telah menyelesaikan masalah perebutan kuasa dengan Sultan Muzaffar Syah yang merupakan waris tua untuk takhta kerajaan negeri Perak ketika itu. Peristiwa seterusnya yang dimuatkan di dalam Misa Melayu adalah kisah mengenai Sultan Muzaffar Syah yang menginginkan seorang Raja Muda untuk menjadi menantunya. Sultan Muzaffar dikisahkan telah meminta Raja Chulan untuk menyatakan hasratnya kepada Raja Muda dan akhirnya, puteri Sultan Muzaffar Syah yang bernama Raja Budak Rasul pun dikahwinkan dengan Raja Muda. Selain itu, Misa Melayu turut memuatkan kisah Sultan Muhammad Syah (1744 – 1750) yang telah mengorbankan kedudukannya sendiri sebagai sultan Perak ketika itu, supaya negeri Perak dapat dicantumkan semula di bawah pemerintahan seorang sultan sahaja, iaitu kekandanya yang bernama Sultan  Muzaffar Syah.

            Secara keseluruhannya, Misa Melayu memberi tumpuan kepada pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain yang disanjung dan dipuji sebagai raja yang luar biasa kepahlawanannya dan kebijaksanaannya ketika zamannya. Hal ini dapat dibuktikan semasa menjadi Raja Muda, Raja Iskandar menjadi perunding dalam mencantumkan semula negeri Perak yang berpecah dua. Setelah bercantum, Raja Iskandar sangat berkuasa dalam kerajaan negeri Perak. Dalam Misa Melayu, terdapat 134 halaman atau 77% yang menceritakan kisah Sultan Iskandar Zulkarnain. Tujuh orang sultan yang lain hanya dikisahkan dalam 40 halaman atau 23% sahaja. Daripada 40 halaman tersebut, sebanyak 30 halaman tertumpu kepada kisah semasa zaman Sultan Muzaffar Syah, iaitu sultan yang memerintah negeri Perak sebelum Sultan Iskandar Zulkarnain.

2.0       Analisis Karya Agung Misa Melayu
                  
2.1       Pemikiran dalam Misa Melayu
Pemikiran dalam sebuah karya bermaksud subjek yang dibawakan oleh pengarang. Bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema karya. Daripada situlah ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang (Seri Lanang Jaya et. al, 2016).

            Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri dalam memilih idea dan menjelmakannya menjadi mesej atau isi yang merupakan subjek yang dibawa oleh pengarang di dalam karyanya. Dalam teks Misa Melayu, pengarang membawakan beberapa pemikiran yang jelas terlihat dalam karya ini. Antaranya termasuklah soal politik, soal ekonomi dan soal agama.

2.1.1    Soal Politik
Pemikiran yang paling jelas dibawakan oleh pengarang dalam Misa Melayu ialah berkaitan soal politik. Hampir keseluruhan teks ini menceritakan tentang zaman pemerintahan sultan Perak yang ke-15, iaitu Sultan Iskandar Zulkarnain Syah, iaitu pada tahun 1752 hingga 1765. Hampir kesemua karya sastera sejarah menjuraikan keturunan raja mereka dengan Sultan Iskandar Zulkarnain sebagai tokoh lagenda yang memulakan cerita. Sebagai contoh, dalam Misa Melayu disebutkan ketokohan Raja Iskandar Zulkarnain yang terkenal dengan perluasan kuasa pemerintahannya sehinggalah keturunannya yang menguasai pemerintahan di nusantara pada zaman dahulu. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan teks Misa Melayu di bawah:


“Adapun asalnya raja itu diceritakan oleh orang yang empunya cerita dahulu kala daripada hijrah Raja Iskandar Zulkarnain yang menjalani daripada matahari masuk ke matahari naik dan nasabnya daripada Raja Nusyirwan Adil, cucu-cicit daripada Raja Suran yang turun ke dalam laut jatuh ke negeri Raja Fatihu’l-ardzi. Maka anak puteranya tajalli di Bukit Siguntang Mahabiru”
                                                                                                                                    (Misa Melayu, 21)

Selain menampakkan ketokohan Raja Iskandar dalam perluasan kuasanya, pengarang teks ini juga menampakkan  keunikan sistem politik Perak iaitu rajanya tidak memerintah secara mutlak. Sebaliknya, raja terlebih dahulu mendapatkan nasihat pembesar negeri demi kepentingan rakyat. Buktinya, dapat dilihat dalam petikan daripada Misa Melayu di bawah:
  

“Dalam wasiatnya Sultan Muzaffar Syah (1752)… yang sangat beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah yang akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak… dan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan sekalian orang besar-besar hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang memegang agama kita …”
(Misa Melayu, 51)

Namun begitu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa pemikiran politik dalam Misa Melayu menampakkan campur aduk dua konsep. Pada satu pihak tidak dapat dinafikan bahawa sultan memerintah secara teokratik, iaitu memiliki kuasa multak, seperti mana dalam pemerintahan di negeri-negeri lain. Namun begitu di satu sisi yang lain pula, adalah menjadi tanggungjawab sultan untuk berunding dan berpakat dengan menteri-menterinya.
Selain itu, dari aspek pewarisan takhta pula, umum mengetahui bahawa Perak menjalankan sistem penggiliran dalam pemerintahannya. Sistem penggiliran itu adalah seperti berikut:

Raja Muda
Raja Bendahara
Raja Di Hilir
            Raja Di Baruh
Raja Kecil Besar
Raja Kecil Tengah
Raja Kecil Muda
Raja Kecil Bongsu

Dalam Misa Melayu, telah disebut cara Sultan Iskandar Zulkarnain menyusun jentera pemerintahan negeri dengan melantik kerabat diraja yang rapat dengan baginda untuk menyandang jawatan kerajaan. Sebagai contoh, adinda baginda, iaitu Raja Kimas yang bergelar Raja Kecil Muda dilantik menjadi Raja Muda, manakala Raja Alaudin yang bergelar Raja Kecil Tengah telah diangkat menjadi  Raja Bendahara. Hal ini jelas membuktikan bahawa Misa Melayu jelas menyatakan tidak semua waris takhta perlu menaiki takhta mengikut giliran.
Politik yang menjadi subjek yang dibawakan oleh pengarang ke dalam teks Misa Melayu adalah lebih kepada pemerintahan kerajaan Perak yang mempunyai caranya yang tersendiri dalam mentadbir kerajaannya. Seperti juga karya agung Melayu yang lain, politik merupakan isu yang banyak diketengahkan. Kebijaksanaan pemimpin dalam mentadbir kerajaannya, perluasan kuasa sesebuah kerajaan dan sebagainya yang berkaitan pemerintahan menunjukkan dapat keagungan sesuatu bangsa itu. Hal ini jugalah yang cuba ditunjukkan dalam karya ini.

2.1.2    Soal Ekonomi
Soal atau pemikiran ekonomi dalam karya menunjukkan dalam karya tersebut ada mengetengahkan hal berkaitan perdagangan, perniagaan dan jual beli. Teks Misa Melayu tidak terkecuali daripada mengetengahkan soal ekonomi dalam ceritanya. Hal ini boleh dibuktikan dengan adanya contoh petikan di bawah:


“…beginda menitahkan Tambi Kecil pergi ke benua Keling (India). Adapun akan Sultan Iskandar itu, terlalu banyak baginda menaruh gajah. Maka itulah baginda menitahkan Tambi Kecil pergi akan mengambil barang siapa mahu membawa kapalnya masuk berniaga ke dalam negeri Perak ini, kerana baginda hendak berjual gajah.”
(Misa Melayu, 78)

Berdasarkan petikan tersebut, dapat dikatakan bahawa pengarang Misa Melayu memasukkan soal ekonomi di dalam teks tersebut. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar, baginda juga telah menjual bijih timah kepada Belanda di Tanjung Putus. Hal ini menjadi titik permulaan kegiatan perdagangan antara Perak dengan Belanda pada abad ke-18. Pada peringkat permulaan, pusat pengumpulan bijih timah Belanda di Perak ialah di Tanjung Putus. Kemudian mereka membuat permohonan kepada sultan untuk mendirikan kota dan bangunan di Pengkalan Halban berdekatan Kuala Perak. Justeru, semua kapal dagang dari luar negeri Perak perlu mendapatkan kebenaran sultan dalam urus niaga dagangan kapal itu. Hal ini demikian kerana dalam sistem ekonomi feudal, sultan dan pembesar negeri adalah orang yang memonopoli import dan eksport.

Secara tuntasnya, kegiatan ekonomi dalam teks ini menunjukkan bahawa pengarang sememangnya menonjolkan pemikiran berkaitan ekonomi dalam teks. Seperti kebanyakan karya agung Melayu, pengarang tidak terlepas untuk menjadikan soal ekonomi untuk menunjukkan betapa perdagangan zaman dahulu begitu rancak di nusantara.

2.1.3 Soal Agama
Soal agama merujuk kepada hal ketuhanan. Hal ketuhanan ini meliputi akidah yang teguh dalam agama. Sebagai contoh beriman dengan Allah, memikirkan pahala dan dosa, sentiasa berbuat kebaikan dan lain-lain lagi. Dalam teks Misa Melayu ini, dapat dilihat bahawa Sultan Muzaffar Syah berpegang teguh kepada ajaran agama dan mempunyai akidah yang teguh dalam Islam. Contoh petikan daripada karya ini berkaitan soal agama boleh dalam petikan berikut:


“… hatta maka antara sebulan lama selangnya, maka baginda pun telah datanglah sudah takdir Allah Taala; maka baginda pun geringlah terlalu berat sangat….”

“… maka beberapa pula sedekah kepada segala fakir miskin daripada emas dan perak dan kain-kain beribu-beribu dikurniakan baginda hendak pohonkan rahmat ke hadrat Khalikal – abad, di dalam pada itu pun tiada juga betah gering baginda …”

“… setelah itu, maka gering baginda itu pun makin bertambah beratnya pula. Maka berhimpunlah segala anak raja – raja dan orang besar – besar dan hulubalang rakyat sekaliannya …”

‘… maka kepada suatu hari, baginda pun tahulah ia akan dirinya telah datang kehendak Allah Taala kepadanya kepadanya tambahan baginda itu raja alim ulama, tambahan pula sangat kuat amal ibadatnya.

(Misa Melayu, 22)


Berdasarkan petikan daripada teks Misa Melayu ini, dapat dilihat bahawa Raja berpegang teguh dengan ajaran Islam. Melalui petikan teks tersebut, Sultan Muzaffar Syah yang sedang sakit tetap menjalankan ajaran Allah dengan memberi sedekah berupa emas dan perak kepada fakir miskin. Hal ini menunjukkan baginda juga tidak lupa untuk beribadah kepada Allah walaupun ditimpa sakit kuat.
Perkembangan agama Islam zaman dahulu sebenarnya merupakan antara penyebab untuk pengarang memasukkan soal agama dalam karya. Soal agama ini sebenarnya memberi banyak teladan dan pengajaran kepada masyarakat untuk memperoleh ilmu pengetahuan tentang agama. Selain itu, pemikiran yang disampaikan oleh pengarang tentang soal agama dapat juga menunjukkan kepentingan berpegang teguh dengan ajaran agama. Seperti yang ditunjukkan dalam petikan teks, hal itu sebenranya memberi pengajaran kepada pembaca untuk berbuat baik seperti bersedekah. Jelaslah di dalam teks ini, pengarang memasukkan pemikirannya tentang soal agama.

2.2       Falsafah dalam Misa Melayu
Dalam penghasilan sesebuah karya, tidak lengkap sekiranya pengarang tersebut tidak memuatkan falsafah-falsafah yang bersesuaian dengan penceritaan sesebuah karya. Falsafah membawa maksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Seorang ahli falsafah Islam yang terkenal, iaitu Al- Farabi mengatakan bahawa istilah falsafah diambil daripada perkataan philosophia yang kemudiannya dihuraikan sebagai philo yang merujuk kepada pencinta, manakala sophia pula membawa pengertian bijaksana. Oleh hal yang demikian, falsafah merujuk kepada pencinta bijaksana. Plato dalam Mana Sikana (1996) pula mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu pengetahuan yang berhasrat untuk mencari dan mencapai hakikat kebenaran yang asli.

            Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri yang merangkumi pemikiran tertinggi dengan tujuan untuk mendapatkan kebenaran. Penyataan itu dapat dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada yang menegaskan bahawa mekanisme falsafah ialah proses memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Dengan itu, falsafah akan membincangkan sesuatu dengan terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan realistik terhadap sesuatu perkara. Dalam karya Misa Melayu, penekanan hanya diberikan kepada lima daripada lapan falsafah yang telah disebutkan oleh Seri Lanang Jaya et al. (2016). Lima falsafah tersebut ialah falsafah sejarah, falsafah poltik, falsafah sosial, falsafah ekonomi dan falsafah etika.

2.2.1    Falsafah Sejarah
Roeslan Abdulgani mengatakan bahawa sejarah ialah ilmu yang meneliti dan menyelidiki secara sistematis keseluruhan perkembangan masyarakat serta kemanusiaan pada masa lampau beserta kejadian-kejadiannya. Selain itu, sejarah menurut Ibnu Khaldun pula merupakan catatan tentang masyarakat umat manusia atau peradaban dunia dan tentang perubahan-perubahan yang terjadi pada watak masyarakat itu.

          Sehubungan itu, karya Misa Melayu ini merupakan satu karya yang memaparkan sejarah negeri Perak. Hal ini dikatakan demikian kerana, karya ini memperlihatkan jurai pemerintahan raja-raja Perak, zaman kegemilangan Perak dan sebagainya. Kenyataan ini dapat dikukuhkan lagi dengan pendapat Siti Meriam (2015) yang mengatakan bahawa naskhah yang dihasilkan oleh Raja Chulan ini mengisahkan sejarah negeri Perak yang bermula dengan pemerintahan raja-raja sebelum Sultan Muzaffar Shah, iaitu Almarhum Jaliullah, Almarhum Besar dan Almarhum Sulung serta diakhiri dengan Sultan Alauddin Mansur Shah.

           Menurut Raja Chulan (1919:6-7), sistem pemerintahan di Perak bermula dengan pemerintahan Almarhum Sultan Jaliullah. Baginda dikatakan mempunyai beberapa orang putera, iaitu Marhum Besar dan Marhum Mangkat di Pulau Tiga. Selepas sahaja kemangkatan baginda, kerajaan Perak pada ketika itu diambil alih oleh Marhum Besar dengan gelaran Sultan Mahmud Shah. Kemudian, negeri Perak mula diperintah oleh Raja Radin yang digelar Sultan Alauddin Riayat Shah apabila Sultan Mahmud Shah mangkat setelah memerintah selama 120 tahun. Sultan Alauddin Riayat Shah yang merupakan putera kepada Sultan Mahmud Shah diceritakan berjaya mengetuai kerajaan Perak pada ketika itu selama 20 tahun.

         Raja Inu atau Sultan Muzaffar Shah pula merupakan sultan yang menggantikan Sultan Alauddin Riayat Shah selepas sahaja kemangkatan baginda. Selang beberapa ketika, kerajaan Perak dikejutkan lagi dengan berita kemangkatan Sultan Muzaffar shah. Maka, pemerintahan kerajaan pada ketika itu diserahkan kepada Raja Muda Iskandar yang digelar Sultan Iskandar Zulkarnain dan menerajui Perak selama 14 tahun. Setelah itu, kerajaan Perak pada ketika itu berada di bawah pimpinan Sultan Mahmud Shah, iaitu adinda kepada baginda Sultan Iskandar selama lapan tahun selepas sahaja kemangkatan kekandanya itu. Dalam karya ini, dikhabarkan bahawa Sultan Alauddin Mansur Shah merupakan sultan yang menamatkan jalinan sejarah pemerintahan kerajaan Perak yang telah diceritakan oleh Raja Chulan. 

           Dengan berpandukan Misa Melayu, generasi kini berpeluang untuk mengetahui sejarah sultan-sultan yang memerintah negeri Perak suatu ketika dahulu dan berpeluang untuk mengetahui rasional negeri Perak yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan giliran melalui pembacaan dan penelitian yang mendalam terhadap karya ini. Oleh itu, tindakan Sultan Nazrin Shah, iaitu Sultan Perak kini meminta agar penerbitan Misa Melayu ini digiatkan lagi merupakan satu tindakan yang bernas kerana karya ini merupakan nadi sejarah negeri Perak yang perlu diketahui ramai, khususnya anak jati Perak itu sendiri.

2.2.2    Falsafah Politik
Politik menurut Bluntschili (2000) ialah ilmu yang memerhatikan masalah kenegaraan dengan memperjuangkan pengertian dan pemahaman tentang negara dan keadaannya, sifat-sifat dasarnya, dalam pelbagai bentuk atau manifestasi pembangunannya. Masalah kenegaraan yang dapat dilihat dalam karya ini adalah melalui konflik-konflik politik yang berlaku terhadap pemerintahan kerajaan Perak pada ketika itu.

          Diceritakan bahawa kerajaan Perak pada ketika itu menjadi huru-hara apabila pucuk pimpinan negeri itu dikepalai oleh Sultan Muzaffar Shah. Hal ini demikian kerana, kerajaan Perak pada era pemerintahan baginda terbahagi kepada dua kerajaan dan turut diperintah oleh dua orang sultan ekoran daripada perselisihan faham yang berlaku antara kedua-dua raja itu. Keadaan ini dapat diitunjukkan apabila Sultan Muzaffar Shah membawa diri ke Kuala Kangsar dan secara tidak langsung menjadi Raja Perak di sana. Manakala, adinda baginda, yakni Sultan Muhammad Shah pula bersemayam di Berahman Indera (Siti Meriam, 2015).

          Namun begitu, konflik politik tersebut menemui jalan penyelesaiannya melalui campur tangan Raja Muda Iskandar yang berusaha sedaya upaya untuk menyatukan kembali kedua-dua kerajaan dan sultan tersebut. Ekoran daripada campur tangan Raja Muda Iskandar, Sultan Muhammad Shah mulai berfikir dan merenung kembali keadaan Perak pada ketika itu dan mulai melihat bahawa kerajaan yang diterajui oleh dua orang sultan tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada kerajaan mereka. Atas alasan tersebut, baginda mengambil inisiatif untuk menjemput Sultan Muzaffar Shah kembali memerintah Berahman Indera dan bersedia untuk berkhidmat untuk baginda sultan memandangkan baginda merupakan kekanda Sultan Muhammad yang sulung. Oleh sebab itu, baginda Sultan Muzaffar lebih berhak memerintah Berahman Indera. Keputusan yang diambil oleh Sultan Muhammad Shah merupakan satu tindakan yang bijak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku berikutan daripada perebutan kuasa yang sudah pastinya akan melibatkan pertumpahan darah dan peperangan. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut:


"Maka sekarang ini apalah sudahnya negeri sebuah, raja dua? Kepada hati beta hendaklah kita persilakan Sultan Muzaffar Shah itu kembali ke istananya ke Berahman Indera, supaya kerajaan kepada baginda itu; biarlah beta berhenti, kerana baginda itu saudara yang tua kepada beta, tidaklah datang hati beta hendak melebihi daripada baginda itu."
                                                                                                                           (Misa Melayu, 1992:2-3)

         Selain itu, falsafah politik yang cuba ditonjolkan oleh Raja Chulan dalam karya ini ialah cara seseorang pemimpin dalam menyelesaikan segala persengketaan dan perselisihan faham yang berlaku antara pihaknya dengan pihak lain. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui sebuah kisah yang menunjukkan pihak Belanda yang berbekalkan tujuh buah kapal perang menuju ke Perak berikutan daripada peristiwa fitnah yang dimulakan oleh seorang jurubahasa India. Angkara fitnah tersebut, Perak dan Belanda hampir sahaja mencetuskan perang antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana, jurubahasa itu telah diperintahkan oleh pihak Belanda untuk mempersembahkan sepucuk surat kepada baginda sultan. Akan tetapi, surat yang dibawanya itu tidak disertakan dengan sampul yang sempurna dan jurubahasa itu juga tidak memaklumkan sebarang makluman kepada Laksamana dan Shahbandar. Lantaran itu, jurubahasa tersebut tidak diberikan kebenaran untuk mengadap Sultan Iskandar. Ekoran daripada tegahan itu, pihak Belanda memulakan misi untuk bertindak dengan membawa seangkatan wakil mereka menerusi tujuh buah kapal ke Perak.

         Akan tetapi, pertemuan antara Sultan Iskandar dan pihak Belanda tidak mencetuskan sebarang perbalahan, perang atau kekecohan sekali pun selepas mengetahui bahawa kesemua perkara yang berlaku sebelum ini hanya salah faham dan berpunca daripada fitnah orang lain. Selain itu, salah faham tersebut terlerai secara tidak langsung selepas sahaja wakil Belanda mengadap sultan dengan penuh takzimnya lalu mempersembahkan sepucuk surat yang memuji-muji kebesaran baginda. Tidak ketinggalan berbagai-bagai hadiah dan cenderahati diserahkan kepada baginda di samping pembelian bijih timah berjaya mengelakkan konflik politik antara kedua-dua pihak tersebut. Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat perjanjian yang membenarkan Belanda mengukuhkan lagi perniagaannya di kerajaan tersebut.


            Pada hari terjadi peristiwa itu, jurubahasa India itu telah diutus oleh majikannya (Belanda) menyembahkan sepucuk surat kepada baginda Sultan. Yang anehnya surat itu tidak mempunyai sampul yang sempurna dan jurubahasa yang membawanya itu tidak pula berbahasa kepada Laksamana dan Shahbandar. Yang demikian jurubahasa itu tidak dibenarkan mengadap. Akibat dari tegahan ini, pihak Belanda di Tanjong putus, mengutus surat ke Betawi mengadu dan meminta bantuan untuk bertindak. Tak lama kemudian, datanglah wakil Kompeni Belanda dari Betawi dengan satu angkatan mengandungi tujuh buah kapal. Wakil Belanda itu terus memberi tahu Laksamana dan Shahbandar yang ia hendak mengadap Sultan. Pihak Sultan sudah tentu rasa cemburu kedatangan wakil Belanda sedemikian rupa. Baginda bersiap sedia dengan pengawal-pengawal-pengawal yang dilengkapkan dengan senjata-senjata; keris, istinggar, pelaras, pistol dan lain-lain lagi.
                                                                                                                            (Misa Melayu, 1992:12)

         Di samping itu, pergolakan politik antara Perak dengan pihak Belanda diceritakan lagi menerusi peristiwa lain. Peristiwa itu merujuk kepada Kapten Lybroke yang tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan Iskandar yang enggan menyetujui kehendaknya untuk membeli bijih timah yang dihilirkan dan dibayar di Tanjong Putus. Hal ini demikian kerana, baginda menitahkan bahawa bijih timah yang hendak dibeli mestilah di hantar ke Tanjong Bidor dan akan ditimbang di sana sahaja, bukannya di Tanjong Putus seperti yang diingikan oleh Kapten Lybroke. Akibat berang dengan keputusan sultan itu, Kapten Lybroke mengambil keputusan untuk membedil Tanjong Bidor untuk menakut-nakutkan Shahbandar yang enggan menerima ajakannya untuk singgah sebentar ke kapalnya.

          Disebabkan perbuatan tidak matang kapten tersebut, Sultan Iskandar menjadi sangat murka dan mengambil keputusan untuk bertemu dengan Kapten Lybroke. Berita mengenai kemurkaan sultan itu telah sampai ke pengetahuannya, lalu bliau berasa sangat bimbang dan mencipta bermacam alasan dan muslihat untuk meminta Dato Laksamana mengkhabarkan kepada sultan bahawa semua peristiwa yang berlaku itu adalah salah faham sahaja. Namun begitu, Sultan Iskandar masih meragui alasan tersebut lantas berangkat untuk berjumpa sendirian dengan Kapten Lybroke tersebut untuk menguji kebenaran alasan tersebut.


           Utusan Belanda itu menyampaikan sepucuk surat kepada baginda, tujuannya berkehendakkan membeli bijih timah dan bijih itu hendaklah dihilirkan ke Tanjong Putus dan di sanalah ditimbang dan dibayar. Tetapi baginda enggan menyetujui kehendak Belanda itu. Titah baginda, bijih timah yang hendak dibeli itu hanya dapat dihantar ke Tanjong Bidor dan di sanalah ditimbang. Oleh itu baginda menitahkan Bendahara membuat tempat menimbang di Tanjong Bidor dan diserahkan kepada Shahbandar dan Menteri untuk mengelolakannya
            Oleh sebab sangat marahnya, lalu dibedilnya arah ke Tanjong Bidor dengan maksud hendak menakut-nakutkan Shahbandar dan Menteri. Malam itu juga Shahbandar mdik ke Pulau Indera Sakti mengadap Sultan untuk memberi tahu peristiwa yang berlaku. Mendegar hal itu, sangatlah murka Sultan.
                                                                                                                       (Misa Melayu, 1992:15-16)

       Dengan ini, dapatlah dikatakan bahawa peristiwa-peristiwa yang dinyatakan di atas sediki banyak mengganggu gugat suasana politik di Perak pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, peristiwa-peristiwa itu bersangkut paut dengan perebutan kuasa antara dua kuasa pemerintahan dan hubungan diplomatik antara dua pihak, iaitu Perak dengan Belanda.  Namun begitu, kesemua konflik tersebut berjaya diatasi dengan bijak oleh sultan yang bijaksana untuk mengelakkan konflik tersebut terus-terusan mengganggu ketenteraman kerajaannya.

2.2.3    Falsafah Ekonomi
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) falsafah ekonomi merupakan falsafah yang merujuk kepada sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Dalam karya nukilan Raja Chulan ini, falsafah ekonomi yang cuba ditunjukkan adalah melalui kegiatan ekonomi berasaskan bijih timah yang berjaya menjana hasil dan pendapatan kerajaan Perak pada ketika itu. Diceritakan  bahawa pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, pihak Belanda telah berjaya memonopoli dan mendominasi kesemua bijih timah yang dibawa melalui Sungai Perak. Sehubungan dengan itu, pihak Belanda membeli kesemua bijih timah tersebut dengan harga $30.00 diikuti pula dengan cukai yang dibayar kepada sultan ternyata berjaya membawa keuntungan yang amat besar kepada kerajaan Perak. Disamping itu, baginda turut membenarkan Belanda untuk membangunkan loji perniagaannya di Pangkalan Halban, Tajong Putus. Melalui pembelian bijih timah tersebut, maka kemakmuran kerajaan Perak semakin kukuh dan berpanjangan ekoran daripada aliran keluar masuk wang terhadap bijih timah.


            Dengan kepintaran orang-orang Belanda ini, dapatlah mereka monopoli semua sekali bijih-bijih timah yang dibawa melalui Sungai Perak, dibelinya dengan harga tetap iaitu sebahara (ukuran berat yang tak tetap beratnya, iaitu bergantung kepada barang yang ditimbang; sebahara emas beratnya 10 kati) $30.00 dengan ditambah $2.00 lagi sebagai cukai yang dibayar kepada Sultan. Selain dari itu, dibenarkan Belanda mendirikan benteng atau loji perniagaannya di Pangkalan Halban, Tanjong Putus. Dengan adanya pembelian bijih timah dari orang-orang Belanda itu, maka negeri Perak pun makmur dan wang pun bertukar tangan.
                                                                                                                              (Misa Melayu, 1992:8)


           Berdasarkan contoh tersebut, dapatlah dikatakan bahawa hubungan perniagaan yang termeterai antara Perak dengan Belanda melalui perjanjian yang bersangkut paut dengan perlombongan bijih timah menjadi tunjang utama ekonomi kerajaan Perak. Melalui contoh itu juga dapat dilihat bahawa berlakunya hubungan diplomatik antara dua pihak, iaitu kerajaan Perak dan pihak Belanda. Hubungan tersebut ternyata memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Hal ini demikian kerana, kerajaan Perak akan beroleh keuntungan dengan menjual bijih timahnya kepada pihak Belanda, manakala pihak Belanda mempunyai peluang untuk mendirikan tapak perniagaan mereka di Perak melalui pembelian bijih timah tersebut. Oleh hal yang demikian, bijih timah merupakan sumber utama yang menjadi keistimewaan kerajaan Perak pada ketika itu di samping menjana kestabilan ekonomi kerajaan itu.    

2.2.4    Falsafah Sosial
Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) mentakrifkan sosial sebagai segala hal yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala falsafah sosial menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) merujuk kepada gambaran kehidupan realiti manusia. Falsafah sosial dalam karya Misa Melayu ini dapat dilihat melalui aktiviti keramaian yang dilakukan oleh rakyat kerajaan Perak terhadap sesuatu peristiwa. Misalnya, apabila genap tujuh bulan kehamilan permaisuri raja, iaitu Raja Budak Rasul, diadakan istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Keadaan menjadi lebih meriah apabila pelbagai permainan, joget dan bunyi-bunyian ditampilkan dalam istiadat itu. Di samping itu, setiap kaum turut menunjukkan keistimewaan dan keunikan kaum masing-masing seperti Orang Cina yang riuh dengan kuntau silat dan tarian naganya, manakala orang India pula tampil dengan gaya permainannya yang tersendiri. Aktiviti-aktiviti keramaian seperti yang telah disebutkan itu berterusan sepanjang tujuh hari tujuh malam dan berjaya mengumpulkan kesemua rakyat di Indera Sakti dengan tujuan untuk meraikan kehamilan permaisuri raja. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah:


            Sementara itu permaisuri baginda (Raja Budak Rasul) pun hamil. Apabila genap tujuh bulan, diadakanlah istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Sebelum dilangsungkan istiadat itu, berbagai-bagai permainan telah diadakan beberapa hari; joget, bunyi-bunyian cara Melayu, cara Kedah, cara Acheh, termasuk Menora. Selain daripada itu, diadakan juga berjenis-jenis permainan sukan laut dan darat. Dan pihak Belanda juga mempertunjukkan cara askar-askarnya berbaris dengan menggunakan istinggar dan pemuras. Orang-orang China pula riuh dengan bunyi-bunyian termasuk kuntau silat dan tari naganya. Manakala orang-orang India menunjukkan cara-cara permainnanya sendiri. Pendeknya sepanjang istiadat itu berjalan selama tujuh hari tujuh malam, bermacam-macamlah permainan dan bunyi-bunyian serta bakaran mercun yang hingar-bingar, diadakan oleh rakyat.
                                                                                                                            (Misa Melayu, 1992:14)

        Oleh hal yang demikian, falsafah sosial yang cuba disampaikan oleh Raja Chulan melalui contoh tersebut ialah semangat perpaduan dan integrasi kaum yang berlaku antara kaum-kaum tersebut. Dengan ini dapat dilihat bahawa percampuran pelbagai kaum dalam satu masa yang sama tidak akan mendatangkan sebarang keburukan dan kekecohan sekiranya kesemua kaum tersebut saling menghormati antara satu sama lain. Berdasarkan contoh tersebut, dapatlah dikatakan bahawa integrasi kaum ini telah berlaku sebelum terbentuknya negara kita, Malaysia. 


            Bagaimana pun akhirnya terdiri juga mahligai yang ganjil itu menurut bentuk dan rupa yang diangan-angan oleh baginda - sangat ajaib perbuatannya; belum pernah dilihat orang terdahulu daripada itu; kemuncaknya daripada perak bertakhtakan emas dan permata pudi manikam, tingkapnya daripada ijok besi khersani, dindingnya berturap dengan nilam kapur yang diselang-selikan dengan cermin dan kaca. Di tingkat yang ketujuh terdapat balai peranginan yang dipenuhi dengan kisi-kisi sekelilingnya. Dan dihujung tiap-tiap kisi itu pula bergantung daun budi berbentuk empat segi. Apabila ditiup angin, berbunyilah daun-daun budi itu seperti buluh perindu, dan apabila digoyang angin dan disinari cahaya matahari, gemerlapanlah rupanya dipandang dari jauh.
                                                                                                                            (Misa Melayu, 1992:14)

        Selain itu, status sosial golongan istana juga tergolong dalam falsafah jenis ini. Hal ini demikian kerana, jurang sosial antara golongan istana dengan golongan bawahan yang sangat ketara itu ternyata menunjukkan realiti sebenar kehidupan golongan istana. Dalam cerita ini, dikhabarkan bahawa Sultan Iskandar menginginkan mahligai tujuh tingkat yang berasaskan dan bertakhtakan permata dan batu-batu berlian itu jelas menunjukkan kemewahan dan lambang kebesaran seseorang pemerintah. Disebabkan hasratnya yang terlalu pelik itu, beberapa orang pembesar kanan seperti Bendahara, Temenggung dan Menteri terpaksa meletakkan jawatan mereka akibat tidak berupaya dan berkebolehan untuk melaksanakan permintaan sultan yang agak berat itu. Namun begitu, mahligai tujuh tingkat itu berjaya juga disiapkan mengikut ciri-ciri yang diinginkan oleh sultan. Ciri-ciri tersebut merangkumi puncak mahligai yang diperbuat daripada perak dan bertakhtakan emas dan permata pudi manikam, tingkapnya daripada besi khersani, dinding yang diperbuat daripada batu nilam lalu diselang-selikan pula dengan cermin dan kaca. Di samping itu, turut dibina balai peranginan dilengkapi dengan kekisi yang setiap satunya digantungkan dengan daun budi berbentuk empat segi untuk menghasilkan bunyi seperti buluh perindu ketika angin bertiup pada tingkat yang ketujuh itu. Selepas itu, Sultan Iskandar membawa kesemua golongan istana untuk berpindah ke mahligai baharu itu.


            Bagaimana pun akhirnya terdiri juga mahligai yang ganjil itu menurut bentuk dan rupa yang diangan-angan oleh baginda - sangat ajaib perbuatannya; belum pernah dilihat orang terdahulu daripada itu; kemuncaknya daripada perak bertakhtakan emas dan permata pudi manikam, tingkapnya daripada ijok besi khersani, dindingnya berturap dengan nilam kapur yang diselang-selikan dengan cermin dan kaca. Di tingkat yang ketujuh terdapat balai peranginan yang dipenuhi dengan kisi-kisi sekelilingnya. Dan dihujung tiap-tiap kisi itu pula bergantung daun budi berbentuk empat segi. Apabila ditiup angin, berbunyilah daun-daun budi itu seperti buluh perindu, dan apabila digoyang angin dan disinari cahaya matahari, gemerlapanlah rupanya dipandang dari jauh.

                                                         Keadaan tersebut jelas menggambarkan realiti sebenar kehidupan dan status sosial seseorang sultan yang nyata berbeza dengan kehidupan sosial rakyat biasa. Mahligai ataupun istana yang sedemikian dapat dijadikan lambang kebesaran seseorang pemerintahan dan elemen yang menunjukkan jurang sosial masyarakat pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, hanya golongan seperti itu sahaja yang mampu untuk memiliki dan hidup di bawah kediaman yang gah seperti itu.

2.2.5    Falsafah Etika
Ilmu etika merupakan teori tentang tingkah laku manusia yang dipandang dari sudut baik dan buruknya, sejauh yang dapat ditentukan oleh akal (Mana Sikana, 1996). Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Seri Lanang Jaya et al. (2016) yang mengatakan bahawa etika merujuk kepada pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah etika yang diketengahkan oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu ini ialah setiap kesalahan yang dilakukan pasti akan menerima hukuman dan balasan tanpa melihat pangkat dan darjat. Keadaan tersebut dapat dilihat melalui Sultan Iskandar. Diceritakan bahawa Sultan Iskandar telah menghukum sesiapa yang tidak menghadirkan diri ke istiadat pengebumian Almarhum Sultan Muzaffar Shah. Sehubungan itu, beberapa orang pembesar telah dilucutkan jawatannya, manakala orang awam pula dijemur di tengah padang akibat gagal menghadirkan diri ke istiadat tersebut. Akan tetapi, selang beberapa ketika, kesemua yang menerima hukuman tersebut diberikan keampunan oleh baginda Sultan Iskandar.


            Pada hari pertabalannya itu, baginda bukan sahaja mengurniakan pangkat dan darjat kepada orang-orang yang patut menerimanya, bahkan juga baginda menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada siapa-siapa yang menguzurkan diri daripada menziarahi jenazah al-marhum. Akibat dari hukuman-hukuman ini, beberapa orang besar dilucutkan jawatannya dan beberapa orang pula diikat kaki tangannya dan dijemur di tengah padang. Tetapi, akhirnya banyak yang diberi keampunan.
                                                                                                                              (Misa Melayu, 1992:1)

       Petikan tersebut jelas menunjukkan bahawa Sultan Muzzafar Shah ingin memberikan pengajaran kepada semua pengikut dan rakyatnya untuk menghormati sultan yang telah mangkat dengan menghadiri istiadat pengebumian Almarhum sultan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada sultan yang telah mangkat itu. Rasional hukuman yang diberikan adalah untuk mendidik semua rakyat dan pengikut baginda untuk tidak melakukan perkara yang sama sewaktu istiadat seperti itu dilangsungkan kelak. Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa tindakan Sultan Iskandar bukanlah satu tindakan yang membabi buta sahaja, tetapi merupakan satu tindakan yang digarap untuk memberikan pendidikan dan pengajaran kepada semua demi membentuk masyarakat yang mempunyai rasa hormat kepada pemerintah.

2.3       Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Misa Melayu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), budaya ialah kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Selain itu, budaya ditakrifkan sebagai corak berkongsi tingkah laku dan interaksi membina kognitif, afektif dan kefahaman yang dipelajari melalui proses sosialisasi (Carla, 2014). Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), budaya merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Budaya juga adalah sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu iaitu merangkumi sistem sosial, agama, adat resam dan nilai.

       Seterusnya, pandangan hidup pula adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 117). Menurut Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan hal akhirat. Pandangan hidup orang Melayu biasanya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan dengan alam dan sesama manusia. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), pandangan hidup manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.

       Berdasarkan Misa Melayu terdapat pelbagai nilai budaya yang diamalkan oleh rakyat negeri Perak ketika itu. Tambahan pula, nilai budaya yang terdapat didalamnya amat berkait rapat dengan sistem sosial, adat istiadat dan tradisi asas kepada negeri Perak. Selain itu, pelbagai pandangan hidup dilihat diamalkan dan menjadi pegangan rakyat negeri Perak ketika itu. Jika dilihat, Misa Melayu banyak mengisahkan tentang perwarisan raja yang memerintah negeri Perak pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkarnian, Sultan Mahmud Syah dan Paduka Sultan Alauddin Syah. Kepimpinan Sultan Muzaffar Syah yang tidak menzalimi rakyat dan memerintah dengan adil menyebabkan negeri Perak maju dan terhindar daripada peperangan. Antara nilai budaya dan pandangan hidup yang diamalkan pada pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di negeri Perak menerusi Misa Melayu ialah:

2.3.1    Adat Meminang dan Berkahwin
Adat meminang dan berkahwin dalam masyarakat Melayu merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi. Perkahwinan merupakan salah satu kebudayaan Melayu yang masih unggul dan dipertahankan serta diamalkan sehingga kini. Majlis perkahwinan yang dijalankan seringkali mendapat perhatian dan menjadi salah satu peristiwa dalam masyarakat. Berdasarkan Misa Melayu, dapat dilihat adat meminang dan berkahwin diadakan. Adat meminang dan berkahwin tersebut melibatkan golongan raja yang ingin meminang puteri raja dengan penuh adat istiadat.

    Berdasarkan Misa Melayu dapat dilihat adat dimulakan dengan adat peminangan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Raja Muda Iskandar yang mempunyai dua orang isteri ingin meminang Puteri Sultan Muzaffar iaitu Raja Budak Rasul. Raja Alauddin dan Raja Chulan telah diminta untuk merisik dan meminang Raja Budak Rasul dengan membawa emas sekati. Raja Muda Iskandar telah mengarahkannya untuk mengadap Sultan Muzaffar Syah untuk menyampaikan hajat Raja Muda untuk meminang Raja Budak Rasul. Perbincangan telah berlaku antara Sultan Muzaffar dengan Raja Perempuan mengenai hajat Raja Muda Iskandar. Walaupun, Raja Muda Iskandar telah mempunyai dua orang isteri namun Raja Perempuan berbesar hati menerima pinangan Raja Muda Iskandar. Hal ini demikian kerana, Raja Muda Muda Iskandar dapat menggantikan perwarisan Sultan Muzaffar apabila dia berkahwin dengan anakandanya. Petikan teks adat peminangan Raja Budak Rasul adalah seperti dibawah:


“…maka titah baginda laki isteri, “ Apa pekerjaan anakanda kedua datang ini?”. Maka anak raja kedua itu pun berdatang sembah, demikian sembahnya, “ Tuanku, patik ini disuruhkan oleh anakanda Raja Muda untuk menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia baginda laki isteri. Adapun, sembah anakanda itu hendak memohonkan diperhamba sekali. Tetapi, harapkan ampun juga diperbanyak-banyak di atas jemala ubun-ubun patik sekalian ini…”.
(Misa Melayu, 1992: 12)


“… Adapun akan Raja Muda setelah sudah dikabulkan oleh Sultan Muzaffar Syah kehendaknya, maka mesyuaratlah ia dengan segala adinda baginda sekalian, dan serta menghimpunkan segala hulubalang yang dekat-dekat hendaklah disuruhkan pergi membawa tanda meminang dengan seperti adatnya. Maka segala anak-anak raja pun sekaliannya datang mengahadap Raja Muda, dan segala hulubalang dan rakyat sekaliannya pun hadir dengan kebesaran tunggul panji-panji dan aalam merual sekaliannya.
    Hatta setelah selesai mustaid sekaliannya, maka Raja Muda pun mengeluarkan emas serta ditimbang sekati beratnya dua kali lalu diberikan kepada adinda Raja Kecil Muda. Adapun, yang pergi meminang itu pertama-tama Raja Kecil Muda dan Raja Alauddin dan Raja Chulan dan Raja Inu dan segala adinda anakanda sekaliannya, dan anak raja-raja serta hulubalang rakyat sekaliannya laki-laki dan perempuan semuanya sedia berhimpun. Maka segala raja-raja perempuan tua-tua pun pergi membawa tanda itu. Setelah sudah lengkap seperti adatnya, maka dipasang oleh orang Meriam lela rentaka dan segala bunyi-bunyian pun berbunyilah…”.
            (Misa Melayu, 1992: 37)

      Setelah urusan peminangan selesai, anak raja kedua pulang untuk menghadap Raja Muda Iskandar untuk menyatakan peminangan telah diterima. Kemudian, Sultan Muzaffar Syah mengadakan mesyuarat dengan ahli keluarga dan hulubalang-hulubalang istana yang terdekat. Baginda telah menyerahkan sekati emas kepada tuan puteri sebagai tanda peminangan. Penyerahan emas kepada Raja Budak Rasul diiringan dengan tembakan meriam ke Berhaman Indera. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan teks di bawah ini:


…maka mempelai Raja Muda pun dihiasilah oleh raja yang tua-tua dengan selengkap pakaian mempelai raja-raja yang besar-besar, maka diberi memakai pakaian kerajaan negeri Perak…”
“…setelah Menteri mendengar titah baginda maka ia pun masuk menjunjung Duli Yang Maha Mulia baginda, lalu ia membaca khutbah Saidina Ali nikah…”.
(Misa Melayu, 1992: 48)


        Seterusnya, ketika upacara pernikahan pula, Raja Muda membawa 100 tahil emas, 10 pasang hamba (orang jawa) dan 1000 keping timah. Akad nikah dimulakan dengan khutbah nikah, bersanding dan upacara bersiram. Majlis perkahwinan diadakan dengan meriah dan secara besar-besaran. Golongan raja dan para pembesar berarak mengiringi Raja Muda dan isterinya menuju masuk ke dalam istana. Adat istiadat perkahwinan  ini telah berlangsung selama tujuh hari tujuh malam dan dihadiri oleh ribuan rakyat jelata.

        Berdasarkan adat meminang dan berkahwin yang diamalkan oleh golongan diraja di negeri Perak dapat dilihat pandangan hidup yang menjadi pegangan masyarakat pada ketika itu. Pandangan hidup yang dipegang oleh masyarakat Melayu khususnya di negeri Perak ialah ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Ungkapan ini amat sesuai sekali bagi masyarakat Melayu ketika itu kerana mereka sentiasa mendahulukan adat dalam apa cara sekalipun. Hal ini dapat, dilihat apabila Raja Muda Iskandar memulakan adat peminangan untuk menyampaikan hasrat hatinya ingin memperisterikan Raja Budak Rasul sebelum meneruskan adat yang seterusnya iaiatu adat perkahwinan. Oleh itu, jelas dilihat masyarakat pada ketika itu amat berpegang teguh kepada adat resam.

2.3.2    Adat Bertindik dan Berinai
Pada zaman feudal lagi masyarakatnya sudah menjalankan adat bertindik dan berinai. Jika dilihat, adat ini masih lagi diteruskan dan diamalkan pada masyarakat kini. Namun, adat tersebut telah disesuaikan mengikut syariat Islam supaya tidak menyerupai agama lain. Berdasarkan Misa Melayu, adat bertindik dapat dilihat melalui peristiwa bertindik yang dijalankan terhadap raja Budak Rasul. Buktinya dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:


“Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah, kemudian diikuti pula dengan istiadat bertindik puteri yang baru bertunang itu, maka pada akhir tahun yang ketiga pertunangan itu disatukanlah Puteri Raja Budak Rasul dengan Raja Muda”.
(Misa Melayu, 1992: 10)


          Seterusnya, adat berinai pula kebiasaannya dilakukan sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan dijalankan oleh pihak sebelah perempuan. Tambahan pula, adat ini juga dilakukan dua hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan sering dilakukan pada waktu malam. Adat berinai yang diadakan dalam kalangan golongan diraja akan memperlihatkan upacara yang gilang gemilang. Hal ini dapat dilihat berdasarkan bukti tatkala siang hari sebelum majlis berinai, inai pun diarak masuk ke dalam istana. Inai itu dibubuh di atas kepala kera Hanuman yang diletakkan di atas perarakan lalu diarak. Berdasarkan upacara yang dilakukan, jelas menunjukkan pengaruh agama Hindu yang kuat sewaktu pemerintahan diraja Perak.


“… Hatta maka berjaga-jaga itu pun sampailah tujuh belas malam hingga pada malam berinai, maka daripada siangnya itu, maka masuklah Orang Kaya Besar mengarak inai ke dalam. Maka inai pun dibubuhnya di atas kepala seekor binatang kera ‘Hanuman’. Maka diletakkan lah di aats perarakan, lalu diaraklah masuk ke dalam kota sampai ke balai penghadapan, maka disambut oranglah inai itu dengan seperti adat. Maka Orang Kaya  Besar pun dikurnia baginda persalin dengan selengkapnya. Maka pada malam itu berinailah”.
(Misa Melayu, 1992: 42)

         Adat bertindik dan berinai ini menjadi satu adat istiadat yang penting diamalkan khususnya bagi masyarakat Melayu. Berdasarkan adat bertindik dan berinai yang diamalkan di dalam Misa Melayu dapat dilihat pandangan hidup yang menjadi pegangan masyarakat Melayu pada ketika itu. Pandangan hidup yang dipegang oleh masyarakat Melayu ialah ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Ungkapan ini dipegang oleh masyarakat Melayu ketika itu kerana mereka sentiasa mendahulukan adat dalam apa cara sekalipun. Namun, adat yang diamalkan ini disesuaikan dengan syariat agama Islam supaya tidak menyerupai agama lain. Oleh itu, jelas dilihat masyarakat pada ketika itu amat berpegang teguh kepada adat resam dalam kehidupan seharian mereka.

2.3.3    Istiadat Kemangkatan

 
Setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini pasti akan menemuai kematian. Kematian sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Kematian akan berlaku tidak kira seseorang itu mempunyai kedudukan atau tidak. Tambahan pula, kematian juga tidak mengenal usia tua atau muda. Secara umunya, istiadat kemangkatan digunakan kepada golongan diraja dan bukan kepada golongan rakyat biasa. Istiadat kemangkatan ini dilakukan kepada raja atau kerabat diraja apabila mangkat. Melalui Misa Melayu, istiadat kemangkatan juga turut diselitkan iaitu apabila mangkatnya Sultan Muhammad Syah. Buktinya dapat dilihat pada teks dibawah:

 “… Maka dihadapi oleh anakanda baginda Al-Marhum Haji Allah. Setelah sudah, maka ditabalkan lalu diaraklah ke makam paduka ayahanda dengan sepertinya adat istiadat al-marhum. Shahadan lagi pula beberapa emas dan perak dihamburkan sepanjang-panjang jalan itu akan derma baginda. Setelah sampai ke makam, diletakkan lalu disembahyangkan pula. Maka berhimpunlah segala orang yang sembahyang menyembahyangkan baginda itu beberapa ratus diberi sedekah daripada rial dan kain-kain. Hatta setelah sudah, maka dikuburkanlah serta dibacakan talkin. Setelah sudah dikuburkan, adinda baginda itu maka Sultan Muzaffar Syah pun kembalilah dengan percintaan baginda serta memberi takziah akan adinda baginda itu tujuh hari baginda berhenti tiada nobat”.

            (Misa Melayu, 1992: 53)

      Istiadat kemangkatan dilakukan adalah untuk membezakan golongan raja dengan golongan bawahan iaitu rakyat. Raja mempunyai pangkat dan kuasa dalam segala hal. Istiadat ini dilakukan untuk menunjukkan taat setia dan tanda hormat rakyat kepada raja yang telah berjuang dalam memerintah dan mengekalkan keamanan negeri Perak. Oleh itu, istiadat ini telah menjadi pegangan hidup bagi rakyat negeri Perak setiap kali mangkatnya seseorang raja.

2.3.4    Istiadat Menjunjung Duli
Istiadat menjunjung duli dilakukan adalah untuk memperlihatkan taat setia kepada raja. Pengarang Misa Melayu telah memperlihatkan istiadat ini melalui peristiwa menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Muda dan anak-anak raja. Kebiasaannya, adat ini dilakukan mengikut taraf masing-masing dan dimulai dengan raja-raja serta anak-anak raja. Kemudian, golongan bangsawan dan seterusnya pembesar-pembesar pada waktu pemerintahan tersebut. Contohnya, adalah seperti yang berikut:


“…Setelah itu, maka turunlah seorang bentara dipersilakan Raja Muda. Maka naiklah Raja Muda menjunjung Duli Yang Maha Mulia. Kemudian, segala raja-raja dan anak-anak raja pun disuruh oleh kepala bentara dari atas balai dipanggil naik. Maka naiklah berganti-ganti menjunjung duli baginda. Kemudian maka orang besar-besar pula menyembah dan segala bentara hulubalang pula berganti-ganti menjunjung ahli baginda. Setelah sudah sekaliannya habis menjunjung duli baginda maka semuanya pun duduklah beratur di balai”.
(Misa Melayu, 1992)

       Raja mempunyai kuasa dan pangkat yang tinggi berbanding golongan-golongan lain. Adat ini menjadi sebenarnya telah menjadi pegangan mereka sehingga kini. Hal ini demikian kerana, untuk memberikan penghormatan dan memperlihatkan taat setia kepada golongan yang mempunyai kuasa tertinggi dalam tampuk pemerintahan negeri atau negara.

2.3.5    Adat Melenggang Perut
Adat melenggang perut merupakan suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang hamil tujuh bulan. Adat ini diadakan bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu di bahagian kepala iaitu di pintu rahim. Hal ini amat penting untuk memudahkan ibu bersalin dan mengelakkan bayi lemas di dalam perut. Jika dilihat adat ini masih lagi dilakukan sehingga kini.

        Berdasarkan Misa Melayu dapat dilihat adat melenggang perut dijalankan kepada permaisuri kepada Sultan Iskandar Syah yang mengandung tujuh bulan. Adat tersebut telah dijalankan di Balai Panca Persada selama 40 hari 40 malam. Adat itu juga dihadiri oleh seluruh rakyat Perak termasuk masyarakat Cina, India dan Belanda. Mereka juga turut mempersembahkan hadiah kepada sultan. Selain itu, ketika majlis tersebut dilangsungkan terdapat juga persembahan Menora dari Kedah pimpinan Kanda Seri Indera dan Nakhoda Jumaat turut dipersembahkan dalam istiadat melenggang perut itu. Contohnya dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:


“Sementara itu permaisuri baginda (Raja Budak Rasul) pun hamil. Apabila genap tujuh bulan, diadakan istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Sebelum dilangsungkan istiadat itu berbagai-bagai permainan telah diadakan beberapa hari; joget, bunyi-bunyian, cara Melayu, cara kedah, cara Acheh termasuk Menaro. Selain daripada itu, diadakan juga berjenis-jenis permainan sukan laut (sungai) dan darat”.
(Misa Melayu, 1992: 13)


          Adat melenggang perut ini telah menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana, adat ini memberi kelebihan dan kesenangan kepada ibu mengandung. Ungkapan biar mati anak, jangan mati adat sememangnya menjadi pegangan bagi masyarkat Melayu sehingga kini. Adat sememangnya akan didahulukan daripada hal lain. Masyarakat Melayu berpegang kepada ungkapan tersebut kerana memikirkan pelbagai kebaikan khususnya kepada ibu mengandung khususnya dalam adat melenggang perut ini. Pandangan hidup mereka apabila melakukan adat ini dapat membantu memperbetulkan kedudukan bayi di dalam kandungan dan memudahkan si ibu melahirkan bayi tersebut. Oleh itu, jelas bahawa masyarakat Melayu amat berpegang teguh kepada adat resam dan amat selari dengan ungkapan biar mati anak, jangan mati adat.

2.3.6    Adat Istiadat Pertabalan Sultan
Berdasarkan Misa Melayu, adat istiadat pertabalan sultan ini telah dilakukan ketika kemangkatan Sultan Muzaffar Syah III. Upacara pertabalan Sultan Baru telah dilakukan dimana Raja Muda Perak iaitu Raja Iskandar Syah telah diberi pakai segala alat kebesaran kerajaan. Baginda ditabal menjadi Sultan Perak dengan memakai gelaran Paduka Seri Sultan Zulkarnian Khalifatur Rahman Johan Berdaulat Zillullahi Fil Alam. Pertabalan tersebut telah dilakukan sebelum jenazah almarhum Sultan sebelumnya dikebumikan. Kebiasaannya, apabila adat pertabalan ataupun adat menjunjung duli di Istana Perak akan disertai dengan paluan gendang nobat Ibrahim kahlil atau disebut “bermahalil’.


“Maka muafakatlah sekaliannya akan bicara menabalkan Raja Muda laki isteri. Setelah sudah putus bicaranya, maka Raja Muda dua laki isteri memakai segala alat pawai kerajaan selengkapnya serta sedia sekalian pedang kerajaan dan segala kebesaran yang lainnya. Setelah itu, maka dihadapi oleh segala anak raja-raja dan segala orang besar-besar dan hulubalang rakyat sekaliannya berhadir, maka bunyi-bunyian pun dipukul oranglah gendang nafiri tujuh kali. Ada pun setelah tujuh kali tabal, maka segala anak raja-raja dan orang besar-besar dan rakyat sekalian serta segala isi negeri Perak ini semuanya mengangkat tangan di atas kepalanya mengatakan, “Daulat tuanku! Barang dilanjutkan Allah kiranya umur zaman baginda diatas takhta singgahsana kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan ikrar sentiasa dihadapan seisi negeri dengan orang tiadalah khalil siang dan malam”. Adapun gelaran baginda itu diatas kerajaan, Paduka Seri Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifatur Rahman Johan Berdaulat Dzillullahi Filalami. Setelah sudah baginda tabal dua laki isteri, maka diangkatlah oranglah pula jenazah ayahanda baginda ke pintu Rong”.

(Misa Melayu, 1992: 52)

        Berdasarkan adat pertabalan sultan ini dapat dilihat pegangan golongan diraja ketika itu dari aspek perwarisan takhta. Negeri Perak amat berpegang kepada konsep pengiliran dalam pemerintahannya. Hal ini demikian kerana, untuk memberi peluang kepada setiap individu yang mempunyai darah dan keturunan raja untuk memegang tampuk pemerintahan. Penyusunan jentera pemerintahan negeri Perak seperti Raja Muda, Raja Bendahara, Raja di Hilir, raja di Baruh, Raja Kecil Besar, Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Muda dan Raja Kecil Bongsu. Oleh itu, jelaslah bahawa golongan diraja di negeri Perak berpegang teguh kepada prinsip perwarisan takhta.

2.4       Estetika dan Kepengarangan dalam Misa Melayu
Misa Melayu merupakan karya agung yang mengandungi unsur estetika dan kepengarangan yang menarik dan meninggalkan kesan kepada pembaca. Aspek estetika dan kepengarangan merupakan salah satu ciri terpenting dalam sesebuah karya agung. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2016: 91), estetik berhubung dengan aspek keindahan, iaitu yang terdapat pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan. Dalam erti kata lain, estetik dalam sesebuah karya merupakan seni keindahan yang berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Kepengarangan pula merupakan mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Sifat kepengarangan dan keunggulan seseorang pengarang dapat dibina melalui seni sastera ataupun nilai estetika yang terdapat dalam karya pengarang itu sendiri. Kepengarangan dan estetika dalam Misa Melayu adalah seperti berikut:

2.4.1    Motif Pengarang
Karya Misa Melayu ini ditulis oleh Raja Chulan kerana beliau mahu menyampaikan kepada generasi akan datang mengenai kegemilangan pemerintahan raja pada zamannya. Motif beliau ini dapat dilihat berdasarkan frasa ‘supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kelak’ di dalam Misa Melayu. Motif utama beliau menulis Misa Melayu ini adalah untuk memenuhi kehendak raja atau dengan erti kata lain menurut titah sultan pada zaman tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui syair yang terdapat dalam Misa Melayu. Syair tersebut adalah seperti di bawah:

                                     tuanku titahkan patik mengarang,
                                    diperbuat juga sebarang-barang,
                                    sajaknya janggal manisnya kurang,
                                    haram tak sedap didengar orang.

2.4.2    Kekuatan Kepengarangan
Raja Chulan berjaya menghasilkan suatu bentuk histiografi berkenaan sejarah negeri Perak yang sarat dengan pengetahuan dan penceritaan yang memberi impak positif kepada pembaca. Berdasarkan karya Misa Melayu, terdapat beberapa kekuatan yang telah dikenal pasti daripada hasil kepengarangan Raja Chulan. Antara kekuatan pengarang dalam karya ini ialah Raja Chulan menggunakan tarikh yang tepat dalam menyatakan sesuatu peristiwa. Kekuatan seterusnya ialah Raja Chulan telah menyelitkan ciri pensejarahan Islam dalam karya Misa Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan lafaz Bismillah pada awal penulisannya dalam karya Misa Melayu ini. Beliau turut menggunakan perkataan lain yang berunsurkan Islam, iaitu frasa ‘dengan izin Allah’. Contoh lain penggunaan frasa yang berunsurkan islam adalah seperti berikut: 

                        “...Ampun tuanku, insya-Allah Taala barang dipanjangkan Allah
                        kiranya hadrat Duli Yang Maha Mulia di dalam dunia ini…”

                        “…setelah sudah baginda berwasiat demikian, maka datanglah
                        peredaran dunia ini. Inna lillahi wainnailaihirajiun.”

        Selain itu, kekuatan pengarang juga dapat dilihat apabila beliau memasukkan salasilah dan jurai keturunan kerajaan negeri Perak. Dalam Misa Melayu, pengarang juga telah menonjolkan keunikan sistem politik yang berlaku di Perak. Raja Chulan menyatakan pimpinan raja pada zaman tersebut lebih banyak meminta nasihat dan pendapat daripada pembesar negeri dengan tujuan menjaga kepentingan rakyatnya. Hal ini bermaksud, raja pada masa itu tidak berkuasa mutlak dalam pemerintahannya tetapi masih mementingkan masyarakat sekelilingnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui teks berikut:


“ ….yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudahlah akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang-orang besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anakanda selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak…”
                       
         Seterusnya, kekuatan kepengarangan Raja Chulan dalam Misa Melayu juga dapat dilihat apabila beliau tidak menggunakan unsur-unsur mitos atau dongeng di dalam karya tersebut tidak seperti Karya Agung Melayu yang lain yang banyak menggunakan unsur mitos di dalamnya. Hal ini demikian kerana, karya Misa Melayu merupakan karya histiografi yang penting bagi negeri Perak. Walau bagaimanapun, karya ini tetap memasukkan pantun dan syair sebagai penyeri karya. Karya sejarah negeri Perak ini mengandungi peristiwa yang benar-benar telah berlaku selain memberikan gambaran mengenai struktur politik, undang-undang, kegiatan ekonomi, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pemerintahan negeri Perak pada zaman tersebut. Raja Chulan turut memasukkan susunan pembesar kerajaan negeri, struktur masyarakat, adat istiadat dan bentuk kesenian yang wujud pada zaman tersebut.

      Kesahihan peristiwa yang dimasukkan oleh Raja Chulan dalam karya Misa Melayu ini dapat dibuktikan dengan merujuk kepada beberapa sumber lain seperti sejarah Belanda. Persamaan ini dapat mengukuhkan lagi ketepatan maklumat dalam Misa Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengarang Misa Melayu mempunyai kesedaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai sejarah negeri Perak.

2.4.3    Seni Bahasa
Kepengarangan dan esterika dalam sesuatu karya dapat juga dilihat berdasarkan seni bahasa yang digunakan oleh pengarangnya. Begitu juga dengan karya Misa Melayu yang unsur kepengarangannya dapat dilihat berdasarkan penggunaan seni bahasanya. Seni bahasa dalam karya Misa Melayu menunjukkan unsur kreativiti pengarangnya. Seni yang digunakan oleh Raja Chulan dalam karya Misa Melayu adalah seperti berikut:

        i.            Penggunaan retorik
Retorik merupakan salah satu aspek yang boleh digunakan oleh pengarang dalam menghasilkan sebuah karya. Retorik adalah teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan yang dilakukan bagi tujuan mempengaruhi khalayak ataupun masyarakat sekeliling. Retorik yang digunakan oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu ialah retorik pemerian. Retorik pemerian tersebut berbentuk penjelasan dan huraian mengenai sesuatu idea untuk menyampaikan sesuatu fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembacanya. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di bawah:


“Hatta, maka baginda pun hendak pindah membuat negeri di Pasir Pulai. Telah sudah istana baginda diperbuat oleh Raja Muda dan Raja Bendahara serta dengan segala orang besar-besar hulubalang pegawai rakyat sekaliannya,lengkap dengan kota paritnya, maka baginda pun berpindahlah ke Pasir Pulai berbuat negerilah di sana itu…”

                                                                                                                                   (Misa Melayu: 134)

        Selain itu, Raja Chulan juga menggunakan retorik penerangan dalam karya Misa Melayu. Retorik penerangan merupakan retorik yang berfungsi untuk memberi penerangan dengan lebih terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Hal ini adalah bertujuan untuk memberikan penjelasan yang lebih tersusun kepada para pembaca. Retorik ini dapat dilihat semasa Raja Chulan menceritakan proses peminangan dan perkahwinan anak Raja Selangor dengan anak Raja Kedah seperti dalam petikan berikut:


“Hatta maka beberapa lamanya raja Selangor pun hendak mengerjakan mengahwinkan puteranya dengan anak raja Kedah. Maka raja Selangor pun menyuruh ke Perak memanggil segala raja-raja Perak. Maka dititahkan Sultan Mahmud Syah…”
                                                                                                                                   (Misa Melayu: 133)



      ii.            Gaya Bahasa
Seni bahasa juga dapat dilihat berdasarkan gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam menghasilkan karyanya. Berdasarkan karya agung Misa Melayu yang dikaji, didapati terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan oleh pengarangnya. Gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam karya ini adalah untuk menjadikan kisah yang ingin disampaikan menarik dan dapat mewujudkan imaginasi para pembaca terhadap kisah tersebut. Selain digunakan dalam keperengganan, pengarang turut menyelitkan gaya bahasa dalam pantun dan syair yang terdapat dalam karya Misa Melayu ini. Gaya bahasa yang digunakan dalam karya Misa Melayu adalah seperti berikut:

·         Gaya bahasa pertentangan
Gaya bahasa pertentangan yang digunakan dalam karya Misa Melayu ialah gaya bahasa hiperbola. Hiperbola merupakan gaya bahasa yang mengandungi pernyataan yang berlebih-lebihan jumlahnya, ukurannya atau sifatnya dengan tujuan memberi penekanan. Penggunaan gaya bahasa hiperbola ini juga bertujuan untuk menggerakkan cerita tentang kehebatan, kesaktian dan kekuasaan seorang raja yang tidak dapat ditandingi oleh rakyat biasa. Selain itu hiperbola juga bertujuan untuk menggambarkan suasana atau kejadian yang sangat hebat pada masa dahulu. Contoh penggunaan hiperbola dalam Misa Melayu ialah:


“….Maka gendang negara serunai nafiri ceracap pun dipalu oranglah dengan segala bunyi-bunyian pula berbunyilah, terlalu adzmat bunyinya, tiada sangka bunyi lagi, seperti kiamatlah lakunta Pulau Indera Sakti”.
                                                                                                                                           (Misa Melayu)

Petikan di atas menunjukkan penggunaan gaya bahasa hiperbola yang menerangkan suasana ketika berlangsungnya upacara dan adat perkahwinan raja pada masa itu. Kemeriahan dan keriuhan serta bunyi gendang dan nafiri yang digambarkan adalah melampau, iaitu gambarannya seperti kegamatan atau kekecohan yang akan berlaku pada hari kiamat.

·         Gaya Bahasa Perbandingan          
Dalam karya Misa Melayu ini, penggunaan gaya bahasa atau majaz perbandingan dapat dilihat melalui unsur simile. Gaya bahasa simile merupakan penggunaan gaya bahasa yang membandingkan dua hal padahal berlainan ataupun sengaja dianggap sama. Simile selalunya menggunakan perkataan “seperti”, “umpama”, “bagai” dan “laksana”. Contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam karya ini ialah:


“...akan bunyi-bunyian dan segala bedil itu tiada berhenti gegak gempita juga bunyinya, tiadalah diketahui orang akan kenaikan kecemasan itu, seperti orang bermain-main juga rupanya.”
                                                                                                                (Misa Melayu: 46-47)

“...Setelah sampai ka- dalam istana, maka didudukkan di atas peterana. Maka diperbuatlah seperti adat raja-raja yang besar kahwin.”                                                                              
                                                                                                                      (Misa Melayu: 48)

                       
·         Pantun
Pantun merupakan ciptaan asli orang Melayu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) mendefinisikan Pantun sebagai puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. Dua baris pertama merupakan pembayang dan yang selainnya merupakan baris maksud. Dalam karya Misa Melayu, pengarang turut menggunakan pantun sebagai usaha menghasilkan keindahan bahasa dalam karyanya. Contoh pantun yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:

                                   “Balai bertingkap bersulor bayong,
                                               Kenaikan sultan sedang berangkat,
                                    Bagai zamrud di-merchu gunong,
                                               Saperti intan sudah terikat.
                                    Kenaikan sultan sedang berangkat,
                                               Meninggalkan desa berahman indera,
                                    Saperti intan sudah terikat,
                                               Persembahan segala bala tentera.”
                                                                                                                                     (Misa Melayu: 68)

·         Syair
Salah satu keistimewaan karya Misa Melayu berbanding dengan karya agung yang lain ialah karya ini mengandungi bahagian syair yang terlalu panjang. Menurut Jelani Harun (2013: 13), karya Misa Melayu ini mengandungi 424 rangkap syair yang mengisahkan persiapan-persiapan dan pelbagai peristiwa yang berlaku semasa Sultan Iskandar Inayat Shah belayar ke laut. Dari segi isi kandungan syairnya, Raja Chulan bukan sahaja mengulangi peristiwa yang telah diceritakan dalam bahagian prosanya, malahan beliau turut memuatkan maklumat baru yang tidak diceritakan pada bahagian prosa. Kewujudan ikatan-ikatan syair dalam Misa Melayu jelas menunjukkan kebolehan dan kehebatan Raja Chulan sebagai pengarang karya agung pada zamannya. Antara rangkap syair yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:

                                   Ada sa-buah baharu di-reka,
                                   Dandan-nya indah sikap belaka,
                                   Ukiran kalok bertulis belaka,
                                   Sikap sa-perti se-ekor naga.
                                   Sa-ekor mawas tegak di-haluan,
                                   Saperti singa menchari lawan,
                                   di-kurniakan duli yang di-pertuan,
                                   kenaikan raja putera bangsawan.
                                                                                                                                  (Misa Melayu: 122)


·         Penggunaan Kosa Kata Bahasa Melayu Klasik dan Pengaruh Bahasa Asing serta Dialek Perak
Dalam misa Melayu, pengarang turut menggunakan kosa kata Melayu lama atau klasik dan pengaruh bahasa asing.  Contoh penggunaannya adalah seperti dalam jadual di bawah:

Perkataan
Maksud
Gedung gelap
Penjara
Surat chiri
Surat perlantikan
Baur
Alat kebesaran
Berhati salah
Nilai tidak baik
Balai lepu
Balai tengah
Tiada sangka
Tidak terhingga
Milawati
Menara kawalan
Karallah
Menara kawalan
Berpontoh
Bergelang besar
Menaruh riyal
Menyimpan / menggunakan duit riyal
Kurang nazarnya
Kurang pertimbangannya
Toleh tenggala
Jam 9.00-11.00 pagi

            Selain itu, pengarang Misa Melayu juga menggunakan dialek perak dalam menghasilkan karya yang bersifat sejarah ini. antara contoh dialek Perak yang digunakan dalam karya ini ialah:

Dialek
Maksud
Mike
Kamu
Celung
Kandang
Merosok
Menyembunyikan


2.5       Nilai  Ilmu  dalam  Misa  Melayu
Menurut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat  (2010),  perkataan  nilai  merujuk  kepada  darjat,  kualiti,  mutu  dan  taraf.  Dalam  bidang  sains  sosial,  nilai  boleh  didefinisikan  dalam  tiga  konteks  utama,  iaitu  sebagai  sifat  bagi  menyatakan  kepentingan  atau  manfaat  sesuatu  objek,  menyatakan  kadar  harga  atau  markah  sesuatu  objek  berbentuk  kuantiti dan  sebagai  ukuran  atau  piawaian  kepada  sesuatu  kelakuan  manusia.  Nilai  juga  diistilahkah sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang  lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu.


          Nilai  juga  bersifat  aksiologi  dan  mempunyai  hubung  kait  dengan  falsafah  nilai.  Nilai  membolehkan  manusia  membezakan  antara  yang  baik  atau  buruk  dan  betul  atau  salah. Menurut  Kamus Dewan  Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara  dunia,  akhirat,  zahir,  batin  dan  lain-lain.  Oleh  itu,  dapatlah  kita  simpulkan  bahawa  ilmu  adalah  hal  yang  berkaitan  kerana pemerolehan  ilmu  itu  dan  usaha  kita  menyebarkannya  kepada  orang  lain  dalam  bentuk  pelbagai  maklumat.  Maklumat  yang  disebarkan  mengandungi  pelbagai  fungsi.

Antara  fungsi  sesuatu  ilmu  itu  ialah   disebarkan untuk  menambah  ilmu  pengetahuan  dan mengembangkan  lagi  perkara  yang  mengandungi  pelbagai  kemusykilan  dan  lain-lain.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  yang  ingin  dikaji  ialah  ilmu  pentadbiran  atau  sistem  beraja,  ilmu  firasat,  ilmu  sejarah  dan  ilmu  ekonomi.

2.5.1    Ilmu  Pentadbiran  atau  Sistem  Beraja
Pentadbiran  boleh  didefinisikan  sebagai  perbuatan  melaksanakan  urusan,  mengelola,  atau  menjalankan  sesuatu  pejabat,  kerajaan  dan  lain-lain  lagi.  Definisi  lain  yang  lebih  mudah  ialah  pentadbiran  ialah  perlakuan  untuk  mengurus  atau  bertindak  sebagai  ejen  dalam  hal  ehwal  fungsi  pentadbiran  atau  fungsi  kerajaan.  Sebagai  contoh,  dalam  Misa  Melayu  telah  diwujudkan  sistem  beraja  yang  mengikut  susunan  yang  telah  diatur  dengan  baik.  susunan  tersebut  ialah:

                                                              i.     Raja  Muda
                                                            ii.     Raja  Bendahara
                                                          iii.     Raja  Di  Hilir
                                                          iv.     Raja  Di  Baruh
                                                            v.     Raja  Kecil  Besar
                                                          vi.     Raja  Kecil  Tengah
                                                        vii.     Raja  Kecil  Muda
                                                      viii.     Raja  Kecil  Bongsu

Misa  Melayu  telah  membuktikan  bahawa  sistem  perwarisan  takhta  dan  penggantian  raja  Perak  ialah  dalam  satu  struktur  yang  tersusun.  Nama  raja-raja  Perak  yang  diceritakan  dalam  Misa  Melayu  ialah  Sultan  Mudzafar  Shah 111  (1728-1744),  Sultan  Iskandar  Dzulkarnain  Shah  (1750-1765),  Sultan  Mahmud  Shah  (1765-1773)  dan  Sultan  Alauddin  Mansur  Shah  (1773-1786).  Kesemua  sultan  ini  adalah  pemerintah  yang  berpusat  di  Barhaman  Indera /  Berahman  Indera  yang  kini  lebih  dikenali  sebagai  Bota,  Pulau  Tiga,  Pulau  Indera  Sakti,  Pasir  Pulai  dan  Pulau  Besar  Indera  Mulia. 

Hal  ini  menunjukkan  kawasan  persekitaran  tempat-tempat  tersebut  adalah  kawasan  kediaman  raja-raja  dan  pembesar  Melayu  di  negeri  Perak  sekitar  awal  abad  ke-18  lalu  sebelum  pusat  pemerintahan  tersebut  berpindah  ke  Kuala  Kangsar  sehingga  ke  hari  ini.  sehingga  kini,  masih  terdapat  banyak  makam  raja-raja  Perak  di  Bota,  Pulau  Tiga,  Kampung  Gajah,  Pulau  Juar,  Pasir  Pulai,  Bandar  Baharu  dan  Belanja.  Kesultanan  Perak  mempunyai  wilayah  kekuasaannya  yang  tersendiri  yang  sering  disebut  secara  umum  dalam  Misa  Melayu  sebagai  “segenap  teluk  rantau  dan  anak-anak  sungai”  atau  “segala  anak  sungai  segala  teluk  rantau  jajahan  negeri”.

Dalam sistem kesultanan Perak, seorang Raja Muda adalah bakal sultan, orang yang akan menaiki takhta apabila sultan yang ada mangkat. Selaku bakal sultan, Raja Muda harus mempersiapkan diri dengan segala ilmu yang penting ketika itu agar dapat meneruskan tugas pemerintahan dengan baik apabila tiba masanya menjadi sultan kelak. Antara persediaan seorang Raja Muda yang utama termasuklah memiliki perwatakan dan keperibadian yang mulia agar dikasihi oleh rakyat, tahu adat istiadat negeri, mendalami ilmu agama, pandai bertutur kata, dan barangkali juga memiliki kemahiran dalam ilmu persenjataan dan sebagainya. Mengikut pandangan Raja Chulan, segala sifat yang istimewa ini kelihatannya telah dimiliki oleh Raja Iskandar.

2.5.2    Ilmu  Firasat
Menurut  Kamus  Dewan  (2010),  firasat  ialah  pengetahuan  mengenai  tanda-tanda  pada  muka,  badan  dan  lain-lain  untuk  mengetahui  kelakuan  atau  nasib  orang.  Tilikam  atau  ramalan  ahli  nujum  itu  berkaitan  dengan  ilmu  firasat.  Menurut  Sulastin  Sutrisno,  orang  yang  mempunyai  ilmu  tersebut  dapat  merasa,  melihat,  atau  mengetahui  terlebih  dahulu  segala  sesuatu  yang  akan  berlaku.  Melalui  ilmu  firasat  juga,  seseorang  itu  akan  dapat  mengetahui  kelebihan  dan  kelemahan  orang  lain,  antaranya  berdasarkan  nama,  haru  atau  ketika.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  firasat  dapat  dikenal  pasti  menerusi  perbualan  Sultan  Iskandar  dengan  pawangnya  berkenaan  keinginannya  untuk  mencari  ikan  di  sungai.


Maka  titah  baginda,  “Hai  Sang  Paya  Indera  dan  Sang  Paya  Diraja,  di  mana  sungai-sungai  yang  baik  beta  hendak  menuba?”  Maka  sembah  pawang  kedua  itu,  “Tuanku,  ampun.  Kepada  pemandangan  patik  sekalian,  sungai  yang  baik  dan  ikannya  banyak  Sungai  Budimanlah  yang  patut  tuanku  berangkat  bermain-main  membawa  adinda  baginda  sekalian.”

                                                                                                                                         (Misa  Melayu) 

Melalui  teks  di  atas,  jelas  menunjukkan  bahawa  pawang  berkenaan  mempunyai  ilmu  firasat  iaitu  dengan  hanya  melihat  kawasan  dan  keadaan  sungai  terbabit,  mereka  sudah  mengetahui  keadaan  serta  ikan-ikan  yang  berada  di  dalam  sungai  terbabit.

2.5.3    Ilmu  Sejarah
Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari awal hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan diberi kepada era Sultan Mudzafar Shah dan Sultan Iskandar Dzulkarnain. Manakala, sultan-sultan Perak yang lain sama ada pada peringkat awal atau selepas mereka disebut secara ringkas. Pengkisahan bermula dari Al-Marhum Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah terbahagi kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu, bergelar Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu  yang   bergelar Sultan Muhamad Shah.

Atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar, putera pertama Sultan Muhamad Shah, maka Perak telah disatukan semula. Raja Iskandar banyak berjasa   dalam  bidang   politik   kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang serangan   atau  campur tangan Sultan Berkabat, iaitu seorang raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah dan Daeng Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga telah berlaku satu percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam bersama-sama orang Bugis tempatan. Raja Alam tidak berpuas  hati dengan keputusan Raja Iskandar yang  tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk berpindah ke Kuala Kangsar. Raja Alam mencari  bantuan kuasa Belanda, akhirnya, Raja Alam telah ditangkap dan dibuang ke Melaka.

Selepas kemangkatan Sultan Muhammad, ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar   iaitu  Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda Iskandar ditabalkan menjadi Sultan, bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat Ur-Rahman. Pengkisahan era pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci berbanding dengan era sultan-sultan yang sebelum dan selepas baginda.

Sultan Iskandar memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Pulau Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, kerana angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamakan   Bandar Makmur.

Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan jadi ingatan kepada zuriat baginda pada masa akan datang.

Baginda Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan pula oleh Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor datang mengadap dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira lapan tahun memerintah, baginda diganti oleh adindanya, Sultan Alauddin.

2.5.4.   Ilmu  Ekonomi
Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah  negeri Perak membuat hubungan diplomatik dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Sedikit sebanyak, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri Perak pada ketika itu.  Masyarakat  pada  ketika  itu  menggunakan  sistem  ekonomi  feudal.  Dalam  sistem  tersebut,  sultan  dan  pembesar  negeri  adalah  orang-orang  yang  memonopoli  eksport  dan  import. Manakala,  rakyat  biasa  sekadar  pekerja  dan  menjalankan  suruhan  pembesar  semata-mata.   Pedagang  luar  juga  datang  berdagang  ke  negeri  Perak  pada  ketika  itu.  Hal ini dapat  dilihat  menerusi  petikan berikut:


“Adapun  pada  masa  itu  Holanda  dan  orang  Cina  dan  orang  Keling  pun  semuanya  datang  persembahkan  segala  permainannya  berbagai-bagai  rupanya  dan  lakunya.”
                                                                                                                                          (Misa  Melayu)


Pada bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Namun  begitu, mereka mahukan agar bijih timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ia dilakukan di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba menggertak dengan menembak ke arah Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang semula.

3.0       Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Misa Melayu merupakan satu karya yang ditulis oleh salah seorang golongan istana, iaitu Raja Chulan dalam usaha untuk memperlihatkan sejarah pemerintahan kerajaan Perak yang bermula daripada Almarhum Jaliullah sehinggalah Sultan Alauddin Mansur Shah. Dalam pada itu, hampir 77% daripada karya ini tertumpu kepada era pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan merupakan seorang sultan yang berwibawa dan bijaksana dalam menyelesaikan segala konflik politik yang berlaku kepada kerajaan baginda dan dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang pemerintah. Selain itu, Raja Chulan juga turut menggambarkan kehidupan sosial, norma masyarakat, dan nilai-nilai yang cuba ditunjukkan oleh masyarakat pada ketika itu kepada generasi yang akan datang. Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa karya Misa Melayu ini sememangnya merupakan salah satu contoh karya yang tergolong dalam karya agung Melayu. Karya ini dikatakan menepati ciri-ciri sebuah karya agung kerana aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu, estetika serta teknik kepengarangan berjaya digarapkan dengan baik menerusi karya tersebut. Berdasarkan aspek-aspek itu juga, buah tangan daripada Raja Chulan ini dapat dijadikan sebagai panduan dan rujukan yang penting kepada generasi akan datang untuk mengambil segala iktibar daripada segala peristiwa yang diceritakan dalam karya ini dalam mendepani realiti kehidupan masa kini yang penuh dengan liku-liku cabaran.

No comments:

Post a Comment