Interlok

Slaid Pembentangan



1.0       Pengenalan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ‘karya’ bermaksud buatan atau ciptaan sesuatu manakala ‘agung’ membawa maksud paling besar, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Maka dapatlah diertikan karya agung merupakan ciptaan yang terkemuka yang dapat meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang kekal dalam ingatan pembaca. Novel Interlok adalah hasil karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang diterbitkan pada tahun 1971 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan satu usaha untuk membangkitkan nilai perpaduan, kekitaan antara kaum Melayu, Cina dan India.

Novel Interlok juga melibatkan tiga unsur yang digabungjalinkan melalui plot yang kemas dan meyakinkan. Novel ini memaparkan keadaan masyarakat pada awal abad ke-20 iaitu zaman kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu, orang India dari selatan benua India dan orang Melayu yang menjadi penghuni asal Tanah Melayu. Disitulah digambarkan situasi sosial, ekonomi dan politik. Ketiga-tiga kaum ini hidup dalam kemiskinan akibat penjajahan Inggeris yang mengamalkan sistem pemerintahan pecah-perintah. Orang Melayu sebagai petani, orang Cina sebagai pengusaha dan orang India bekerja di estet.

1.1       Sinopsis Novel Interlok
Novel ini mengisahkan tentang kehidupan manusia yang terdiri daripada tiga suku kaum yang hidup penuh konflik akibat hidup di bawah penjajahan Jepun, Komunis dan Inggeris. Pengarang dalam novel ini menggunakan teknik mozaik dalam penceritaannya iaitu mengandungi empat petak dengan jalinan plot yang kemas dan rapi (Misran Rokimin, 2013). Petak pertama mengisahkan keluarga Seman. Ayahnya Pak Musa dan ibunya Mak Limah. Mereka tinggal di Kampung Nyior Condong. Keluarga Seman mempunyai sawah dan tanah dusun yang sangat luas dan disebabkan itu, keluarga mereka juga dianggap sebagai keluarga yang berada di kampung itu. Namun, rahsia pemilikan sawah dan dusun tersebut terbongkar apabila Pak Musa meninggal dunia. Rupanya tanah dan sawah tersebut milik Cing Huat. Seman dan ibunya diminta meninggalkan rumah dan tanah yang mereka duduki oleh Cing Huat. Cing Huat sebenarnya telah memperalatkan Pak Musa untuk membeli tanah orang Melayu kerana Cing Huat tidak boleh membeli tanah orang Melayu. Tanpa pengetahuan Mak Limah dan Seman, Pak Musa telah membuat perjanjian bertulis bahawa tanah tersebut akan dikembalikan kepada Cing Huat apabila Pak Musa meninggal dunia. Disebabkan hal itu, Seman terpaksa meninggalkan kampung bersama ibunya.

            Petak kedua menceritakan tentang keluarga Cing Huat. Cing Huat merupakan kaum yang datang dari negara China ke Rantau Selatan (Malaya) disebabkan faktor penolak dari negaranya yang dilanda bencana alam dan serangan belalang pada tanaman mereka. Cing Huat ketika datang ke Rantau Selatan masih berusia 10 tahun. Dia datang bersama ayahnya, Kim Lock yang berketurunan Hokien. Paman Kok Leng yang mencari pekerja yang sanggup bekerja di Rantau Selatan juga mempengaruhi Kim Lock untuk bersetuju pergi ke sana. Kim Lock meninggalkan isterinya di kampung dan membawa bersama Cing Huat ke Rantau Selatan. Setelah beberapa minggu belayar, Kim Lock dan Cing Huat sampai ke Singapura. Di Singapura, Kim Lock bekerja sebagai kuli di pelabuhan sebelum menjadi penarik lanca, manakala Cing Huat menjadi pelayan di kedai kopi. Disebabkan hendak mencari pendapatan lebih, Kim Lock belayar ke Melaka dengan bantuan kenalannya. Kemudian, Kim Lock ke Lukut dan bekerja di lombong bijih. Setelah itu, dengan simpanan yang ada, Kim Lock ke Pulau Pinang pula untuk mencari peluang membeli tanah dan akhirnya ke Kedah dan sampai di daerah kecil yang bernama Simpang Empat. Di situ dia membuka kedai runcit yang akhirnya menjadi maju kerana kedai tersebut menjadi tumpuan pekerja estet dan petani. Masa terus berlalu dan kedai yang berkembang maju itu diwarisi oleh Cing Huat yang telah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Kim Lock tidak sempat menjumpai isterinya di China kerana peperangan yang berlaku antara China dan Jepun pada ketika itu. Kim Lock meninggal dunia akibat ketagih candu kerana dipengaruhi oleh perempuan simpanannya, Mei Hua yang akhirnya juga meninggal dunia. Cing Huat meneruskan hidup bersama isteri dan empat orang anaknya, yang lelaki bernama Yew Hock dan Yew Seng, manakala yang perempuan bernama Poh Eng dan Poh Kheng.

            Pada petak ketiga, pengarang menceritakan tentang Maniam yang mewakili kaum India. Maniam berasal Tricur Kerala, India. Ketika usia Maniam 30 tahun, Maniam datang ke Pulau Pinang atas kemahuannya sendiri kerana mendengar cerita orang kampung bahawa mudah untuk mencari wang di sana. Maniam yang sudah berkahwin meninggalkan isterinya dan berjanji akan mengirimkan wang setiap bulan kepada isterinya. Maniam tidak mempunyai anak. Anak sulungnya sudah meninggal dunia. Di Pulau Pinang, Maniam bekerja sebagai buruh di pelabuhan. Setelah berapa lama bekerja, Maniam dapat mengirimkan wang kepada isterinya menerusi rakannya, Pillay. Malangnya, Pillay tidak menyampaikan wang. Malah, Pillay turut mempengaruhi isteri Maniam untuk hidup bersamanya. Cerita tersebut disampaikan oleh Raman, rakan sekampungnya yang datang ke Pulau Pinang. Maniam yang kecewa membawa diri ke Bagan Tuan Kecil dan bekerja di estet getah. Tidak lama bekerja, Maniam berpindah kerja di kebun getah milik orang Inggeris di Cangkat Lima. Di estet ini, Maniam merupakan seorang pekerja yang baik dan amat disayangi oleh tandil estet tersebut, iaitu Perumal. Maniam akhirnya berkahwin dengan Malini, anak Perumal. Namun, perkahwinan mereka tidak bertahan lama apabila seorang pekerja di estet tersebut menyampaikan berita bahawa Maniam sudah beristeri dan tidak bertanggungjawab terhadap isterinya. Maniam yang tidak tahan dengan sindiran pekerja estet mengambil keputusan untuk meninggalkan Malini yang sangat dicintai. Ada ketika itu, Malini sedang mengandung anak pertama. Pada malam dia meninggalkan estet tersebut, dia diserang oleh beberapa orang yang memusuhinya sehingga pengsan. Dia hanya tersedar apabila seorang Melayu benama Musa menyelamatkannya. Mereka menjadi sahabat baik dan bekerja di Kebun Cangkat Janggus sehinggalah Musa mengambil keputusan untuk berhenti dan pulang ke kampungnya dengan alasan hendak berkahwin.


            Petak keempat merupakan peleraian cerita ini. Pengarang menceritakan ketiga-tiga kaum yang hidup saling membantu dan bertoleransi. Petak keempat menceritakan tentang Seman dan ibunya yang sampai di Kebun Cangkat Janggus setelah meninggalkan kampung. Di situ dia bertemu Maniam yang merupakan tandil kebun tersebut. Seman diterima bekerja di situ kerana Maniam mendapat tahu bahawa Seman merupakan anak kepada Musa yang menyelamatkannya suatu masa dahulu. Dalam petak ini juga, Seman berkahwin dengan Gayah, anak kepada Mat Ranggi di Kampung Nyior Chondong. Petak keempat ini juga diceritakan Jepun yang datang ke Kedah melalui Siam. Di Kedah, Jepun menangkap orang yang disyaki menyertai Bintang Tiga. Jepun datang ke kedai Cing Huat dan Poh Eng yang ketakutan, melarikan diri dan diselamatkan oleh Seman dan ibunya. Petak keempat juga menceritakan tentang Maniam yang ditangkap oleh tentera Jepun. Maniam disoal siasat oleh seorang inspektor muda bernama Ramakrisynan. Dalam sesi soal siasat itu, Maniam mendapat tahu bahawa Ramakrisynan merupakan anaknya bersama Malini yang ditinggalkannya semasa dalam kandungan lagi. Disebabkan itu, Maniam dilepaskan. Hasil bantuan Maniam juga ibu Seman dan Poh Eng dilepaskan setelah ditangkap kerana melindungi ahli Bintang Tiga. Ketika kumpulan komunis cuba berkuasa di Tanah Melayu, Jepun menyerah kalah dan Inspektor Ramakrisynan yang ditugaskan oleh British untuk mengetuai serangan khemah Bintang Tiga akhirnya berjaya memusnahkan khemah gerombolan tersebut. Di akhir jalan cerita novel ini, pengarang menunjukkan perpaduan kaum melalui tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang bersama-sama mahu menyambut hari kemerdekaan di Kuala Lumpur.

2.0       Analisis Karya Agung Novel Interlok

2.1       Pemikiran dalam Novel Interlok
Hassan Ahmad (2004), dalam buku Pemikiran Melayu: Tradisi Kesinambungan menyatakan pemikiran ialah proses kognisi atau akal yang sifatnya sejagat, yakni dimiliki oleh semua manusia tidak kira bangsa, justeru itulah manusia dikatakan makhluk yang rasional dan berakal, berbeza daripada haiwan. Menurut beliau lagi, pengalaman sesuatu bangsa yang berfikir merenungi dan memahami alamnya, baik alam kosmos mahupun alam terdekat di sekeliling kehidupan sehariannya sehingga daripada pengalaman itu terhasil beberapa banyak teks yang dapat dikaji sebagai penanda pandangan atau falsafah hidup bangsa itu secara kolektifnya. Teks-teks tersebut memberi petunjuk tentang konsep ilmu bangsa itu tentang kaedah berfikir bangsa itu sendiri yang disampaikan menggunakan bahasanya sendiri.

            Seri Lanang Jaya et al. (2016) pula menyatakan pemikiran di dalam karya bermaksud subjek yang dibawakan oleh pengarang. Bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema karya. Daripada situlah ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang. Berdasarkan pendapat mengenai pemikiran, pemikiran dapat disimpulkan sebagai satu idea dalam penulisan yang dihasilkan berdasarkan pengalaman yang kemudiannya dinyatakan dalam penulisan sesebuah teks. Dalam novel Interlok, terdapat lima pemikiran yang telah dikenal pasti dimasukkan ke dalam isi novel tersebut. Pemikiran tersebut ialah soal politik, soal ekonomi, soal agama dan soal pendidikan dan soal perpaduan kaum.

2.1.1 Soal Politik
Pemikiran politik dalam novel ini dikaitkan dengan pemerintahan di Tanah Melayu pada masa itu yang berada pada masa perang Jepun dan semasa darurat iaitu kebangkitan Komunis Bintang Tiga. Dalam novel ini, dinyatakan bahawa Jepun tiba di Kedah melalui Siam. Di Kedah, Jepun cuba menangkap sesiapa yang disyaki terlibat dan menjadi ahli Bintang Tiga. Petikan di bawah merupakan petikan daripada novel yang menunjukkan wujudnya pakatan Bintang Tiga dalam novel ini.
           

           “Kami sudah bentuk barisan dalam hutan, kami akan rampas senjata mereka. Nanti kami akan minta   bantuan pada orang putih. Lu mesti ikut bantu kami.”
            “Apa yang mesti gua bantu?”
            “Lu mesti katakan pada orang kampung jangan bantu Jepun, jangan beri beras pada mereka, jangan kerjasama,” jawab Yew Seng.
            “Kalau mereka paksa, bagaimana?”
         “Cuba cari jalan, satu dua orang jadi korban tak apa. Kalau kami sudah kuat kami akan datang bantu”.
            Lazim diam sejurus. Mahu ikut kata Yew Seng ataupun mahu ikut Jepun. Kalau ikut Yew Seng, sudah tentu ada yang jadi korban; kalau ikut Jepun juga ada korbannya nanti. Dia bingung.

(Interlok, 2005: 351)

Berdasarkan petikan novel di atas, Yew Seng mempengaruhi Lazim agar menyertai Bintang Tiga untuk menentang Jepun. Selain memperlihatkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan penentangan komunis Bintang Tiga terhadap Jepun, pemikiran politik juga ditunjukkan dengan adanya penentangan terhadap penubuhan Malayan Union. Jelas menunjukkan melalui contoh di atas, pengarang menyampaikan pemikirannya berkaitan soal politik atau pemerintahan dalam novel ini. Pengarang menggunakan Jepun, Bintang Tiga dan Inggeris sebagai kuasa penjajah yang cuba berkuasa di Tanah Melayu pada masa itu.

2.1.2    Soal Ekonomi

 
Soal ekonomi yang digambarkan oleh pengarang ditunjukkan dalam tiga kaum besar di Malaysia. Taraf ekonomi keluarga Seman yang ditunjukkan oleh pengarang pada mulanya mewah, ayahnya mempunyai banyak harta. Namun apabila ayahnya meninggal, segala rahsia tentang kemewahan keluarganya diketahui. Ayahnya iaitu Pak Musa menjadi proksi kepada Tauke Cing Huat. Tauke Cing Huat atau juga dipanggil sebagai Si Panjang telah memberikan modal kepada Pak Musa untuk membeli tanah orang Melayu yang hendak dijual. Pak Musa turut diberi kesenangan oleh Cing Huat iaitu Pak Musa mengerjakan tanah sawah dan dusun, hasilnya dibahagi dua. Pak Musa juga semasa hidupnya telah membuat satu perjanjian bahawa tanah yang sudah dibeli olehnya akan diserahkan semula kepada Cing Huat apabila dia meninggal.

“Pak Musa membeli tanah dan binatang itu daripada duit yang diberikan oleh Cina Panjang. Siapa yang dapat menahan dia daripada membeli tanah-tanah itu? Dia anak negeri ini. Siapa yang berani bertanya dari mana dia dapat wang? Tak ada siapa.” Penghulu Talib menggeleng. “Jual beli yang Pak Musa lakukan dengan tuan tanah itu memang sah menurut undang-undang . Tapi, sesudah itu dia dan Cina Panjang membuat pula perjanjian lain yang mengikat Pak Musa daripada menguasai tanah itu sebagai miliknya yang mutlak. Itulah surat pinjam wang yang Seman tengok tu!”

(Interlok, 2005: 84)

Pemikiran berkaitan ekonomi juga ditunjukkan melalui keluarga Cing Huat. Walaupun Cing Huat merupakan pendatang dari negeri China, tetapi taraf hidup mereka adalah lebih baik berbanding dengan kaum Melayu dan India pada ketika itu. Cing Huat dan bapanya, Kim Lock pada mulanya bekerja di Singapura, kemudian di Melaka, Perak, Pulau Pinang dan akhirnya ke Simpang Empat, di Kedah. Di situ ditunjukkan Cing Huat bijak dalam mempergunakan Pak Musa untuk memperoleh tanah orang Melayu. Di situ juga, Cing Huat juga membuka bersama ayahnya kedai runcit yang akhirnya menjadi bertambah besar dan maju kerana menjadi tumpuan kepada para petani dan pekerja estet di daerah itu. Hal ini boleh dibuktikan melalui petikan daripada novel yang terdapat di bawah:

 Cing Huat berasa puas hati dengan kemajuan yang dicapainya sekarang. Kedainya bertambah besar, lebih besar daripada kedai-kedai yang lain di pekan itu: menjual segala macam barang – dari pekakas dapur, pekakas rumah, pekakas pertanian, sampai kepada ikan bakar dan sayur-mayur. Hanya seperkara yang terkilan di hatinya. Dia mempunyai dua orang saja anak lelaki – Yew Hock dan Yew Seng.
(Interlok, 2005: 196)


            Maniam pula, taraf ekonominya juga bergerak baik seperti Cing Huat. Pada mulanya hidup susah di negeri orang tetapi lama-kelamaan taraf hidupnya meningkat ke arah lebih baik. Maniam mula bekerja sebagai buruh, kemudian bekerja di ladang dan berkahwin dengan Malini, anak kepada tandil di ladang tersebut. Namun, perkahwinan mereka tidak bertahan lama kerana seorang pekerja ladang membawa cerita buruk tentang Maniam kepada Malini. Masa terus berlalu, Maniam yang dahulunya kuli, kini menjadi tandil di ladang dan Maniam lah yang bertanggungjawab mengambil Seman bekerja di ladang itu. Situasi ini ditunjukkan pada halaman 297 novel Interlok. Berikut merupakan petikan daripada novel berkaitan situasi tersebut:


              “Badan saya masih kuat dan akan bertambah kuat kalau saya tahu saya mendapat kerja”.
               Maniam tersenyum. Budak ini tak ubah seperti Musa dulu, keras hati.
            “Kau pulanglah dulu. Dua hari lagi datang ke mari. Aku akan beri jawab.” Maniam berjanji               dengan Seman.
(Interlok, 2005: 297) 


            Berdasarkan kesemua contoh petikan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa pengarang novel amat menonjolkan hal berkaitan ekonomi dalam novel. Hal berkaitan ekonomi ini ditunjukkan oleh pengarang dalam setiap watak yang mewakili tiga kaum utama di Tanah Melayu pada masa itu. Berdasarkan novel ini, dapat dilihat pergerakan ekonomi kaum Melayu yang diwakili oleh keluarga Seman pada mulanya baik kemudian menurun dan dalam keadaan baik semula apabila berkahwin dengan anak orang berada. Keluarga Cing Huat pula menunjukkan peningkatan dalam taraf ekonominya, begitu juga dengan Maniam yang mewakili kaum India.

2.1.3    Soal Agama
Seperti kebanyakan karya kreatif, soal agama tidak dilupa untuk diselitkan sebagai isi penceritaan. Soal agama dalam novel ini ditunjukkan melalui watak Seman. Seman mula menjadi seorang yang lebih beragama setelah kematian ayahnya. Hal ini boleh dibuktikan melalui petikan daripada novel di bawah:
“Sejak bapanya meninggal, Seman cukup kuat beribadat. Cukup banyak dia meminta doa kepada Tuhan supaya dia diberi perlindungan dan pertolongan. Dia masih takut dan bimbang pada  Cina Panjang itu, seolah-olah Cina Panjang itulah sekarang yang menentukan nasibnya.”
(Interlok, 2005: 298)


Selain peristiwa selepas kematian ayahnya, semasa ibunya dalam tahanan Jepun, Seman juga turut menjalankan ibadah solat dan berdoa kepada Tuhan agar ibunya selamat. Melalui situasi ini, dapat dilihat bahawa Seman sebagai oraang yang beragama Islam sangat mempercayai akan kewujudan Tuhan yang hanya pada-Nya dapat diampunkan dosa dan dimakbulkan doa. Contoh dalam novel:


Malam itu Seman tidur di masjid; dan semalam-malaman dia tidak dapat memejamkan mata. Dia teringatkan ibunya. Dia menyesal dan meminta ampun kepada Tuhan atas kesalahnnya. Tengah malam dia bangun bersembahyang dan berdoa; kata orang sembahyang pada tengah malam serupa itu makbul doanya. Dia bermohon moga-moga ibunya selamat.
(Interlok, 2005: 358)


2.1.4    Soal Pendidikan
Dalam novel ini, pengarang turut memuatkan pemikirannya tentang pendidikan pada zaman dahulu. Pendidikan dianggap sesuatu yang remeh ditunjukkan melalui watak Pak Musa yang tidak menghantar anaknya ke sekolah, iaitu Seman. Seman buta huruf. Hal ini boleh ditunjukkan melalui petikan daripada novel seperti di bawah:


                “ ... Waktu itu guru besar Sekolah Menengah Simpang Empat dengan beberapa orang guru lain sedang berkeliaran di dalam kampung mencari pemuda-pemuda untuk diajak belajar di sekolah. Mak Limah dan Pak Musa menyorok Sema di dalam kelambu.
            “Menurut daftar saya ini, Pak Musa ada anak lelaki yang sudah berumur sebelas tahun, mana dia budak tu?”, tanya guru besar itu ketika dia sampai di depan tangga rumah Pak Musa.
            Pak Musa dan Mak Limah duduk di muka pintu. Mak Limah tidak henti-henti mengunyah sirih untuk menahan darah gemuruhnya. Pak Musa pura-pura membalut rokok daun. Tidak diajak guru itu naik ke rumah. Takut kalau-kalau mereka melihat Seman.
            “Tak ada di rumah, cikgu. Dia sudah pergi ke rumah Pak Ciknya di Kampung Nibung sudah sebulan lamanya”, jawab Pak Musa dengan wajah yang kering.”

(Interlok, 2005:  37-38)

            Seman sebenarnya mahu bersekolah tetapi ayahnya, Pak Musa tidak mahu Seman ke sekolah. Seman mahu bersekolah seperti rakannya, Mamat Labu dan Lazim. Dia mahu pakai baju dan seluar baharu, dia mahu ayahnya mebelikannya kopiah merah. Seman merajuk kerana tidak dibenarkan ke sekolah. Selama dua hari dua malam Seman menangis teresak-esak tidak mahu makan dan minum. Hal ini ditunjukkan melalui petikan novel di bawah:

Dua hari dua malam Seman menangis teresak-esak tidak mahu makan dan minum. Dia mahu bersekolah macam Mamat Labu dan Lazim. Dia mahu pakai baju dan seluar baru, dia mahu bapanya belikankopiah merah. Pak Musa dan Mak Limah jadi kelam-kabut. Nasib baiklah Pak Musa teringat pada Lebai Man, guru Quran itu.”
(Interlok, 2005:  40)









Berdasarkan petikan novel di atas, Seman merajuk dan bersedih kerana tidak dibenarkan bersekolah oleh ayahnya. Untuk memujuk Seman, Pak Musa terfikir untuk menghantar Seman belajar mengaji di rumah Lebai Man. Hal ini boleh dibuktikan melalui petikan novel di bawah:
           
 “Saya mau hantar Seman mengaji di rumah Lebai”, katanya pada Lebai Man ketika mereka bertemu di depan masjid, ketika mereka sama-sama mahu pergi sembahyang Jumaat. “Lebai tentu tak menolak, bukan?”
            Lebai Man memandang muka Pak Musa sejurus lamanya. Anak matanya hitam bersinar-sinar. Pak Musa gelisah sebentar menerima renungan serupa itu. “Apakah betul yang Pak Musa cakap cakap ni? Seman tak sekolah?”
(Interlok, 2005: 42-43)

Namun begitu, masih terdapat watak yang mementingkan pendidikan yang ditunjukkan dalam novel ini. Watak yang ditunjukkan sebagai seorang yang berpendidikan dalam novel ini ialah watak Lazim yang merupakan bekas pelajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan telah menjadi seorang guru. Lazim ialah rakan kepada Seman dan anak kepada Pak Usuh. Berikut merupakan contoh daripada novel yang menyatakan bahawa pendidikan telah mengubah hidup Lazim sekeluarga:

“Bapanya juga orang miskin, tetapi sekarang, kerana dia bekerja sebagai guru, maka martabat bapanya di kalangan orang-orang kampung itu naik satu darjat. Mereka pun mengubah panggilan terhadap Pak Usuh bapa Cikgu Lazim. Lazim tahu bapanya sudah tidak menyesal lagi kerana dia telah diseret ke sekolah oleh guru besar. Malah sudah berapa kali Pak Usuh menyatakan terima kasih kepada guru besar itu yang telah menyebabkan anaknya itu kini menjadi guru dan dia menjadi bapa guru.”
(Interlok, 2005: 95-96)

Tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran pengarang berkaitan isu pendidikan jelas dipaparkan dalam novel ini. Pengarang sebenarnya menunjukkan betapa pendidikan itu sangat penting untuk mengubah jalan hidup daripada hidup susah kepada hidup senang dan yang paling penting tidak mudah ditipu oleh orang lain.
  
2.1.5    Soal Perpaduan Kaum
Perpaduan kaum merupakan pemikiran yang paling penting dibawakan oleh pengarang dalam novel Interlok. Pada awal cerita dalam novel ini, perpaduan antara kaum kurang ditonjolkan, namun, pada bahagian akhir novel telah ditunjukkan betapa perpaduan kaum menjadi penyelesaian terhadap isu yang disampaikan dalam novel. Perpaduan kaum ditunjukkan melalui tiga kaum utama di Malaysia iaitu, Melayu, Cina dan India. Situasi ini dapat dilihat melalui beberapa peristiwa seperti ketika Seman menyelamatkan Poh Eng yang merupakan anak kepada Cing Huat daripada serangan Jepun, peristiwa Maniam menerima Seman bekerja di kebun tempatnya menjadi tandil, peristiwa Inspektor Ramakrisynan menyelamatkan Poh Eng, Yew Seng, ayahnya Maniam dan ibu Seman, iaitu Mak Limah daripada tahanan Jepun. Perpaduan juga dapat dilihat melalui petikan daripada novel seperti yang terdapat di bawah: 

Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya, dia mahu memberi sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu. Tetapi, Lazim dan Raman pun berkeras pula, mereka juga mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew Seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India, masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah kaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang.
(Interlok, 2005: 424)


Berdasarkan petikan di atas, Yew Seng yang cedera di kaki akibat serangan khemah komunis telah memilih untuk menerima kaki kayu yang diberi oleh masyarakat Melayu dan India, kemudian diikuti oleh masyarakat Cina. Melalui peristiwa tersebut, dapat disimpulkan bahawa pengarang jelas memasukkan pemikirannya berkaitan soal perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

2.2       Falsafah dalam Novel Interlok   
Dalam penghasilan sesebuah karya, tidak lengkap sekiranya pengarang tersebut tidak memuatkan falsafah-falsafah yang bersesuaian dengan penceritaan sesebuah karya. Falsafah membawa maksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Seorang ahli falsafah Islam yang terkenal, iaitu Al-Farabi mengatakan bahawa istilah falsafah diambil daripada perkataan philosophia yang kemudiannya dihuraikan sebagai philo yang merujuk kepada pencinta, manakala sophia pula membawa pengertian bijaksana. Oleh hal yang demikian, falsafah merujuk kepada pencinta bijaksana. Plato dalama Mana Sikana (1996) pula mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu pengetahuan yang berhasrat untuk mencari dan mencapai hakikat kebenaran yang asli.

            Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri yang merangkumi pemikiran tertinggi dengan tujuan untuk mendapatkan kebenaran. Penyataan itu dapat dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada yang menegaskan bahawa mekanisme falsafah ialah proses memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Dengan itu, falsafah akan membincangkan sesuatu dengan terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan realistik terhadap sesuatu perkara. Dalam karya Interlok, penekanan hanya diberikan kepada enam daripada lapan falsafah yang telah disebutkan oleh Seri Lanang Jaya et al. (2016). Lima falsafah tersebut ialah falsafah sejarah, falsafah poltik, falsafah metafizika, falsafah sosial dan falsafah ekonomi.

2.2.1    Falsafah Sejarah
Roeslan Abdulgani mengatakan bahawa sejarah ialah ilmu yang meneliti dan menyelidiki secara sistematis keseluruhan perkembangan masyarakat serta kemanusiaan pada masa lampau beserta kejadian-kejadiannya. Selain itu, sejarah menurut Ibnu Khaldun pula merupakan catatan tentang masyarakat umat manusia atau peradaban dunia dan tentang perubahan-perubahan yang terjadi pada watak masyarakat itu.

            Sehubungan itu, falsafah sejarah turut dijumpai dalam karya ini meskipun karya ini bukanlah satu karya sejarah yang total tetapi merupakan sebuah karya adaptasi realiti sejarah awal Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Falsafah yang cuba diterapkan dalam aspek ini ialah peristiwa yang dapat dijadikan panduan orang ramai untuk mengenali asal-usul negara ini. Hal ini demikian kerana, karya ini ingin menjelaskan kepada orang ramai mengenai sejarah dan titik tolak kedatangan awal orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Peristiwa itu bermula apabila Chin Huat ditarik datang ke Tanah Melayu disebabkan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh British dalam sektor perindustrian. Kehidupan miskin keluarga Chin Huat di tanah asal mereka yang terletak di Tanah Besar, China menjadi faktor penolak Chin Huat dan bapanya, Kim Lock untuk keluar dari China dan mencuba nasib di Tanah Melayu. Keadaan yang sama juga berlaku kepada kaum India yang datang ke Tanah Melayu oleh faktor penolak dan penarik yang sama. Situasi ini dapat ditunjukkan menerusi keluarga Maniam yang digambarkan telah belayar meninggalkan Pelabuhan Nagapatam ke Pulau Pinang pada tahun 1910. Memandangkan Maniam juga tertindas dan tersisih di negara mereka sendiri, maka keadaan ini merupakan salah satu faktor penolak yang penting dalam konteks kedatangan golongan pekerja dari India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Yang berikut merupakan contoh yang membuktikan kenyataan tersebut:

Dalam bulan Julai 1910, di dalam sebuah kapal penumpang yang belayar meninggalkan pelabuhan Nagapattam menuju ke Pulau Pinang, terdapat seorang penumpang bangsa Tamil dari sebuah desa yang terletak di dekat Tricur, Kerala, sebuah negeri di pantai Barat India Selatan. Sudah dua hari sejak dia meninggalkan kampungnya, dengan menumpang berbagai-bagai jenis kenderaan, akhirnya dia sampai di Madras. Dari situ dia menumpang bas ke Nagapattam, kota pelabuhan yang akan menghubunginya dengan Negara Emas.
            Di dalam kapal itu ada kira-kira 120 orang penumpang di atas dek. Mereka datang dari berbagai-bagai daerah - Pondicerry, Pulikat, dan Madras; dan ada juga dari Malabar, Kerala dan Hyderabad. Ada yang sudah tentu pekerjaannya, kerana mereka berangkat melalui kangani - wakil yang mencari buruh untuk kebun dan ladang getah di Malaya.
                                                                                     (Interlok, 2005:215)

          Oleh hal yang demikian, contoh di atas jelas menunjukkan sejarah kedatangan awal masyarakat China dan India di Tanah Melayu. Melalui peristiwa itu, dapatlah kita mengetahui sebab dan rasional kedatangan kedua-dua kaum itu ke Tanah Melayu. Di samping itu, peristiwa itu juga menjawab persoalan ramai mengenai sebab Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Daripada karya ini, generasi kini secara tidak langsung berpeluang untuk mengetahui asal-usul wujudnya tiga kaum terbesar di negara ini.

2.2.2    Falsafah Metafizika
Ibnu Sina dalam Mana Sikana (1996) membahaskan falsafah metafizika dengan lima dasarnya, iaitu adanya Tuhan dan hubungan dengan alam semesta, hukum alam atau hierarkinya, hukum sebab musabab konsepsi Yang Maha mengatur dan Tuhan yang Maha Esa. Ringkasnya, metafizika merupakan ilmu yang memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Dalam karya ini, falsafah metafizika yang cuba ditonjolkan oleh penulis ialah ketenangan yang diperoleh selepas mendekatkan diri kepada Tuhan. Falsafah ini dapat dilihat menerusi watak Seman yang cukup kuat beribadat selepas kematian bapanya. Dikatakan bahawa Seman beroleh ketenangan dan kelapangan dada setelah dia menunaikan solat secara kusyuk tanpa dibebani dengan masalah-masalah duniawi. Selepas itu, Seman juga berasa bahawa dirinya benar-benar dekat dengan Tuhan di samping berasa bahawa solatnya itu diterima Tuhan. Yang berikut merupakan contoh yang menggambarkan peristiwa tersebut:

Seman sampai di depan surau ketika orang-orang mahu sembahyang Isyak. Dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf yang kedua di sebelah Mail Jambul. Dia tahu Mail Jambul menjelingnya, tetapi ia tidak peduli. Setelah Lebai Man mengangkat takbir sebagai imam, Seman pun membulatkan fikirannya, mengangkat takbir sebagai makmum. Beberapa kali dia cuba membetulkan fikirannya yang mahu menyeleweng; dan akhirnya apabila sembahyang itu selesai, dia berasa telah menang. Lapang dadanya, baru kali inilah dia berasa dirinya benar-benar dekat dengan Tuhan.

                                                                                   (Interlok, 2005 : 299)


Keadaan di atas jelas membuktikan kepada kita bahawa sesiapa yang berusaha mendekatkan diri kepada Tuhan dengan melaksanakan amal ibadat seperti menunaikan solat, berzikir dan berdoa akan beroleh ketenangan dan kedamaian hati. Ketenangan tersebut akan membantu seseorang itu agar tidak tenggelam dengan masalah dunia yang tidak pernah-pernah selesai. Berdasarkan contoh tersebut, dilihat bahawa Seman berasa hatinya semakin lapang meskipun pada ketika itu dia dilanda pelbagai masalah dunia. 

2.2.3    Falsafah Sosial
Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) mentakrifkan sosial sebagai segala hal yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala falsafah sosial menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) merujuk kepada gambaran kehidupan realiti manusia. Falsafah sosial dalam karya Interlok ini dapat dilihat melalui beberapa bahagian. Yang berikut merupakan falsafah sosial yang telah dikenal pasti dalam karya ini:

  •                                 Kemunduran sesuatu kaum

Kemunduran sesuatu kaum ini dapat dilihat menerusi watak Seman dan ayahnya yang mewakili orang Melayu yang dilumpuhkan oleh pihak British. Seman merupakan seorang anak kampung yang tidak berpendidikan kerana peluang pendidikan yang disediakan oleh British sangat terhad dan terbatas. Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan ayahnya, Pak Musa yang meyembunyikan Seman daripada dihantar ke sekolah Melayu. Dalam karya ini, digambarkan bahawa Pak Musa enggan menyerahkan anaknya, Seman kepada guru-guru yang mengajak anak-anak kampung untuk pergi ke sekolah kerana menurutnya orang Melayu tidak perlu ke sekolah. Hal ini demikian kerana, sudah memadai sekiranya anak-anak itu tahu sembahnyang dan tahu membaca doa sebagai bekalan ke akhirat kelak. Contoh yang berikut akan menerangkan lagi situasi itu dengan lebih jelas:

Pak Musa memandang Cina Panjang ketika Pak Kadim bercerita itu. Dia nampak senyuman panjang pada muka sembap orang Cina itu, tetapi dia tidak tahu apa ertinya senyuman itu. Pak Musa tahu anak-anak Cina Panjang bersekolah. Anak perempuannya, Poh Eng juga bersekolah. Kalau petang-petang becok mulut anak-anak itu membaca buku sekolah, macam orang berdikir. Tetapi orang Cina lain, tidak boleh sama dengan orang Melayu. Orang Cina berniaga, mereka mesti tulis nama barang yang mereka beli, kalau tidak tulis takkan mereka ingat beribu-ribu jenis barang yang ada di dalam kedai mereka. Lagipun kalau ada orang berhutang, mereka kena tulis juga. Siapa yang berhutang, berapa banyak hutangnya. Tetapi orang Melayu buat apa sekolah. Mengaji Quran sudah. Tahu sembahyang, tahu baca doa sedikit, cukup untuk bekalan, fikir Pak Musa.
                                                                                     (Interlok, 2005: 39)

              Sikap yang ditunjukkan oleh Pak Musa seperti contoh di atas merupakan sikap orang Melayu setelah jiwa dan hati mereka dilumpuhkan oleh sistem pengasingan (isolation) dan peminggiran (marginalisation) British (SM. Zakir, 2011). Hasil daripada sistem itu, hampir seluruh orang Melayu pada ketika itu tidak berpendidikan, terasing daripada modeniti dan terpinggir daripada mobiliti sosial kerana masih mengekalkan aktiviti bertani, berkebun dan menangkap ikan untuk menyara diri. Selain itu, petikan di atas juga jelas menjadi faktor kemunduran masyarakat Melayu pada ketika itu. Disebabkan mereka tidak mempunyai pendidikan, mereka lebih tertinggal di belakang jika dibandingkan dengan kaum Cina yang lebih maju daripada mereka. Selain itu, keadaaan tersebut juga berlaku disebabkan sistem pengasingan yang dijalankan oleh British untuk mengasing-asingkan setiap kaum itu mengikut sektor. Ekoran daripada itu, terdapat satu kaum yang terpaksa menjadi kambing hitam demi keuntungan dan kepentingan British. Dalam situasi ini, kaum Melayu menjadi mangsa British sekali gus menjadikan mereka hamba di tanah sendiri.

  •                     Antagonisme antara kaum

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), antagonisme merupakan perkataan yang merujuk kepada pertentangan antara dua pihak yang merangkumi orang, kumpulan, organisasi atau sebangainya. Oleh itu, antagonisme antara kaum merupakan pertentangan yang berlaku antara kaum-kaum. Dalam karya ini, antagonisme kaum dapat dilihat melalui pembentukan stereotaip antara satu etnik dengan etnik yang lain. Keadaan ini dapat dilihat apabila Cing Huat melarang anaknya Yew Seng daripada berkawan dengan anak-anak orang Melayu kerana tidak ingin anaknya itu menjadi seorang yang pemalas seperti orang Melayu. Situasi ini dapat dilihat menerusi contoh di bawah: 

"Tapi apa? Lu mahu ikut macam Huan Na (Melayu). Malas, tat tahu cari duit. Gua tak mahu lu jadi macam mereka."
            "Itulah lu, suka manjakan anak-anak. Gua tak suka mereka ikut macam Huan Na itu. Lu tengok apa ada pada mereka. Kalau kita tak datang ke sini, gua tak tahu bagaimana mereka boleh hidup." Cing Huat memandang Poh Kheng yang duduk terbenam di kerusi, dagunya separas meja.
                                                                                   (Interlok, 2005: 199)

            Berdasarkan contoh tersebut, dapat dilihat bahawa Cing Huat tidak menyenangi kaum Melayu kerana pada anggapannya orang Melayu itu merupakan orang yang pemalas dan tidak pandai mencari duit dan hanya tahu bergantung kepada orang lain. Pembentukan stereotaip dan kewujudan jurang antara satu etnik dengan satu kaum itu berlaku akibat kebimbangan yang dialami pihak British terhadap kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat peribumi yang berpotensi untuk mencabar kekeuasaan British. Oleh sebab itu, British mengeksploitasikan kedatangan dua kaum, iaitu kaum Cina dan India untuk mengimbangi permasalahan itu. Daripada situasi itu, British membentuk stereotaip dan mencipta jurang yang menjarakkan satu kaum dengan kaum yang lain bagi mengembangkan lagi perasaan curiga dan prasangka yang tidak berkesudahan antara kaum-kaum tersebut.


  •                               Penyatupaduan tiga kaum besar

Penyatupaduan antara kaum ini dikenali juga sebagai intergrasi antara kaum. Falsafah ini dapat dilihat menerusi bab empat karya ini yang bertajuk Interlok. Istilah Interlok itu didefinisikan sebagai perbuatan yang menghubungkan sesuatu dengan seuatu atau dengan erti kata lain menjadikan sesuatu itu bersatu atau bergandingan (Kamus Webster, 2005). Penyatupaduan tiga kaum besar ini dapat dilihat setelah Cing Huat menubuhkan satu persatuan orang Cina yang memerlukan penglibatan dan kerjasama orang Melayu dan orang India dalam usaha untuk menjadikan tanah yang diduduki mereka itu milik bersama. Daripada peristiwa itu, dikatakan bahawa Cing Huat kerap berjumpa dengan Lazim yang menjadi pemimpin Melayu di kampung-kampung sekitar pekan itu untuk membincangkan usahasama mereka. Yang berikut, merupakan contoh kepada peristiwa di atas:

"Kita tak boleh berdiam diri saja melihat kejadian yang berlaku di sekeliling kita. Kita tak boleh biarkan nama kita rosak kerana tindakan liar yang dilakukan oleh orang komunis yang sedang berperang dengan tentera kerajaan di dalam hutan. Kita tak boleh membiarkan nama kita busuk kerana perbuatan mereka itu. Kita mesti bersatu dalam persatuan bangsa kita dan bekerjasama dengan orang Melayu dan orang India untuk menjadikan negeri ini negeri kita semua. Kita tak akan balik lagi ke negeri Cina. Kita tak tahu lagi bagaimana negeri itu dan apa yang terjadi di sana."
                                                                            
       (Interlok, 2005 : 403)

           Berdasarkan contoh di atas, dapatlah dikatakan bahawa peristiwa itu menyebabkan tercetusnya kesedaran untuk bekerjasama dan bersatu padu dalam dalam kalangan masyarakat yang selama ini hidup dalam kelompok mereka sendiri tanpa bercampur dengan kaum-kaum lain. Selain itu, penyatupaduan itu merupakan salah satu alternatif yang dipersetujui oleh semua untuk menyelesaikan permasalahan utama yang membelenggu mereka pada ketika itu. Daripada peristiwa itu, maka wujudlah intergrasi kaum di Tanah Melayu.

2.2.4    Falsafah Ekonomi
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016) falsafah ekonomi merupakan falsafah yang merujuk kepada sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Dalam karya nukilan Abdullah Hussain ini, falsafah ekonomi yang cuba ditunjukkan adalah berkaitan dengan kesusahan yang dialami oleh ketiga-tiga kaum dalam menyara kehidupan seharian semasa era penjajahan. Hal ini demikian kerana, dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak British menyebabkan semua orang India menguasai ladang dan kebun, orang Melayu menjadi petani sementara orang Cina pula menguasai lombong dan perniagaan serta perdagangan. Dengan ini, dapatlah dikatakan bahawa dasar yang ditetapkan oleh British itu menetukan sosio-ekonomi setiap kaum. Disebabkan dasar itu jugalah, Seman mempunyai kesukaran untuk meminta kerja di kebun getah kerana tidak ada orang Melayu yang bekerja di situ melainkan orang India. 

Orang India menguasai perkebunan, orang Melayu menjadi petani, nelayan dan pegawai-pegawai negeri; sementara orang Cina pula menguasai lombong bijih, perdagangan. Selama itu, belum ada yang menghubungkan ketiga-tiga masyarakat besar ini, tentulah tidak ada persatuan.
      
                                                                            (Interlok, 2005: 401)

Berdasarkan contoh tersebut, dapatlah kita lihat bahawa ketiga-tiga kaum terbesar itu menjana ekonomi mengikut ketetapan yang diberikan oleh pihak British. Keadaan itu menunjukkan bahawa tidak ada satu kaum yang akan menjalankan kegiatan ekonomi yang sama dengan kaum lain disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Dalam karya ini, digambarkan bahawa Seman dan keluarganya menjalankan aktiviti bersawah, Cing Huat dan keluarganya menjadikan perniagaan dan perlombongan sebagai usaha untuk menyara kehidupan di tanah orang dan Maniam yang bekerja di estet kepunyaan orang Inggeris.

            Di samping itu, falsafah ekonomi dalam karya ini juga dapat dilihat melalui kemiskinan dan kesusahan yang dialami menjadi sebab penghijrahan seseorang untuk mencari kerja demi sesuap nasi. Keadaan ini dapat dilihat melalui keluarga Cin Huat dan Maniam. Akan tetapi, penulisan ini akan memberikan penekanan kepada Maniam. Kehidupan Maniam yang digambarkan dalam cerita ini adalah amat sukar. Memandangkan setiap tahun bilangan penduduk di desanya bertambah, Maniam berasa sangat sukar untuk mencari makan kerana saingan yang terpaksa dihadapinya di samping dia juga tidak memiliki sebarang tanah di desanya itu. Dikatakan juga bahawa, Maniam bekerja dengan mengambil upah mengerjakan tanah orang lain dengan bayaran beras. Akan tetapi, beras yang diberikan itu cukup menampung kehidupannya selama beberapa bulan sahaja. Selepas itu, dia terpaksa mencari pekerjaan lain pula.  Disebabkan kemiskinan dirinya, Maniam mengambil keputusan untuk menerima tawaran pihak British yang memerlukan buruh untuk bekerja di kebun getah mereka. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah:

Keadaan penghidupan di desanya itu amat sukar. Mereka tidak punya tanah. Setiap tahun orang bertambah. Penduduk sudah padat dan Maniam berasa sudah terlalu sempit baginya untuk mencari makan. Dia mengambil upah mengerjakan tanah orang lain, upahnya dengan beras, tetapi hanya cukup untuk beberapa bulan. Lepas itu, dia terpaksa mencari kerja lain.
                                                                                  (Interlok, 2005: 219)

          Contoh di atas jelas menunjukkan kemiskinan dan kepayahan yang dialami oleh Maniam dalam menjalani kehidupannya di tempat asalnya. Kepadatan penduduk di desanya itu menyukarkan lagi peluang Maniam untuk mencari kerja. Disebabkan ingin meningkatkan taraf hidupnya dalam usaha untuk menyara diri dan keluarganya, Maniam mengambil keputusan untuk behijrah dan mencari kerja di tempat lain untuk menampung kehidupan mereka.

2.2.5    Falsafah Politik
Politik menurut Bluntschili (2000) ialah ilmu yang memerhatikan masalah kenegaraan dengan memperjuangkan pengertian dan pemahaman tentang negara dan keadaannya, sifat-sifat dasarnya, dalam pelbagai bentuk atau manifestasi pembangunannya. Oleh itu, falsafah politik yang cuba disampaikan melalui karya ini ialah kesedaran dan kebangkitan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat. Kebangkitan dan kesedaran ini berlaku akibat penubuhan perlembagaan Malayan Union yang dianggap telah menghina orang Melayu. Hal ini demikian kerana, penubuhan tersebut telah membawa kepada penghapusan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu dan penghakisan tamadun orang Melayu. Oleh hal yang demikian, faktor-faktor itu menjadi pendorong dan pemangkin semangat masyarakat Melayu untuk menentang pertubuhan Malayan Union pada ketika itu. Dalam karya ini, penulis menggambarkan situasi tersebut menerusi watak Lazim, iaitu selaku ketua daerah itu yang berusaha untuk memimpin orang-orang kampung untuk turut serta dalam kempen menentang Malayan Union. Kesungguhannya itu akhirnya berjaya menarik perhatian Seman yang tidak tahu-menahu mengenai ilmu politik untuk membantah tujuan orang putih melalui penubuhan Malayan Union. Yang berikut merupakan contoh yang menjelaskan situasi tersebut: 

Tiba-tiba keadaan politik berubah, orang Melayu bangun menentang Malayan Union yang mahu disugukan oleh kerajaan Inggeris. Mereka mengangga perlembagaan baharu itu sebagai suatu penghinaan. Lazim menjadi ketua daerah itu, dia bergerak cergas mempimpin orang-orang kampung itu ikut serta dalam kempen menentang Malayan Union.
                                                                                   (Interlok, 2005: 388)

              Daripada contoh di atas, dapatlah dikatakan bahawa semangat cinta akan tanah air berjaya mendorong masyarakat dalam Interlok ini untuk mempertahankan hak mereka daripada dieksploitasi oleh penjajah yang sudah semestinya ingin memperoleh keuntungan yang lebih besar melalui penubuhan tersebut sekali gus dapat menjamin kedudukan mereka sebagai penguasa di Tanah Melayu. Contoh tersebut juga menunjukkan bahawa masyarakat sudah celik dan bijak dalam meramal keadaan yang berlaku sekiranya mereka berada di bawah telunjuk penjajah lagi. Memandangkan mereka tidak ingin dibayangi oleh penjajah lagi, mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada cengkaman itu dengan memperjuangkan hak mereka menerusi kempen yang menentang pembentukan Malayan Union di Tanah Melayu pada ketika itu.  

2.3       Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Novel Interlok
Perkataan budaya berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah. Buddayah merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang membawa maksud budi pekerti atau akal. Jika dilihat dalam pengertian yang luas, bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), budaya ialah kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Budaya juga merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 117). Menurut Carla (2014), budaya dimaksudkan sebagai corak berkongsi tingkah laku dan interaksi membina kognitif, afektif dan kefahaman yang dipelajari melalui proses sosialisasi. Selain itu, budaya juga adalah sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu iaitu merangkumi sistem sosial, agama, adat resam dan nilai.

            Seterusnya, pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 117). Menurut Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan hal akhirat. Pandangan hidup orang Melayu biasanya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan dengan alam dan sesama manusia. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), pandangan hidup manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.

            Berdasarkan novel Interlok dapat dilihat nilai budaya dan pandangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu. Kepelbagaian nilai budaya tergambar dengan jelas dalam novel ini. Hal ini ditambah pula dengan kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina dan India. Selain itu, pandangan hidup di dalam Interlok melibatkan hubungan manusia Tuhan, dengan alam dan hubungan manusia sesama manusia. Berdasarkan novel Interlok, penulis telah menggambarkannya beberapa peringkat evolusi iaitu zaman penjajahan dan zaman menuntut kemerdekaan. Kedua-dua zaman ini telah membentuk pandangan hidup masyarakat Melayu pada ketika itu. Antara nilai budaya dan pandangan hidup yang diamalkan dalam novel Interlok ialah: 

2.3.1    Menghormati Orang Tua
Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016), sikap menghormati orang tua merupakan salah satu nilai Melayu yang sangat ditekankan sejak dahulu lagi. Amalan ini telah diamalkan secara turun-temurun dan amat ditekankan oleh orang-orang tua. Berdasarkan novel Interlok dapat dilihat nilai menghormati golongan tua diamalkan oleh watak Seman. Watak Seman merupakan watak yang baik sehingga dirinya digelar sebagai anak yang taat kepada ibu bapa. Contohnya, dapat dilihat seperti petikan di bawah:

“Seman seorang anak yang tidak pernah melawan orang tua. Sejak kecil lagi dalam dirinya telah ditanam kesedaran tentang kuasa orang tua ke atas anaknya”.
(Interlok, 2005: 15)

        Berdasarkan nilai menghormati orang tua ini dapat dilihat prinsip yang dipegang oleh masyarakat pada waktu itu ialah ‘Yang tua dihormati, yang muda disayangi’. Melalui konsep ini dapat meningkatkan nilai mulia seperti menghormati orang tua serta menyayangi warga emas dalam kalangan masyarakat. Selain itu, konsep ini menunjukkan bahawa masyarakat dahulu amat menghormati golongan tua. Justeru itu, Interlok memaparkan masyarakat yang menghormati warga tua seperti yang dipaparkan pada contoh di atas. Contoh, tersebut menunjukkan Seman seorang yang amat menghormati orang tuanya dan tidak pernah melawan ibu bapanya.

2.3.2    Memuliakan Tetamu
Memuliakan tetamu merupakan satu nilai yang amat penting dalam masyarakat Melayu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaiknya malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 140). Tambahan pula, agama Islam juga amat mementingkan ikatan persaudaraan. Berdasarkan novel Interlok nilai memuliakan tetamu ini turut dipaparkan seperti contoh dibawah:

“Marilah makan dulu Seman. Nasi banyak ni,” Pak Utih mempelawa Seman.
            (Interlok, 2005: 17)

“Lebai Man terkenal alimnya di kampung itu seperti Pak Utih yang terkenal tentang ubatnya. Walaupun dia datang dari Sumatera, tetapi orang-orang kampung itu tidak pernah menganggapnya orang asing. Dia diterima sebagai orang kampung itu sendiri”.
(Interlok, 2005: 28)

            Memuliakan tetamu amat penting dalam agama Islam. Dalam Islam, adalah dituntut untuk melayan tetamu yang hadir ke rumah kita dengan layanan yang baik. Tambahan pula, dalam Islam turut mengariskan adab-adab melayan tetamu seperti memaniskan muka, menyediakan jamuan yang termampu dan melayan tetamu dengan layanan yang baik. Ternyata, masyarakat Melayu dalam Interlok berpegang teguh kepada nilai memuliakan tetamu seperti mana yang terdapat dalam agama Islam. Contohnya, seperti yang dijelaskan di atas.

2.3.3    Mementingkan Ilmu
Ilmu amat penting kepada semua orang. Ilmu boleh diumpamakan seperti peliti yang menerangi kegelapan hidup manusia. Jika dilihat, agam Islam juga amat mementingkan ilmu seperti riwayat al-Bazzar, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa. Berdasarkan novel Interlok dilihat watak-watak didalamnya yang mementingkan ilmu. Contohnya, seperti petikan berikut:

“Saya tidak keberatan kalau budak-budak lelaki itu disuruh mengaji di sekolah. Memang kita semua mesti menuntut ilmu, di mana saja ilmu itu ada”.
(Interlok, 2005: 40)

“Penduduk-penduduk Cina yang kira-kira lima belas keluarga itu berasa sudah sampai masanya mereka mendirikan sebuah sekolah untuk mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis bahasa kebangsaannya”.
(Interlok, 2005: 221)

            Berdasarkan, kedua-dua petikan diatas terbukti bahawa watak yang terdapat dalam novel Interlok amat mementingkan ilmu pengetahuan. Mereka ingin mamastikan anak-anak mereka dan penduduk di kampung mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk menjamin masa depan yang baik.

            Selain itu, masyarakat Interlok juga amat berpegang teguh terhadap kepentingan ilmu di dalam kehidupan. Mereka berpegang terhadap slogan ‘ilmu pelita hidup’. Mereka berpegang teguh bahawa ilmu yang banyak dapat menerangi kehidupan mereka pada masa depan. Di samping itu, ilmu yang dipelajari membolehkan anak-anak mempelajari bahasa ibunda mereka. Hal ini dibuktikan oleh masyarakat Cina di dalam Interlok. Namun, berlainan pula dengan Pak Musa yang menyembunyikan Seman, demi untuk mengelakkan daripada terpaksa menghantar anaknya ke sekolah, kerana pada pandangannya mengaji al-Quran dengan Pak Lebai Man sudah merupakan bekalan yang cukup bagi seorang petani.

2.3.4    Tolong-menolong
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), tolong-menolong bermaksud bantu-membantu dan saling membantu. Menurut Abd Rahim Abd Rashid (2001: 112), tolong-menolong sesuai dengan pembinaan konsep caring society (masyarakat penyayang). Nilai tolong-menolong membolehkan masyarakat bangun untuk membela dan menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh ahli masyarakat yang memerlukan bantuan serta pertolongan. Budaya tolongm menolong amat penting dalam kehidupan sama ada terhadap kawan, masyarakat dan lain-lain iaitu sentiasa bersama-sama ketika susah dan senang dalam menghadapi masalah. Berdasarkan novel Interlok terdapat unsur tolong-menolong yang dipaparkan di dalamnya.

“Waktu di sekolah dia membicarakan hal ini dengan teman-temannya di kalangan guru. Mereka bersetuju mengeluarkan derma sedikit banyak untuk membantu Seman”.
“Petang itu, beberapa orang menawarkan barang-barang yang perlu bagi membangunkn sebuah rumah untuk Seman dan ibunya di atas tanah Pak Usuh. Lebai Man memberikan atap, Mat Ranggi memberikan papan dan yang lain-lain akan menolong mendirikannya”.
(Interlok, 2005: 99)

              Berdasarkan contoh di atas, dapat dilihat masyarakatnya sentiasa menolong golongan yang berada dalam kesusahan. Hal ini dapat dilihat, apabila penduduk kampung ingin membantu mendapatkan derma dan memberi sumbangan kelengkapan rumah bagi membina sebuah rumah untuk Seman dan ibunya.

            Berdasarkan nilai tolong-menolong tersebut telah menunjukkan bahawa masyarakat pada ketika memegang kepada pribahasa ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Peribahasa tersebut bermaksud menghadapi segala susah dan senang bersama-sama. Masyarakat Melayu amat berpeguh teguh kepada peribahasa sehingga kini. Justeru, amalan tolong-menolong masih diamalkan. Melalui nilai tersebut pelbagai faedah yang dapat diperoleh iaitu dapat mengeratkan silaturohim, dapat melahirkan masyarakat yang prihatin dan sebagainya. Pegangan tersebut terbukti apabila masyarakat kampung mendapatkan derma dan memberi pelbagai bahan binaan untuk membina sebuah rumah baru untu Seman dan ibunya. Mereka juga bersama-sama mendirikan rumah baharu untu Seman dan ibunya.

2.3.5    Mentaati Suami
Golongan lelaki merupakan ketua di dalam sesebuah institusi keluarga. Oleh itu, golongan wanita perlulah sentiasa mentaati serta menghormati suaminya. Berdasarkan novel Interlok, watak Malini seorang yang amat taat kepada suaminya iaitu Maniam. Walaupun, dia mengandung lapan bulan, dia masih lagi bekerja untuk membantu suaminya. Buktinya, dapat dilihat berdasarkan petikan teks di bawah: 


“Perhubungan Maniam dengan malini berjalan baik. Mereka tidak pernah bergaduh yang besar-besar. Malini terlalu manja dan terlalu taat serta hormat padanya. Malini terus bekerja, sampai dia mengandung delapan bulan. Kadang-kadang Maniam merasa khuatir kalau-kalau Malini melahirkan anak jauh dari pandangannya”.
(Interlok, 2005: 234)

             Agama Islam amat mementingkan lelaki sebagai ketua dalam Institusi kekeluargaan. Wanita yang sudah berkahwin adalah menjadi tanggungjawab suaminya sepenuhnya. Isteri juga dikehendaki meminta izin kepada suami apabila hendak keluar rumah. Hal ini demikian kerana, dalam Islam setelah berkahwin syurga isteri terletak di bawah tapak kaki suami. Oleh itu, isteri seharusnya patuh kepada suami dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh suami. Hal ini sama juga dengan agama India kerana wanita India yang sudah berkahwin perlu meminta izin suaminya apabila hendak keluar rumah. Selain itu, isteri juga haruslah meringankan beban suami dengan membantu mereka berbuat kerja. Jelaslah, bahawa masyarakat pada masa itu amat berpegang kukuh kepada suami. Hal ini terbukti berdasarkan watak yang dibawa oleh Malini.

2.3.6    Kasih Sayang
Kasih sayang merupakan perasaan halus serta belas kasihan yang terbit daripada hati yang ikhlas terhadap orang lain dan berusaha untuk membantu meringankan bebanan yang dihadapinya. Tajul Ariffin Nordin dan Noraini Dan (1992), berpendapat kasih sayang ialah perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa tersebut lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu tanpa sebarang unsur kepentingan yang lain. Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016: 136), kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain atau kepada manusia lain. Perkara yang menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, jasa, kepimpinan, kekuatan dan sebagainya.

            Berdasarkan, novel Interlok dapat dilihat kasih sayang antara Cing Huat kepada ayah dan ibunya. Setiap pagi dia akan akan berdoa kepada Kwan Yin iaitu dewi perempuan untuk menyelamatkan ibu bapanya, juga dia dan kedainya. Hal ini menunjukkan, bahawa Cing Huat seorang anak yang baik dan sentiasa kasih kepada kedua ibu bapanya.

“Cing Huat sudah berdoa. Setiap pagi bangun dari tidur sebelum matahari terbit, dia membongkok kepada gambar Kwan yin, meminta doa supaya dewi perempuan itu menyelamatkan bapanya, ibunya, dan juga dia dan kedainya”.
 (Interlok, 2005: 178)

             Masyarakat dalam Interlok amat menyayagi ibu bapa mereka. Perasaan cinta dan ksih sayang terhadap ibu bapa amat kukuh di dalam hati. Masyarakatnya juga amat menghormati ibu bapa dalam apa cara sekalipun. Ibu bapa amat penting bagi kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana, ibu bapalah yang menjaga dan membesarkan mereka sehingga besar. Watak yang dimainkan oleh Cing Huat menunjukkan kasih sayangnya terhadap ibu bapanya dengan cara sentiasa berdoa akan keselamatan orang tuannya. Jelaslah, bahawa masyarakat Interlok amat menghormati dan menyayagi ibu bapa mereka.

2.3.7    Nasihat-menasihati
Menurut Muhamad bin Nasr al-Maruzi dalam Seri Lanang Jaya et al. (2016: 137), menjelaskan di dalam kitabnya (Ta’zlim Qadr as-Solat), sesetengah ahli cerdik pandai berpendapat bahawa sebaik-baik terjemahan kepada nasihat ialah bimbingan serta didikan yang baik terhadap seseorang tanpa mengira bentuk bimbangan dan tunjuk ajar tersebut. Nasihat-menasihati ini termasuklah kata-kata perangsang, motivasi, semangat dan sebagainya. Tujuan nasihat-menasihati ini ialah untuk menghasilkan kesejahteraan hidup sesama manusia. Berdasarkan novel Interlok, dapat dilihat nilai nasihat-menasihati ini dipaparkan oleh pengarang melalui watak-watak yang terdapat didalamnya. Buktinya seperti dibawah:

“Dia cuba memejamkan matanya, tetapi semakin dipejam semakin jelas gambaran yang dapat dilihat dalam khayalannya, dia kembali melihat bapanya, semasa hidupnya bapanya selalu berkata kepadanya. “kau jangan melawan ibu bapa, biar bagaimana pun jauhnya kau merantau ke negeri lain kau mesti ke negeri sendiri kerana di sanalah kubur datuk nenekmu”.
(Interlok, 2005: 243)

           Agama islam sentiasa menekankan bahawa kita sesama manusia hendaklah nasihat-menasihati ke arah kebaikan. Melalui novel Interlok, dilihat nilai nasihat-menasihati tergambar dalam watak-watak yang dimainkan di dalam novel ini. Tujuannya adalah mengingati antara satu sama lain.

2.3.8    Kerajinan
Menurut Hashim Musa (2008: 68), nilai kerajinan merupakan sikap sentiasa berusaha secara berterusan, tekun dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi matlamat, sasaran, cita-cita demi mencapai sebuah kejayaan. Menurut Norita Ariffin (2006: 107), mentafsirkan kerajinan sebagai gambaran usaha bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan di samping usaha yang berterusan dalam memenuhi keinginan iaitu kejayaan dan kecemerlangan dengan penuh rasa semangat.

            Berdasarkan novel Interlok, turut menyatakan tentang nilai kerajinan oleh Abdullah Hussain. Hal ini dapat dilihat pada watak Kim Lock dan Cing Huat. Kedua-dua mereka sangat rajin dan tekun dalam berniaga. Kesungguhan dan kerajinan mereka telah membolehkan perniagaan mereka semakin berkembang. Contohnya, seperti petikan teks dibawah:


“Dia sudah hampir sama pandai dan sama cekap tawar-menawar. Dia sudah hampir sama pandai dan sama cekap dengan bapanya. Berkat rajin dan bersungguh-sungguh, maka dalam beberapa bulan saja mereka sudah punyai sebuah kedai barang runcit yang lengkap. Orang dua beranak ini sangat rajin bekerja, sejak pagi-pagi buta mereka sudah bangun menjemur pinang yang dibelah, kelapa kering yang dikopek, membuka kedai, menyusun barang-barang”.
            (Interlok, 2005: 171)


            Masyarakat dalam Interlok amat berpegang teguh peribahasa ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’ dalam kehidupan mereka. Kebanyakan, masyarakat dalam Interlok adalah pekebun kecil yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Justeru itu, dapat dilihat kegigihan dan kesungguhan mereka dalam pelbagai hal demi menjamin kehidupan yang baik. Pegangan hidup tersebut, membuatkan golongan masyarakat dalam Interlok terus mencuba untuk meraih kejayaan dan hasil yang diingini. Hal ini, dapat dilihat dengan jelas watak Cing Huat dan Kim Lock yang dipaparkan di atas. Oleh itu, terbukti pegangan hidup tersebut telah membuahkan hasil dan membantu perniagaan Kim Lock dan Cing Huat semakin berkembang.

2.3.9    Setia
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), setia bermaksud teguh hati (dalam hal perkahwinan, persahabatan dan lain-lain) dan tetap hati. Berdasarkan novel Interlok, nilai setia ini turut digambarkan oleh watak Maniam. Walaupun, bekerja di tempat yang jauh dan jarang sekali pulang berjumpa dengan isterinya iaitu Ambika, dia seorang yang masih setia pada isterinya. Buktinya, dapat dilihat seperti petikan teks berikut:
      
“Maniam serupa dengan orang India lain, tidak pernah khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada di antara temannya yang sudah dua tahun tidak pulang, tetapi sekali pulang isterinya masih tetap menunggunya. Maniam juga masih tetap setia pada isterinya”.
(Interlok,  2005: 223)

           Kesetiaan amat penting dalam sesebuah perhubungan suami isteri. Hubungan suami isteri akan terus kukuh jika setiap pasangan ikhlas, jujur dan setia antara satu sama lain. Melalui novel Interlok ini dapat dilihat masyarakatnya berpegang teguh kepada kesetiaan dalam perhubungan suami isteri. Hal ini dapat dilihat berdasarkan watak Manim di atas. Maniam seorang yang setia dalam perhubungnnya dengan Ambika. Walaupun, terpisah jauh dari isteri kesayangan, dia sentiasa mengingati dan setia terhadap isterinya.

2.3.10  Cinta akan Tanah Air
Negara Malaysia mempunyai pelbagai kaum yang unik iaitu terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian kaum di negara ini asalnya daripada penghijrahan bangsa-bangsa asing seperti India dan Cina dalam mencari rezeki bagi menyara kehidupan. Melalui novel ini, pengarang turut menyatakan keinginan dan kerinduan Cing Huat terhadap kampung halamannya di negeri China. Sikap Cing Huat dapat dikaitkan dengan peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Berdasarkan, contoh di bawah dapat membuktikan bahawa Cing Huat mempunyai perasaan cinta akan negara kelahirannya iaitu negara China.

“Cuma satu perkara saja yang selalu merungsingkan fikirannya. Dia ingin kembali ke negerinya. Biarlah dia mati dan dikuburkan berdekatan dengan ibunya di sana. Tetapi anak-anaknya masih kecil. Dia mahu anak cucunya kelak tidak putus perhubungan dengan tanah leluhurnya. Dia mahu mereka selalu ingat, selalu berfikir dan bertindak sebagai orang Cina, bangsa yang besar dan tua budayanya. Dia selalu menyuruh anak-anak dan isterinya menggunakan barang-barang dari negeri China”.
(Interlok, 2005: 193)

“Entah mengapa ingatan Cing Huat hari ini selalu saja pada negeri leluhurnya. Sedang makan itu pun ingatannya masih disana. Biasanya waktu makan dia banyak, mengajar anak-anaknya membuat kerja, menegur apa-apa yang tidak kena”.
(Interlok, 2005: 198)

          Pandangan hidup yang menjadi pegangan masyarakat dalam Interlok ialah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’. Kepelbagaian kaum dalam Interlok adalah kerana kedatangan orang dari tanah India dan tanah China yang ingin mencari pekerjaan di Tanah Melayu pada ketika. Desakan hidup menyebabkan mereka terpaksa merantau ke negeri orang untuk meneruskan kehidupan. Walaupun, tinggal jauh dari keluarga mereka tetap mengingati kampung halaman mereka dan sentiasa menggunakan barangan dari negeri mereka. Hal ini dapat dilihat melalui watak Cing Huat di atas. Ingatan Cing Huat sentiasa mengingati kampungnya iaitu negeri China. Dia juga sentiasa menggalakkan anak dan isterinya menggunakan barang-barang dari China. Hal ini membuktikan bahawa Cing Huat amat cinta akan tanah airnya dan memegang prinsip ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeti sendiri’.

2.3.11  Kerjasama
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), kerjasama bermaksud kerja atau usaha bersama-sama atau saling membantu antara dua pihak atau beberapa pihak. Dalam masyarakat Melayu, nilai bekerjasama sentiasa disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 138). Kebiasaannya, mereka membuat sesuatu pekerjaan dengan bekerjasama antara satu sama lain. Contohnya, nilai kerjasama dapat dilihat ketika majlis perkahwinan berlangsung iaitu dengan mengadakan aktiviti rewang.

           Berdasarkan, novel Interlok dapat dilihat nilai kerjasama dipaparkan di dalamnya iaitu semasa majlis perkahwinan Maniam dan Malini. Pada ketika itu, semua kuli-kuli perkebunan kelapa dan orang putih juga turut serta dalam aktiviti gotong-royong majlis perkahwinan Maniam dan Malini. Buktinya dapat dilihat, seperti petikan di bawah:


“Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini. Pada hari itu, kuli-kuli di perkebunan kelapa itu bergotong-royong merayakannya dengan satu pesta yang meriah. Orang putih, tuan kebun itu pun ikut sama menyaksikan perkahwinan anak tandilnya”.
(Interlok, 2005: 231)

        Perpaduan yang terjalin antara kaum dapat dilihat melalui sikap kerjasama dan saling bantu-membantu pada majlis perkahwinan Maniam dan Malini. Hal ini selaras dengan pegangan hidup yang diamalkan oleh mereka iaitu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Walaupun, berlainan bangsa dan agama mereka bersama-sama berkerjasama dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan Maniam dan Malini. Pandangan hidup tersebut telah menjadikan kehidupan mereka aman dan damai serta mewujudkan satu hubungan yang sangat kukuh antara sesama manusia.

2.3.12  Adat Perkahwinan
Adat perkahwin dalam masyarakat Melayu merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi. Perkahwinan merupakan salah satu kebudayaan Melayu yang masih unggul dan dipertahankan serta diamalkan sehingga kini. Majlis perkahwinan yang dijalankan seringkali mendapat perhatian dan menjadi salah satu peristiwa penting dalam masyarakat. Negara Malaysia memaparkan pelbagai adat perkahwinan kerana kaumnya terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian kaum tersebut telah mempelbalgaikan adat perkahwinan yang ada di Malaysia. Berdasarkan, petikan di bawah dapat dilihat adat perkahwinan bagi masyarakat India pada majlis perkahwinan Maniam dan Malini.

“Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini”.
“Pada pagi itu, Malini menjalani berbagai-bagai upacara penyucian diri. Dalam upacara gatra-hadidra tubuh Malini dilumuri dengan tepung kunyit, kemudian dia dimandikan dengan air bau-bauan”.
            (Interlok, 2005:231)

“Pengantin itu kemudian menjalankan upacara purana-kunbham yang melambangkan kemewahan dan kesuburan, diikuti dengan upacara nalanku iaitu pengantin lelaki dan perempuan berganti-ganti menyapu minyak cendana, kuma-kuma dan kunyit kepada satu sama lain. Perbuatan ini ada hubungannya dengan kebaikan dan keuntungan yang terkandung dalam perkataan nalam itu sendiri”.
(Interlok, 2005: 232-233)

        Masyarakat Melayu amat berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan kehidupan seharian. Masyarakat Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang larang dan adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun (Seri Lanang Jaya et al. 2016: 141). Berpegang teguh kepada adat resam bukan sahaja dipaparkan oleh masyarakat Melayu bahkan juga masyarakat India dan Cina. Pegangan yang kuat terhadap adat resam ini bertujuan untuk mengekalkan sesuatu adat supaya dapat diwarisi dan dilihat oleh generasi akan datang. Berdasarkan contoh, yang diapaparkan di atas jelas menunjukkan pegangan hidup masyarakat India dalam hal adat resam. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat dalam Interlok ini amat mementingkan adat dan budaya dalam kehidupan mereka.

2.4       Estetika dan Kepengarangan dalam Novel Interlok
Estetika dan kepengarangan merupakan dua aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah teks karya dan pengarang karya tersebut. Estetik berhubung dengan aspek keindahan, iaitu yang terdapat pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan (Seri Lanang Haya Hj. Rohani et al., 2016: 91),. Dalam erti kata lain, estetik dalam sesebuah karya merupakan seni keindahan yang berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan juga dapat dilihat daripada bahasa yang digunakan pengarang. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya juga dapat menyerlahkan rasa keindahan itu. Kepengarangan pula merupakan mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Sifat kepengarangan dan keunggulan seseorang pengarang dapat dibina melalui seni sastera ataupun nilai estetika yang terdapat dalam karya pengarang itu sendiri.  Dengan erti kata lain, kepengarangan seorang pengarang dapat dianalisis daripada aspek keperibadian yang telah dicapai dan juga cara pengolahannya dalam menghasilkan sebuah karya yang unggul.

2.4.1    Unsur Keindahan Flora dan Fauna
Pengarang novel Interlok telah menyelitkan unsur keindahan alam seperti flora dan fauna dalam menghasilkan karya ini. Flora merujuk kepada semua jenis tumbuhan yang hidup di sesuatu kawasan. Manakala fauna pula merujuk kepada semua jenis haiwan, sama ada hidup dia air ataupun di darat. Penggunaan unsur flora dan fauna dalam karya ini menunjukkan keindahan persekitaran masyarakat yang diceritakan oleh pengarangnya, iaitu masyarakat kampung sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Antara contoh petikan yang meyelitkan unsur flora dan fauna dalam novel Interlok adalah seperti berikut:

            Matahari telah mulai tinggi. Panas sudah mulai menyucuk ke dalam kulit. Di langit biru awan halus berarak dari timur ke barat. Di dalam sawah di kiri kanan batas ban itu, rumput sudah mulai menghijau. Kerbau dan lembu yang dilepas, berkumpul di sana sini bagai pulau-pulau kecil, di tengah-tengah lautan hijau. Burung bangau terbang berkawan-kawan, hinggap dan terbang di sekitar kumpulan lembu dan kerbau itu. Seekor burung gagak terbang dengan bunyi yang riang arah ke selatan.
(Interlok, 1996: 90)

Petikan di atas jelas menunjukkan penggunaan unsur flora seperti rumput dan sawah serta unsur fauna seperti lembu, kerbau, burung bangau dan burung gagak. Selain unsur flora fauna, pengarang turut menyelitkan keindahan alam yang lain seperti matahari dan keindahan awan pada waktu siang. Hal ini jelas menunjukkan pengarang cuba menyampaikan keindahan persekitaran masyarakat kampung kepada para pembaca.

2.4.2    Unsur Saspens 
Unsur ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Unsur saspens akan membuatkan para pembaca ingin tahu perkara sebenarnya yang berlaku. Sebagai contoh dalam novel Interlok, unsur saspens dapat dilihat semasa peristiwa kematian Pak Musa yang merupakan ayah Seman yang ingin menyampaikan sesuatu kepada Seman mengenai harta mereka. Namun, belum sempat Pak Musa menceritakan hal sebenarnya kepada Seman, dia telah meninggal dunia dan Pak Musa hanya sempat menyampaikan setengah sahaja pesanannya. Seman ditinggalkan dengan teka-teki mengenai harta mereka sekeluarga. Perkara ini membuatkan para pembaca tertanya-tanya siapakah pemilik sebenar harta yang selama ini digunakan oleh keluarga Seman.

2.4.3    Teknik Penceritaan
Abdullah Hussain yang merupakan pengarang novel Interlok telah menggunakan pelbagai teknik untuk menyampaikan ceritanya kepada para pembaca dengan berkesan. Antara teknik penceritaan yang digunakan ialah:

  •                            Teknik Dialog 

Dialog adalah satu bentuk komunikasi interpersonal. Berdasarkan karya sastera, dialog adalah perbualan antara satu watak dengan watak yang lain yang digarap oleh pengarang dalam menghasilkan karyanya. Dalam novel Interlok, pengarang telah menfaatkan teknik ini di sepanjang novel ini. Teknik ini digunakan oleh pengarang untuk membolehkan para pembaca memahami pemikiran, pendapat dan pergolakan jiwa dialami oleh watak-watak yang ada dalam karya tersebut. Teknik dialog juga sangat sesuai digunakan untuk menghidupkan sesuatu watak dan sekali gus menjadikan cerita itu lebih realistik. Antara contoh dialog dalam karya ini ialah perbualan antara Seman dengan ibunya seperti dalam petikan berikut:

                Di mana kau tahu semua ni, Seman? Siapa yang ajar kau?”
            “Cina Panjang yang beri tahu, mak. Bapa ada pinjam duit pada dia. Ada sekali lima ribu, ada sekali dua ribu, dua kali satu-satu ribu. Dan tanah itu semuanya digadainya pada tauke Cina tu,” kata Seman.
            “Betulkah ni, Seman?” tanya Mak Limah. “Kau tak tahu baca. Kau tak pernah pergi sekolah. Takah tauke Cina itu sengaja nak tipu kau? Tak patut kau tuduh bapa kau begitu. Bangkit mayat bapa kau itu di dalam kubur, Seman!”
(Interlok, 1996: 77)

  •                             Teknik Monolog

Teknik monolog merupakan teknik untuk pengarang menggambarkan pergolakan jiwa seseorang watak dalam karyanya. Teknik ini merupakan teknik yang amat sesuai untuk pembaca mendalami pemikiran dan tanggapan seseorang watak dalam sesebuah karya tentang sesuatu perkara yang difikirkannya serta menyelami perasaan dalaman watak tersebut. Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Monolog juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan seseorang watak. Antara contoh penggunaan teknik monolog dalam karya Interlok adalah seperti petikan berikut:


            Tadi waktu Seman belum datang ke tempat itu mereka bercakap riuh macam makan kenduri. Mereka tidak sedar bapaku terbujur di atas rumah, fikir Seman. Mereka sangka bapaku akan kahwin lain agaknya. Sekarang mereka menaruh simpati melihat aku, seolah-olah aku yang mati. Orang mati itu tidak mati, orang hidup itulah yang mati, kata hati Seman, mengambil kata-kata Lebai Man waktu mengajarnya mengaji.
(Interlok, 1996: 56)

  •                               Teknik Imbas Kembali

Teknik imbas kembali merupakan satu teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Tujuan utama seseorang pengarang menggunakan teknik ini adalah untuk mendedahkan kepada pembaca mengenai sesuatu peristiwa yang penting tanpa perlu mengundurkan plot cerita ke belakang. Hal ini sekali gus dapat membantu pengarang untuk menjaga kekemasan plot dan dalam masa yang sama mendedahkan satu peristiwa penting yang perlu dimaklumkan kepada pembaca. Terdapat banyak teknik penggunaan imbas kembali dalam novel Interlok yang digunakan oleh pengarangnya. Antara contohnya adalah seperti petikan berikut:

...Dia teringat ketika kecil-kecil dahulu bapanya selalu membawanya kepada Si Panjang, orang Cina yang punya kedai besar di tepi sungai di pekan Simpang Empat. Si Panjang itu sangat baik terhadap bapanya, juga terhadapnya. Dia selalu memberikan gula-gula, coklat dan biskut. Kalau hari raya dia selalu mendapat duit dan mercun. Kalau hari raya Cina dia selalu mendapat mercun dan duit dalam bungkusan kertas merah. Apakah Si Panjang itu tuan punya ‘harta’ mereka?
(Interlok, 1996:18)

  •                            Teknik Imbas Muka

Teknik imbas muka merupakan satu teknik penceritaan yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, dalam karya Interlok, pengarang menggambarkan kemungkinan Upik yang disukai oleh Seman akan menjadi tidak suka lagi untuk berkawan dengannya sekiranya dia menceritakan mengenai kemiskinannya kepada Lebai Man yang merupakan ayah Upik nanti. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan berikut:


…Dahinya berkerut ketika, ketika dia ingatkan perkara yang akan dicakapkan kepada bapa Upik. Kalau Upik dengar tentulah Upik tidak mahu lagi kepadanya, dia tidak punya apa-apa sekarang ini. Dia miskin tulangnya yang empat kerat itu sahaja yang ada.
(Interlok, 1996:85)

  •                            Teknik Pemerian

Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan kata lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa itu secara langsung. Pemerian juga berbentuk penjelasan dan huraian mengenai sesuatu idea untuk menyampaikan sesuatu fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembacanya. Sebagai contoh dalam novel Interlok, pengarang menggambarkan dan menjelaskan peristiwa dan cara-cara dukun, iaitu Pak Utih dalam mengubati ayah Seman yang sedang sakit. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan berikut:

Kemudian dukun itu mengeluarkan bungkusan kuning dari dalam sakunya, daripada bungkusan kuning yang sudah kumal itu diambilnya seketul kemenyan sebesar ibu kaki, lalu dipecah-pecahkan dengan ibu jarinya. Serpihan kemenyan yang jatuh ke atas bara itu menimbulkan asap yang wangi. Sebentar kemudian seluruh ruangan rumah ibu itu telah dipenuhi oleh bau kemenyan. Pak Utih meletakkan ketul kemenyan itu k atas tikar. Kedua-dua telapak tangannya ditelengkupkan di atas asap, sambil membaca mantera dia menyapu telapak tangan yang sudah diasapkan itu ke mukanya tiga kali berturut-turut.
(Interlok, 1996: 26)

2.4.4    Seni Bahasa
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), seni bermaksud tipis dan halus. Manakala Linderman (1997) menyatakan seni adalah suatu bahasa yang mengandungi roh (nilai spiritual) yang dapat membenarkan seseorang menghasilkan sesuatu dan menghargainya. Bahasa pula merupakan alat yang digunakan untuk berkomunikasi sehari-hari, baik bahasa lisan mahupun bahasa tulisan. Seni bahasa tersebut dapat dilihat berdasarkan gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam menghasilkan karyanya. Berdasarkan karya agung Interlok yang dikaji, didapati terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan oleh pengarangnya. Berikut merupakan gaya bahasa yang terdapat dalam novel Interlok:

Hiperbola


Hiperbola adalah gaya bahasa yang melebih-lebihkan perkara yang sebenarnya dengan maksud untuk memperhebat, meningkatkan kesan dan daya pengaruh, sama ada dari segi jumlah, ukuran, ataupun sifat-sifatnya. Dengan erti kata lain, hiperbola ialah pernyataan yang dibuat secara berlebih-lebihan dalam usaha menekankan sesuatu pandangan, idea atau peristiwa. Contohnya dalam novel Interlok adalah seperti berikut:
        i.      
…Sekarang baru dia berasa letupan yang kuat dalam hatinya, rasanya dunia ini sudah hancur musnah kerana letupan itu.
(Interlok, 1996: 264)

        i.            Personifikasi
Gaya bahasa personifikasi merupakan gaya bahasa yang memberikan sifat-sifat manusia kepada suatu benda mati seolah-olah benda tersebut memiliki sifat hidup seperti manusia. Dengan erti kata lain personifikasi merupakan gaya bahasa yang memberikan sifat manusia kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda bukan hidup yang lain. Contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya Interlok adalah seperti petikan berikut:
 
 
 …Dia melihat pohon kelapa melambai-lambai di tepi pantai dan warna hijau menutupi sebahagian besar daratan pulau itu.
                                                                                                                               (Interlok, 1996: 257)  

Sarkasme
Sarkasme merupakan satu gaya bahasa yang digunakan untuk menyindir atau menyinggung seseorang. Sarkasme berbentuk penghinaan yang mengekspresikan rasa kesal dan marah dengan menggunakan kata-kata yang kasar dan gaya bahasa ini dapat melukai perasaan seseorang. Dengan erti kata lain, sarkasme ialah gaya bahasa sindiran yang terlalu kasar dan tidak sopan yang digunakan untuk memaki orang. Contoh penggunaan sarkasme dalam novel Interlok adalah seperti petikan berikut:

            “Mari sini anjing!” pekik orang putih itu, marahnya naik.
(Interlok, 1996: 305)

            Poh Eng seperti orang bodoh. Dia terus mengikut Seman pergi dari tempat gelap itu.

(Interlok, 1996: 409)

        i.            Repetisi
Repetisi merupakan salah satu jenis gaya bahasa penegasan. Repetisi adalah gaya bahasa yang menegaskan sesuatu dengan mengulang sesuatu perkataan berkali-kali. Contoh penggunaan repetisi dalam novel Interlok adalah seperti berikut:

Orang mati itu tidak mati, orang hidup itulah yang mati, kata hati Seman, mengambil kata-kata Lebai Man waktu mengajarnya mengaji.
(Interlok, 1996: 56)

        i.            Simile
Simile ialah gaya bahasa yang digunakan untuk membandingkan sesuatu keadaan, suasana atau benda lain. Setiap perkara yang dibandingkan itu akan diikuti oleh kata perbandingan seperti ‘bagai’, ‘bak’, ‘laksana’, ‘seperti’, ‘umpama’ dan sebagainya. Simile adalah untuk menimbulkan kesan penegasan maksud untuk para pembaca. Terdapat banyak penggunaan gaya bahasa simile dalam novel Interlok. Contohnya adalah seperti berikut:

…Ajaib juga dia melihat ketenangan Seman yang begitu tiba-tiba dibandingkan dengan kelakuannya yang seperti orang gila sebentar tadi.
(Interlok, 1996: 75)

        i.            Sinkope
Sinkope adalah gaya bahasa yang digunakan untuk penyingkatan perkataan, seperti kata ‘tidak’ disingkatkan menjadi ‘tak’ dan kata ‘engkau’ disingkatkan menjadi ‘kau’. Dalam penulisan prosa, penggunaan singkatan perkataan selalunya digunakan dalam dialog dan monolog. Terdapat banyak penggunaan gaya bahasa sinkope di dalam novel Interlok. Antaranya ialah:


“Aku ni kawanmu, Seman,” kata Mamat Labu kemudian apabila Seman terus menerus diam. “Kalau ada yang boleh kutolong, kaukatakanlah saja. Aku tolong.”
(Intelok, 1996:85)

        i.            Peribahasa
Menurut Za’ba (1965), peribahasa adalah susunan kata yang pendek tetapi mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Terdapat beberapa contoh penggunaan peribahasa yang telah diselitkan oleh pengarang di dalam novel Interlok. Antara contoh penggunaan peribahasa yang terdapat dalam novel Interlok ialah:

… Tetapi sekarang cita-citanya itu hancur lebur bagai kaca terhempas ke batu.
(Interlok, 1996:377)

         “Kau jangan mudah lupa Seman. Dia buat kau sulu macam anjing kurap. Inilah masanya kautuntut bela.
(Interlok, 1996: 405)

        i.            Penggunaan Bahasa Asing
Pengarang novel Interlok turut menyelitkan penggunaan bahasa asing dalam penulisannya. Antara bahasa asing yang terdapat dalam novel ini ialah bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Contoh penggunaan bahasa Cina adalah seperti berikut:


…Mereka bukan orang hutan – huan na seperti yang selalu diucapkan oleh bapanya. Mereka pun bukan wu zen seperti yang ditulis oleh bangsanya, orang Melayu itu bukan orang sihir karut, bukan Malai kuai seperti yang diucapkan oleh orang-orang Sankah.
(Interlok, 1996:370)

          Penggunaan bahasa Cina dalam petikan di atas ialah perkataan huan na, wu zen dan Malai kuai. Contoh penggunaan bahasa Tamil pula adalah seperti dalam petikan berikut:

…dihiasi dengan daun-daun mangga yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta dan kain merah. Setelah menjalankan upacara ankurarppanam iaitu upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk-periuk tembikar…
(Interlok, 1996:274)

        Kata bahasa Tamil yang terdapat dalam petikan di atas ialah kaman dan ankurarppanam. Manakala contoh petikan yang terdapat pengaruh bahasa Inggeris ialah:

…perkarangan tanah yang luas, cukup untuk padang basketball.
                                                                                                                                         (Interlok, 1996)

             Perkataan bahasa Inggeris yang terdapat dalam petikan di atas ialah “basketball”.

2.5       Nilai Ilmu dalam Novel Interlok
Dalam  bidang  sains  sosial,  nilai  boleh  didefinisikan  dalam  tiga  konteks  utama,  iaitu  sebagai  sifat  bagi  menyatakan  kepentingan  atau  manfaat  sesuatu  objek,  menyatakan  kadar  harga  atau  markah  sesuatu  objek  berbentuk  berbentuk  kuantiti dan  sebagai  ukuran  atau  piawaian  kepada  sesuatu  kelakuan  manusia.  Nilai  juga  diistilahkah sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang  lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu.

Nilai  juga  bersifat  aksiologi  dan  mempunyai  hubung  kait  dengan  falsafah  nilai.  Nilai  membolehkan  manusia  membezakan  antara  yang  baik  atau  buruk  dan  betul  atau  salah. Menurut  Kamus Dewan  Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara  dunia,  akhirat,  zahir,  batin  dan  lain-lain.  Oleh  itu,  dapatlah  kita  simpulkan  bahawa  ilmu  adalah  hal  yang  berkaitan  kerana pemerolehan  ilmu  itu  dan  usaha  kita  menyebarkannya  kepada  orang  lain  dalam  bentuk  pelbagai  maklumat.  Maklumat  yang  disebarkan  mengandungi  pelbagai  fungsi. Antara  fungsi  sesuatu  ilmu  itu  ialah   disebarkan untuk  menambah  ilmu  pengetahuan  dan mengembangkan  lagi  perkara  yang  mengandungi  pelbagai  kemusykilan  dan  lain-lain.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  yang  ingin  dikaji  ialah  ilmu  pentadbiran  atau  sistem  beraja,  ilmu  firasat,  ilmu  sejarah  dan  ilmu  ekonomi.

2.5.1    Ilmu Agama
Nilai ilmu agama banyak digarapkan oleh penulis di dalam novel ini. Ilmu agama dapat mempengaruhi masyarakat sekeliling. Hal ini dapat dibuktikan pada bahagian buku 1, penulis menggambarkan realiti kehidupan orang Melayu pada zaman sebelum merdeka yang kurang menitikberatkan mengenai ilmu. Bilangan orang Melayu yang boleh menulis dan membaca sangat kurang. Bagi mereka tiada gunanya anak-anak mereka belajar kerana akhirnya akan menjadi seorang petani juga. Tetapi, ada juga yang menghantar anak-anak untuk mengaji, asalkan anak-anak tahu membaca Al-Quran dan solat, itu sudah cukup bagi mereka. Di sebabkan oleh kurangnya pengamalan ilmu agama dalam diri tidak mantap, amalan dan kepercayaan karut seperti penggunaan tengkorak serta mentera-mentera yang bercanggah dengan agama Islam untuk tujuan perubatan masih diamalkan (Syed Mohd Zakir, 2011).

Walau bagaimanapun, penulis turut menekankan kepentingan ilmu. Hal ini terbukti apabila guru bertanggungjawab supaya masyarakat pada masa itu diwajibkan bersekolah. Contohnya, Guru Besar Sekolah Menengah Simpang Empat dan beberapa orang guru lain sedang berkeliaran untuk mengajar pemuda-pemuda untuk diajak belajar di sekolah. Dengan pembinaan sekolah dan kepentingan menguasai ilmu, akhirnya anak Maniam iaitu Ramakrishnan telah berjaya menjadi seorang inspektor polis.

2.5.2    Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.

Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya.

Contoh yang dapat dilihat dalam novel Interlok ialah apabila bapa Seman, Pak Musa batuk tidak berhenti, emaknya telah menyuruh Seman memanggil dukun iaitu Pak Utih. Pak Utih adalah dukun yang terkenal di kampung itu. Pak Utih telah menggunakan kemenyan dan beberapa lagi benda lain seperti sirih dan tangkai. Ini menunjukkan bahawa pada masa itu, masyarakat melayu masih lagi menggunakan khidmat dukun. Pak Utih sempat berbual bersama Seman dan memberitahu bahawa untuk menjadi dukun bukannya satu perkara yang senang. Dukun perlu melalui dan mempelajari banyak perkara. Pak Utih memberitahu Seman bahawa dia boleh bercakap dengan tengkorak. Ini menunjukkan satu kepercayaan animism yang terdapat dalam kalangan masyarakat tersebut. 

2.5.3    Ilmu Perniagaan
Pada bahagian buku kedua, penulis menerapkan kepentingan nilai ilmu dalam diri golongan Cina yang rajin dalam pekerjaan dan mencari ilmu. Penulis mula menceritakan tentang asal usul kaum Cina di Malaya yang digambarkan bahawa kehidupan yang sukar di negara China akibat daripada kerap kali berlakunya bencana alam sehingga menyukarkan kehidupan rakyat di sana. Sawah yang diusahakan musnah sekelip mata sama ada akibat dari kemarau, banjir atau serangan belalang. Disebabkan kesempitan hidup, ramai orang Cina dari pelbagai puak sanggup merantau ke Rantau Selatan (Tanah Melayu dan sekitarnya) untuk mencari rezeki. Penulis turut menceritakan terdapat rasa tidak puas hati di antara puak Hakka dan Hokkien namun perasaan tersebut semakin lama semakin padam kerana mereka sama-sama beradu nasib di negeri orang. Apabila masyarakat Cina sudah ramai di Tanah Melayu, timbul kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk menjamin masa depan anak-anak mereka. Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.

Dalam buku tiga, masyarakat India turut menekankan aspek ilmu dalam kehidupan apabila golongan India meminta pihak penjajah Inggeris untuk mendirikan sebuah sekolah Tamil bagi memberi ruang kepada anak-anak mereka untuk belajar. Menurut S. Fatimah Said (2011), persoalan akan kepentingan ilmu, kasih sayang dan bekerjasama turut menyokong penuh tema yang dibawa oleh penulis di dalam buku ini dan menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan pengarang ketika menghasilkan novel ini. Menurut Misran, Mawar dan Che Abdullah (2011), Keluarga Cing Huat amat menekankan aspek ilmu perniagaan dan alam kehidupan agar dapat mengubah kehidupan yang lebih baik. Hal ini terbukti apabila Cing Huat dan ayahnya Kim Lock pernah bekerja sebagai kuli mengangkat barang di pelabuhan, kemudian bertukar menjadi penarik lanca, bekerja sebagai pelombong dan dengan wang simpanan, mereka berjaya membuka kedai runcit.  Akhirnya, kedai runcit mereka di Simpang Empat menjadi bertambah besar dan maju kerana menjadi tumpuan para petani dan pekerja estet di daerah tersebut.

3.0       Kesimpulan
Meskipun novel Interlok ini dikaitkan dengan kontroversi yang melibatkan sentimen perkauman, tidak dapat dinafikan bahawa karya Sasterwan Negara Abdullah Hussain ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Ramai yang tidak dapat melihat isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh beliau disebabkan mereka telah dibutakan dengan penggunaan kata paria yang disebut sebanyak dua kali dalam karya tersebut. Penggunaan perkataan yang sensitif itu dikatakan telah menyentuh sensitiviti dan menjadi isu besar bagi sesetengah kaum Akibat terlalu memberikan penekanan kepada perkataan itu, orang ramai tidak berpeluang untuk meneroka isu utama yang diangkat oleh beliau menerusi karya ini. Penekanan yang cuba digarap oleh beliau ialah intergrasi tiga kaum utama di Tanah Melayu, iaitu Melayu, Cina dan India yang terpaksa melalui pelbagai cabaran dan liku-liku kehidupan untuk terus hidup bersama-sama dalam sebuah negara yang bebas dan bermaruah. Di samping itu, aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, estetika dan nilai ilmu merupakan elemen-elemen yang mengayakan lagi novel ini lalu diangkat menjadi sebuah karya agung Melayu. 




      

No comments:

Post a Comment